Ditampal Salin Dari: http://legehiyyah.blogspot.com
Media Perdana terus mendedahkan kes buang bayi yang berleluasa di negara kita pada hari ini. Sepanjang minggu ini sudah ada empat kes buang bayi. Kes pembakaran bayi di Kuala Krai kelmarin menjadi kes yang paling mengemparkan dan paling kejam serta meruntun perasaan.
Masakan tidak meruntun jiwa, bila mayat bayi ditemui dalam keadaan tali pusat yang masih segar dan uri melekat di tubuhnya, bayi lelaki berkulit cerah ini dicampakkan ke dalam tong sampah! Di atasnya diletak timbunan rumput, kayu dan kepingan zink.
Paling memilukan, si kecil yang dipercayai baru berusia beberapa hari ini dibakar!Badan bayi ini separuh rentung. Kakinya pula bercerai daripada badan. Cuma yang tidak dapat dipastikan adakah bayi yang cukup sifat itu masih hidup ketika dibuang atau pun dibakar hidup-hidup.
Bayi malang itu ditemui dua petugas Majlis Daerah Kuala Krai (MDKK), Mohd. Zain Pa'Su, 57; Mohd. Hilmi Rosli, 26, dan Abdul Rahman Hussin, 28, semasa hendak memungut sampah di bandar ini.
Persoalannya, kenapa perbuatan membuang bayi ini berleluasa? Mungkinkah seorang ibu atau bapa yang waras sanggup membuang dan membunuh zuriat mereka sebegitu kejam? Binatang pun tidak sanggup melakukan sedemikian. Apa lagi manusia yang diberi aqal fikiran dan paling penting dipandu wahyu Ilahi.
Kenapa pula media dan para penguasa sibuk mencari jalan penyelesaian masalah buang bayi? Ya... barangkali benar, kalau kita sakit gigi, gigi boleh dicabut untuk mengelak masalah terus berulang. Akan tetapi...nahaslah kita seandainya sakit kepala, kepala dipotong. Analogi ini menunjukkan bahawa kita tidak semestinya merawat sakit itu pada tempat sakitnya. Kadang-kadang kita mesti mencari punca yang membawa kepada sakit. Begitu juga dengan tindakan membaiki dan memulih barang yang rosak tidak akan menjadi suatu pekerjaan yang selesai sekiranya terus dibiarkan perosak terus merosakkan dan memusnahkan barangan tersebut.
Masalah buang bayi pastinya berpunca daripada masalah zina. Zina pula berpunca daripada pergaulan bebas yang tidak meletakkan penghayatan soal dosa dan pahala dalam kehidupan mereka. Apabila manusia merasakan mereka tidak diikat dengan Allah SWT, manusia akan bertindak mengikut hawa nafsu mereka. Malah nafsu terhadap berlainan jantina adalah fitrah yang mesti disalur dan disadur mengikut acuan Islam.
Kenapa hari ini, kita membuka seluas-luasnya pintu zina dan menyepitkan jalan perkahwinan yang dituntut syara'. Sambutan Hari kekasih, tayangan filem-filem cinta dan bermacam-macam program yang menyemarakan zina dibajai dengan baik sekali oleh segenap lapisan masyarakat. Bahkan ramai ibubapa yang berbangga kerana anak-anak mereka mempunyai ramai kekasih . Akan tetapi belum bersedia menerima menantu.
0 ulasan:
Post a Comment