dITAMPAL SALIN DARI: http://mahkamah-akhirat.blogspot.com/
Sumber:- harian express 26hb May 2010 (www.gen2merah.blogspot.com)
BESAR harapan Ratu Dangdut Gerudi, Inul Daratista untuk menemui peminatnya di Sabah menerusi dua buah konsert yang dijadualkan berlangsung hujung bulan ini.
Harapannya itu mudah difahami kerana pernah berlaku sebelum ini, konsert yang dirancangnya di Kuala Lumpur dan di Johor Baharu dibatalkan pada saat akhir sehingga penyanyi yang berasal dari Pasuruan, Jawa Timur, Indonesia itu dilaporkan pengsan sebaik mendengar berita mengejutkan itu.
Begitu dalam kekecewaan Inul apabila konsertnya dibatalkan sedangkan ketika itu dia sudah pun berada di Malaysia dengan semangat berkobar-kobar untuk bertemu peminat-peminatnya. Itu cerita dua tahun lepas.
Tidak mahu mengalah dengan pengalaman pahit itu, Inul mengalihkan perhatiannya kepada peminat-peminat di Sabah pula, khususnya di sekitar daerah Tawau dan Keningau.
Inul begitu teruja untuk menjayakan kedua-dua konsertnya di sini – Konsert 1 Inul Daratista – yang dijadualkan berlangsung di Stadium Utama Kompleks Sukan Tawau Sabtu ini (29 Mei) dan di Kompleks Sukan Keningau pada 31 Mei (Isnin).
Bagaimanapun, baik Inul mahupun peminat-peminatnya di Tawau, pasti hampa kerana menurut penganjur acara itu, Apex Event Network, konsert di Tawau terpaksa ditunda ke tarikh lain sekitar Julai ini atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.
“Urusan-urusan lain semuanya sudah selesai dan kami menjangkakan jumlah penonton yang sangat ramai. Jadi kami terpaksa tangguhkan konsert itu untuk memberi perhatian lebih rapi kepada soal keselamatan,” kata Pengarah Pembangunan Perniagaan syarikat berkenaan, Marshal Anwar, ketika dihubungi pada Rabu.
“Permit untuk konsert di Keningau pula sudah diperolehi dan konsert itu akan berlangsung sepertimana yang dirancang. Inul akan menemui peminat-peminatnya di sana pada 31 Mei (Isnin) ini,” katanya.
Sepertimana pengalaman Inul sebelum ini, penganjuran dua konsertnya di negeri ini tidak terlepas daripada mendapat bantahan pelbagai pihak.
Baru-baru ini, Dewan Pemuda Pas menyerahkan memorandum bantahan mereka terhadap konsertnya di Tawau kepada pihak berkuasa tempatan di sana. Mereka mendesak agar konsert itu dibatalkan serta-merta. Menyusul selepas itu, Pergerakan Wanita Umno Kalabakan pula membangkitkan sentimen yang sama.
Ia meminta Ketua Umno Kalabakan Datuk Ghapur Salleh serta pihak berkuasa termasuk polis mengambil tindakan membatalkan konsert itu.
Ketua pergerakan itu, Datuk Hajah Hamisa Samat berkata konsert seperti itu boleh menyumbang kepada keruntuhan akhlak, terutamanya golongan muda.
Konsert 1 Inul Daratista di Keningau turut mendapat bantahan keras daripada Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (Usia) di mana Naib Ketuanya, Mohd Zaki Laumin menyifatkan konsert itu tidak sesuai diadakan di sebuah bandar yang pembangunan agama Islam sedang diperkasakan.
“Persembahan Inul Daratista boleh mempengaruhi akhlak golongan remaja,” Mohd Zaki dilaporkan sebagai berkata.
Diminta mengulas mengenai bantahan-bantahan itu, Marshal berkata Inul sudah maklum mengenai sensitiviti masyarakat di sana.
