16 May, 2011

"Selamat Hari Guru... Cikgu"

Share



Hari guru, 16 Mei mengingatkan aku tentang sebuah cerpen dalam buku Antologi, Sehijau Warna Daun tingkatan 1. Tajuknya “Hadiah Hari Guru”. Cerpen yang cukup membuat hatiku tersentuh…

Mengisahkan tentang seorang murid yang miskin bernama Ramli. Ayahnya sudah lama meninggal dunia, dia tinggal bersama dengan ibunya dan dua orang adiknya di sebuah rumah usang di pinggir kampung. Hidupnya kadang-kadang berbekalkan ihsan jiran-jiran yang prihatin dengan nasib mereka. Beras pun kadang-kadang tak cukup untuk mereka sekeluarga.

Dia rapat dengan cikgu Fatimah yang banyak membantunya dalam pelajaran. Sempena hari guru yang bakal menjelang Ramli berhajat untuk memberikan hadiah kepada gurunya walaupun dirinya serba kekurangan.


Rakan-rakannya yang berkemampuan semuanya berlumba-lumba memberikan hadiah yang menarik. Sudahlah mahal dibalut pula dengan pembungkus yang indah. Namun baginya yang serba kekurangan, itu bukan menjadi penghalang untuk memberikan penghargaan untuk guru yang banyak berjasa padanya.

Berikut sedikit petikan tentang harapan Ramli :
“Emak! Esok Hari Guru di sekolah Ramli. Ramli ingin hadiahkan sesuatu kepada Cikgu Fatimah, mak. Dia baik kat Ramli.” Harapan itu disampaikan kepada ibunya ketika dia sedang makan bersama ibu dan adik-adiknya.

Ibunya mengangguk-angguk. Akan tetapi tergambar kemuraman di wajahnya. Nasi yang disuapnya dikunyah perlahan-lahan. Dia tahu ibunya sedang memikirkan harapannya itu.

“Ramai kawan-kawan Ramli bercakap-cakap di sekolah tadi. Mereka nak hadiahkan jam tangan. Ramli nak hadiahkan apa, mak? tanya anak itu lagi.

Mak Sopiah menuangkan air ke dalam pinggannya sambil membersihkan tangannya. Wajahnya menunduk keharuan. Air matanya bergenang di pelupuk matanya. Dia mengesat air mata itu dengan lengan bajunya.

“Eh! Mak dah sudah makan? Sikit sangat mak makan hari ini,” tegur Ramli.

“Kau makanlah. Mak dah kenyang,” ujar Mak Sopiah lagi.

Ramli tahu emaknya tidak kenyang, akan tetapi terharu kerana tidak dapat memberikan apa-apa hadiah untuk gurunya.

“Tak apa mak, kalau mak tak boleh bagi hadiah pada Cikgu Ramli tu. Cikgu Fatimah dah pesan beberapa kali kepada kami jangan susah-susahkan ibu bapa memberi hadiah padanya,” jelas Ramli dengan harapan menenangkan perasaan ibunya.
Menjelang hari guru, Ramli meletakkan sepucuk surat berserta sebuah hadiah berbungkus surat khabar lama di atas meja cikgu Fatimah. Menitis air mata cikgu Fatimah membaca surat itu, walaupun hidup susah namun Ramli masih menghargainya, surat yang ditulis cukup membuatkan hati cikgu Fatimah sebak.

Apabila dibuka bungkusan tersebut, ada pucuk ulam di dalamnya. Itulah “hadiah hari guru”. Pemberian Allah yang selalu menjadi santapan setiap kali Ramli makan, maklumlah itulah saja yang mudah di dapati bagi Ramli dan keluargnya sebab tumbuh meliar di belakang rumah. Murah dan tak perlu duit.

Bagi cikgu Fatimah “hadiah hari guru” itu paling bermakna. Aku juga menangis membaca cerpen tersebut. Pengakhirannya, guru tersebut mengambil murid berkenaan sebagai anak angkatnya, dia mahu mengurangkan beban si ibu tunggal yang tinggal sebatang kara.

Guru merupakan individu yang memberikan sumbangan besar dalam hidup kita, mereka sanggup bersusah payah mendidik bangsa yang pelbagai karenahnya. Bagi mereka bukanlah pelbagai pemberian yang mahal lagi cantik yang amat bermakna… tetapi keikhlasan hati murid-muridnya.

Semoga kita menjadi individu yang sentiasa menghargai dan mendo’akan guru-guru, ustaz-ustazah, pensyarah dan umumnya warga pendidik kita berada dalam redha-Nya.

“Selamat hari guru, cikgu…”

Info:

Hari Guru di Malaysia disambut pada 16 Mei setiap tahun sebagai penghargaan kepada para guru. Ianya berbeza bagi setiap negara. Tarikh ini dipilih sebagai Hari Guru kerana pada haribulan yang sama dalam tahun 1956 Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of the Education Committee) sebagai dasar pelajaran bagi negara kita.

Dokumen tersebut yang dikenali sebagai Laporan Razak (Razak Report) telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak itu.

Komen Via Facebook

1 ulasan:

cosmopoint college said...

Selamat Hari Guru :)

Post a Comment

Hak Cipta & Penafian

SBS MEDIA (Sahabat Blog Sabah) - 2011 Digalakkan untuk sebarang sebaran. Sebarang bentuk salinan kandungan daripada laman ini mestilah disertakan link Sahabat Blog Sabah bagi memudahkan proses rujukan. Kami tidak bertanggungjawab ke atas sebarang komen yang disertakan daripada pengunjung dan menjadi tanggungjawab pengunjung sepenuhnya. Sekian.