TAWAU 23 Mei - Polis akan meneliti permohonan konsert 'ratu gelek' Indonesia, Inul Daratista yang dijadual berlangsung di Kompleks Sukan Tawau, Sabtu ini, dari sudut keselamatan sebelum meluluskan permitnya.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ibrahim Chin berkata, keputusan mengenai perkara tersebut akan dibuat dalam masa terdekat.
Katanya, pihaknya juga akan mengambil kira bantahan daripada 11 kumpulan yang mewakili parti politik, mahasiswa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung penganjuran konsert itu.
"Buat masa ini, kita masih timbangkan, kelulusan permit masih belum diberi. Sebelum keluarkan permit itu, kita akan lihat aspek-aspek keselamatan.
"Semua pihak diharap bertenang dan tidak melakukan tindakan yang boleh mengganggu gugat ketenteraman awam," katanya kepada ketika dihubungi di sini hari ini.
Kelmarin, selepas solat Jumaat di pekarangan Masjid Al-Khauthar di sini, 11 kumpulan itu antaranya Pas Tawau, Persatuan Siswazah Sabah, Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia dan Dewan Muslimat Tawau mengadakan demonstrasi membantah konsert itu.
Semalam, UMNO Bahagian Kalabakan pula turut menggesa pihak berkuasa membatalkan konsert penyanyi dangdut itu kerana dianggap boleh menyumbang keruntuhan akhlak muda mudi di sini.
Selain itu, antara alasan utama pihak yang membantah penganjuran berkenaan adalah kerana Inul atau nama sebenarnya Ainul Rokhimah dilabelkan penari lucah pada Ogos 2002 oleh Dewan Ulama Indonesia.
Ibrahim berkata, perbincangan lanjut dengan pihak Majlis Perbandaran Tawau akan dilakukan supaya satu keputusan dapat dibuat secepat mungkin.
0 ulasan:
Post a Comment