“Dia akur untuk mengikut arahan termasuk tidak akan beraksi secara melampau dan akan menjaga penampilannya agar tidak keterlaluan. Kami perlu mematuhi permit yang dikeluarkan.
“Ketika konsert itu nanti, selain lagu-lagu rancaknya, Inul akan turut menyanyikan lagu-lagu berentak perlahan dan melankolik,” jelas Marshal.
Inul dijangka mendendangkan antara 15 dan 20 buah lagu. Dia bakal berkongsi pentas dengan penyanyi tempatan termasuk Hazami, Handy Black dan Mas (AF).
Marshal berkata pemilihan Inul dibuat kerana penyanyi berumur 31 tahun itu mempunyai ramai peminat di kedua-dua daerah itu, dan di Sabah amnya.“Lagipun Inul belum pernah ke Sabah. Jadi kami rasa terpanggil untuk menemukan dia dengan peminat-peminatnya yang ramai di Sabah.
“Kami juga ingin peminat di sana melihat sendiri hakikat bahawa Inul adalah seorang penyanyi yang clean (bersih).”
Malah, menurut Marshal, ketika muncul bersama Dewa 19 di Ibu Negara empat bulan lalu, Inul cukup teliti menjaga penampilannya.
Selain Tawau dan Keningau, Apex Event Network juga mempunyai perancangan untuk membawa penghibur ‘goyang ngebor’ itu ke Kota Kinabalu. “Jika semua perundingan berjalan lancar, Inul akan menemui peminatnya di Kota Kinabalu Julai ini sempena perasmian Star City,” katanya.
Sejak dari awal kemunculannya pada 2003, Inul tidak pernah lekang daripada kontroversi gara-gara tarian goyang gerudinya yang disifatkan pelbagai pihak sebagai lucah.
Antara yang paling lantang mengkritiknya ialah penyanyi yang digelar “Raja Dangdut” Indonesia, Rhoma Irama.
Malah, Inul turut mendapat perhatian Majlis Ulama Indonesia yang mendesak semua konsertnya diharamkan.
Walaupun langkahnya dalam bidang seni sentiasa diiringi kecaman, Inul atau nama sebenarnya Ainur Rokhimah, tabah meneruskan perjuangannya.
Setakat ini, isteri kepada Adam Suseno dan ibu kepada Yusof Ivander Damares itu sudah memiliki empat buah album – Goyang Inul, Separuh Nafas, Mau Dong dan Rasain Lho.
Dia juga bakal muncul dengan single terbaru Kasih Tak Termiliki ciptaan Irwan Stinky dan David Lau yang memperdengarkan sisi berbeza nyanyiannya.
Kasih Tak Termiliki adalah sebuah lagu berkonsepkan balada, jauh berbeza dengan genre dangdut yang menjulang namanya.
Dalam kesibukannya menyanyi, Inul masih berkesempatan mendekati bidang lakonan.
Antara sinetron yang pernah dijayakannya ialah Kenapa Harus Inul, Gara-Gara Inul, Hidayah (Susuk Pemikat Si Penari Jaipong) dan Hidayah (Penyanyi Dangdut Banting Setir Jadi Pembantu).
Di layar besar pula, Inul pernah muncul dalam filem Cinta Setaman pada tahun 2008
p/s: Napa harus ditangguhkan. Napa tak batalkan sahaja konsert maksiat sedemikian. Irama Dangdut berasal dari Indonesia dan ianya langung tidak mencirikan budaya dan adat di negara kita. Irama yang memerlukan gaya untuk menari bergelek ini sebenarnya memang lucah dan mengghairahkan. Pakai lah penampilan yang sopan macam mana pun, tapi yang peminat nak tengok adalah gaya goyangan punggung yang begitu menjolok mata. Tak heran lah kaum-kaum bapa sanggup menghabiskan di kelab dangdut. Bayangkan kalau konsert ini dilangsungkan. Bukan sahaja remaja, kaum bapa-bapa yang kemaruk pun sanggup menghabiskan duit tinggalkan nak bini di rumah
0 ulasan:
Post a Comment