29 December, 2010

Dakwah Tahu @ Dakwah Melulu?

Share

sumber: http://nurilhakim.blogspot.com

Saya sempat bertanya pada Syeikh Nuruddin Al-Banjari dalam ceramah perdana yang diadakan di Surau An-Nur Bandar Baru Bangi beberapa hari lepas. Beliau membicarakan sepotong doa yang sentiasa diulangi oleh Baginda Rasulullah S.A.W, yang memohon daripada Allah supaya hidup manusia diterangi nur pada pendengaran, penglihatan, atas dan bawah, kiri dan kanan serta di dalam hati. Beliau menekankan aspek peri-pentingnya nur tersebut menaungi kehidupan umat akhir zaman, lagi dan lagi. Justeru di sesi soal jawab, saya mengambil peluang bertanya, apakah nur yang baginda maksudkan? Beliau menjawab, taqwa, ilmu dan iman. Apabila ditanya lanjut, apa pula nur yang paling ampuh melahirkan ikhlas dan meruntuhkan ta'ajub dalam berdakwah, beliau menjawab pasti, laluannya ialah dengan ilmu.

Justeru saya berasa penasaran, melihatkan budaya ilmu yang seakan-akan sudah tidak subur di dalam kehidupan insan mengaku dai'e pada hari ini. Datangkanlah alasan apa sekalipun, sibuk, tidak punya masa, malas atau tiada bahan, saya optimis segala kemungkinan bisa diatasi kalau hati berkata mahu. Apa beza Ali bermain bola di padang kampungnya dan Park Ji Sung bermain di Old Trafford? Apa beza Mak Leha menjual nasi lemak di Batu Sapi dan Donald Trump menjual hartanah di New York? Apa pula beza penulis picisan di blog ini dengan penulis-penulis hebat seperti Stephen Covey dan Buya Hamka? Selain pengalaman dan kemahuan yang tinggi, bezanya tentu sekali ilmu!

Dakwah bukan medan menyalurkan apa yang
kita dapat kepada orang seterusnya.

Pelik bagaimana kita mampu membentangkan hujah dan menghambur fikrah kepada madhu'u tanpa terlebih dahulu membedah intipati dakwah yang disampaikan, atau sekurangnya melakukan keduanya secara beriringan. Persisnya seperti Ji Sung yang mengajar orang bermain bola tanpa mengetahui cara mengambil sepakan sudut. Hairan bagaimana kita mengomel tidak punya bahan, tetapi untuk menggali khazanah cinta, sanggup meminta rakan menerbangkan buku Bercinta Sampai Ke Syurga dan Tentang Cinta jauh dari seberang. Ibarat Mak Leha yang mengadu tidak punya santan tapi mengimport daun pisang dari Samarinda. Musykil kabir bagaimana kita mengeluh tidak punya masa, tapi berkesempatan membelek DSLR sendiri atau DSLR rakan berjam-jam dan belajar menggunakannya. Tidak ubah seperti penulis blog yang mengambil masa berjam-jam menghias dan mencantikkan blog, tanpa mengorbankan masa untuk belajar bagaimana memperbaiki tulisannya.

Saya berpendirian proses menyelami dan membetulkan hati-hati manusia merupakan tugas paling sukar di dunia. Maka sekiranya memasak nasi lemak, menyepak bola dan menulis blog pun perlukan pengorbanan masa dan perburuan ilmu, berdakwah apatah lagi. Jangan saja menguasai maksud dan praktikal simplistik Islam, malah kaji dan terokai perkembangannya zaman ke zaman. Jangan saja cakap berdegar-degar hendak mengembalikan semula khalifah, malah selidiki bentuk dan idealisme mendirikannya semula pada abad ini, jangan hanya bercakap sini dan sana menjanjikan syurga, tapi ambillah ruang menyelami psikologi hati dan pemikiran manusia, lantas mendampinginya dan mengembalikannya langsung kepada fitrah kejadiannya.

Lebih daripada itu, dakwah bukan medan membodohkan
orang lain dengan benda yang kita tidak tahu!

Saya tertarik dengan cerita Ustaz Hasrizal dalam kuliahnya minggu lepas, berkenaan sebuah kuiz yang diadakan di kuliahnya di UIA. Pensyarahnya memberikan para pelajar sebuah peta Timur Tengah untuk dilabel, dan terbukti sebahagian besar pelajar mendapat kosong untuk kuiz itu. Saya mengambil peluang melakukan yang sama. Soalan saya mudah, wahai yang mengaku pembela dan pencinta syuhada di Palestin, yang tiap kali mengambil ibrah dari pertumpahan darah di sana dan menayangkan video-video intifadha...di manakah Palestin? 1-10?

Jika anda melabelkan mana-mana tempat di antara 1-10 sebagai Palestin, nah, selak semula omong-omongmu berhubung Palestin. Atau kalau itu terlalu sukar, cuba pula tunjukkan, di mana kedudukan Makkah dan Madinah dari sirah Madinah yang dipetik sehari-harian dan dibentangkan kepada madhu'u, malah tempat berdiri kiblat yang dihadap setiap lima kali sehari?

Tepuk dada, dan penuhi ia dengan ilmu dakwah yang berguna...

(Saya merendah diri memohon pembaca mencadangkan buku-buku dan bahan bacaan yang perlu untuk setiap dai'e, selain buku-buku konvensional yang sering diterokai. Untuk permulaan, saya mencadangkan buku warisan turun-temurun, 'How To Win Friends and Influence People' - Dale Carnegie.)

Komen Via Facebook

0 ulasan:

Post a Comment

Hak Cipta & Penafian

SBS MEDIA (Sahabat Blog Sabah) - 2011 Digalakkan untuk sebarang sebaran. Sebarang bentuk salinan kandungan daripada laman ini mestilah disertakan link Sahabat Blog Sabah bagi memudahkan proses rujukan. Kami tidak bertanggungjawab ke atas sebarang komen yang disertakan daripada pengunjung dan menjadi tanggungjawab pengunjung sepenuhnya. Sekian.