Kerja-kerja teknikal untuk menganjurkan program berkenaan semakin galak berjalan. Dr Aliakbar Gulasan dari UMS bertindak sebagai pengarah program menggantikan Ust Bungsu Aziz yang bertolak ke tanah suci bagi menunaikan fardhu haji.
Kerja-kerja lain yang paling asas ialah mencari, menghubungi dan mengesahkan kehadiran para peserta. Itu tugas utama saya. Setakat ini, sudah 50 peserta sudah mengesahkan kehadiran mereka. Ketetapan nadwah ini adalah seperti berikut :
Tarikh : 7 Nov 2009 (Sabtu)
Masa : 8 pagi – 12 tengahari
Tempat : Bangunan USIA, Sembulan Kota Kinabalu.
Tetamu khas : Tun Sakaran Dandai, Yang DiPertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) & Dato’ Sheikh Abd Halim Abd Kadir, Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Pusat.
Anjuran : Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) Sabah dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS)
Nadwah Pewaris Nabi adalah satu program besar kami bagi mengumpulkan pendakwah-pendakwah lama. Ia satu bentuk kami menghargai tenaga, kudrat dan ilmu mereka menyampaikan Islam di bumi Sabah. Selain untuk mereka bertemu rakan dan sahabat seperjuangan mereka yang mungkin lama tidak bertemu, ia juga menjadi ruang bagi orang seperti kami mengambil semangat dan nasihat mereka dalam dunia dakwah.
Setakat yang sudah saya hubungi sendiri, ada ustaz yang datang pada 1967 dan masih berada di Sabah sehingga kini. Yang menariknya, 99% yang dihubungi menyatakan persetujuan serta merta apabila hasrat kami itu disampaikan kepada mereka. Yang tidak hadir kerana ada jadual yang sudah diatur awal, khususnya menunaikan fardhu haji.
Sasaran yang ditetapkan ialah sekitar 100 orang, meliputi ustaz, ustazah, imam, sama ada mereka dari Tanah Semenanjung, Indonesia, Mindanao atau Sabahan sendiri. Kehadiran mereka juga akan diambil kesempatan oleh kami untuk mengumpul biodata sebagai rujukan dan direktori pada masa hadapan.
Selain daripada kerja jemputan itu, kerja-kerja teknikal lain dipimpin oleh rakan-rakan lain. Aturcara penuh akan dimuktamadkan sedikit masa lagi. Tetapi ada sesi forum santai yang akan mengimbas kembali kisah dan sejarah dakwah pada zaman mereka datang dan berjuang dahulu.
Selain itu ucapan YDP PUM Sabah dan Tun Sakaran sendiri.
Sedikit masalah, kami sedikit bergelut tentang masalah kewangan. Kalau ada yang sudi membantu tenaga dan kewangan, kami sangat menghargainya.
0 ulasan:
Post a Comment