25 October, 2010

PBS tolak tuntutan Bumiputra Islam

Share
sumber: http://masdarwahid.blogspot.com


Parti Bersatu Sabah (PBS) pimpinan Pairin Kitingan akhirnya meminggirkan suara Bumiputra Islam dalam parti itu apabila meletakkan Naib Ketua Wanita PBS bagi penggal 2009-2012, Linda Tsen Thau Lin sebagai calon mereka pada Pilihan Raya Kecil(PRK) Parlimen Batu Sapi yang penamaan calonnya ditetapkan pada 26 Oktober ini manakala pengundiannya pada 4 November depan.

Linda Tsen Thau Lin, 54, ialah isteri kepada mendiang Edmund Chung Ket Wah, 54, yang juga bekas penyandang Parlimen itu dua penggal berurut-turut sejak kerusi itu diperkenalkan buat pertama kali pada tahun 2004.

Pengumuman itu dibuat Pengerusi BN Sabah, Musa Aman, di salah sebuah Hotel di Sandakan, Sabah sebentar tadi.

Dengan pengumuman itu, hasrat kelompok Bumiputra Islam dalam PBS akhirnya dipinggirkan walaupun sebelum ini mereka menuntut pimpinan PBS pusat agar memberi peluang kepada Bumiputra Islam dalam parti itu sebagai calon pada PRK kali ini.

Terdahulu, ahli-ahli dan masyarakat di peringkat akar umbi PBS di Batu Sapi merayu pucuk pimpinan tertinggi PBS supaya ‘laluan’ diberikan kepada calon mewakili kaum bumiputera Islam untuk bertanding pada PRK itu.

Ketua Pergerakan Pemuda PBS Sekong, Mahmud Hassan, berkata peluang tersebut merupakan kayu ukur kepada sejauh mana ketelusan pucuk pimpinan PBS dalam menghadapi Pilihan raya Umum (PRU) ke 13, di mana pengundi Bumiputera Islam turut berperanan besar kepada kekuatan Barisan Nasional (BN).

“Dalam hubungan ini saya dan ahli-ahli mencadangkan sekiranya Ketua Bahagian PBS Sekong, Bonie Yusuf Abdullah diberikan peluang bertanding mewakili parti,” katanya.

Ketua Cawangan PBS Kampung Segaliud, Haris bin Ijaris, yang sama-sama mengemukakan rayuan kepada parti itu pula berkata, kelebihan besar Bonie menghidupkan semula kepimpinan parti PBS di Bahagian Sekong sebelum ini perlu diambil kira dalam menghadapi PRK itu.

“Daripada jumlah keahlian parti yang semakin baik berbanding sebelumnya, hubungan beliau dengan pemimpin mewakili rakan-rakan parti komponen di kawasan itu juga penting. Keupayaannya untuk mewakili parti bukan berdasarkan simpati, tetapi kerana Bonie sudah bekerja untuk parti, BN dan rakyat,” kata Haris.

Untuk rekod, hampir 60 peratus daripada 25,582 pemilih berdaftar dalam Parlimen Batu Sapi merupakan pengundi Bumiputra Islam.

Komen Via Facebook

0 ulasan:

Post a Comment

Hak Cipta & Penafian

SBS MEDIA (Sahabat Blog Sabah) - 2011 Digalakkan untuk sebarang sebaran. Sebarang bentuk salinan kandungan daripada laman ini mestilah disertakan link Sahabat Blog Sabah bagi memudahkan proses rujukan. Kami tidak bertanggungjawab ke atas sebarang komen yang disertakan daripada pengunjung dan menjadi tanggungjawab pengunjung sepenuhnya. Sekian.