11 January, 2010

Konflik SatU Kalimah- Ujian Ketahanan peribadi Muslim

Share
Islam agama Toleransi

Saya menginsafi saat ini merupakan ujian ketahanan iman dan ilmu seseorang muslim.

Menilai situasi berdasarkan neraca pengetahuan adalah jauh lebih baik daripada bersandar di dahan emosi.

Melempar tuduhan dan bersingsing lengan mencari kemenangan menjadi pilihan ramai daripada membimbing dan mengadaptasi isu memberi pengajaran dan membuka lembaran kebenaran.

Ianya bukanlah satu perkara yang sukar bagi ilmuwan dan cendikiawan Islam.

Ianya agenda zaman dan kegemilangan Islam.

Ianya isu TOLERANSI yang sentiasa menghuni tangga teratas dalam carta hubungan manusia sesama manusia dalam Islam.

Namun hari ini, dangkal ilmu dan pengecutnya jiwa menjadikan manusia berombak sensitive dalam menangani isu yang tercipta. Ramai menjadi juara dalam mengatur rentak mengunjuk rasa, membuak amarah dan mencipta sengketa.

Dan melalui akuan sejarah yang berlalu, saya sudah menjangkakan pasti ada pihak yang mengambil kesempatan fizikal dan vandalisme di atas kekerohan ini.

Meledak api amarah membakar diri dan seterusnya mengundang segelintir jiwa pengecut dan tidak bertamaddun untuk mengambil keputusan bodoh membakar gereja. Sangkanya inilah lagak juara membantu agama agaknya sedangkan tindakan itu hanya mengundang murka allah dan rasulnya.

Manusia punya hak untuk berbeza pendapat dan juga agama, dan kita tidak boleh memaksa sesiapa untuk bersetuju dalam semua pandangan kita.

Berlapang dadalah, ada isu yang lebih besar dari sekadar perteilngkahan pandangan ini, dan bukannya mendabik dada membakar perpaduan.

Menjangka Situasi dan Cabaran

Saya pasti, insiden ini akan menimbul kekerohan.

Ianya akan membenihkan konflik pada diri yang tidak faham agama dan cetek pengetahuan islamnya, dan pastinya warga sekolah mubaligh seperti saya adalah sasaran mudah untuk di tembak amarah dan hujahan dangkal, ekoran tindakan bodoh memarakkan api kebencian beragama.

Anak-anak didik islam disini juga pasti menjadi punching bag perhatian serong mayarakat sekolah, seolah-olah kita umat perampas dan pemeras hak yang sekian lama dikongsi bersama.

Sedangkan islam adalah juara agama toleransi yang diakui sejarah dan praktikalnya.

Hayatilah ayat dari kalam allah ini .

64. Katakanlah (Wahai Muhammad) : “Wahai ahli kitab, marilah kepada satu kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan denganNya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain daripada Allah”. Kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) berpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka :

“Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam”. (Ali Imran)
Allah telah mengajak semua umat beragama untuk kembali kepada satu kalimah yang disepakati, kalimah yang menjadi inspirasi kepada perpaduan sejagat.
Dengan strategi dakwah, Rasulullah menobatkan perdamaian dan perbincangan dengan semua agama dan mencari jalan penyelesaiannya dengan mesyuarat dan penerangan bukannya penyerangan.

Perutusan Rasulullah S.A.W. mendedahkah bagaimana golongan Ahli Kitab (Kristian dan Yahudi) memakai perkataan yang sama apabila menyebut perkataan Allah, seterusnya dijelaskan dengan makna aqidah yang tepat secara ajaran Tauhid, (mengesakan Allah) tanpa syirik, sama ada syirik itu melakukan upacara ibadat dengan menyembah tuhan-tuhan yang lain daripada Allah, atau mematuhi hukum-hukum dan undang-undang ciptaan para ahli agama (paderi-paderi) dan pemimpin-pemimpin (Arbab) yang mencipta undang-undang dan hukum yang menentang hukum Allah seperti menghalal apa yang diharamkan oleh Allah dalam kitab yang diturunkan kepada Rasul mereka sendiri atau mengharamkan apa yang dihalalkan, atau memberi hak ketuhanan kepada ahli agama boleh mengampunkan dosa yang menjadi hak Allah sahaja

Ianya asas agama yang dibawakan untuk kita sebagai pedoman Toleransi agama sepanjang zaman.

Dan dalam prinsip menangani konflik, pakar komunikasi dan personality Dale Carniege dalam tulisannya menyatakan : Pilihlah method menyelesaikan konflik dengan memilih cara untuk bersetuju dan bermula dengan perkara yang disepakati.

Bukankah ini maksud yang diajarkan tuhan kepada kita.

Perpektif Dakwah

Suka saya merujuk tulisan Dr. Dzilkefly Ahmad dalam melihat isu ini dari perspektif akademik dan praktikal moral.

Untuk pengetahuan umum, penganut agama Kristian Katolik di Sabah dan Sarawak telah menggunakan kalimah “Allah” sejak 150 tahun lalu. Kalimah Allah juga digunakan oleh penganut-penganut Sikh Gudwara. Dalam konteks negara timur tengah dan negara umat Islam lain, penggunaan nama “Allah” oleh penganut lain, tidak menimbulkan masalah sejak berzaman.

Persoalan penting yang ummat Islam di negara ini perlu faham ialah, Apakah Al-Quran mengizinkan kalimah Allah digunakan oleh penganut selain Ummat Islam? Dan apa pula pendirian ulama-ulama besar terkini atau kontemporari terhadap isu ini, khususnya dalam konteks Islam dalam dunia kini?

Jawapan ini penting dan dapat mengelakkan isu ini dipolitikkan bahkan diekspolitasi sehingga mengeruhkan suasana perhubungan baik antara-agama dan antara-budaya.
Para Ulama kerap merujuk kepada beberapa ayat di dalam Al-Quran yang menyebutkan bahawa Allah SWT sendiri mengiktiraf, bahawa orang-orang muskrik (yang menyembah berhala) pun mengakui bahawa Allah adalah Rabb atau Tuhan yang Mencipta atau Al-Khaliq. Bermakna mereka menerima Tuhan Yang Menjadikan Semesta Alam ini (Tauhid Rububiyah). Islam secara lengkapnya dalam bab Keimanan atau Aqidah Tauhid menerima Allah selaku Pencipta (Rububiyah) dan Pentadbir/Pemberi Hukum (Uluhiyah).

Contohnya ayat dalam Surah Luqman ayat 25 :
“Dan jika (Muhammad) tanyakan mereka siapa yang menjadikan langit dan bumi?”, Tentu mereka akan jawab “Allah”. Katakanlah “Segala Puji bagi Allah, tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui”.

Tegasnya mereka mengiktiraf Allah tetapi hanya dari sifat “Rububiyah”(Pencipta) dan tidak selengkapnya termasuk Allah selaku Yang Mentadbir dan Memberi Hukum (Tauhid Rububiyah).

Saya merujuk kepada pandangan dua tokoh besar ulama terkini, Sheikh Yusuf Qardhawi, penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah 1431H dan Sheikh Dr Wahbah Zuhaili Tokoh Maal Hijrah 1429H. Kedua-dua berpandangan bahawa penggunaan nama “Allah” adalah dibolehkan kepada penganut-penganut agama Nabi Allah Ibrahim yakni Islam, Kristian dan Judaism.

Kedua-dua berpandangan bahawa ia adalah baik untuk menjalinkan kesatuan dan perpaduan di peringkat “persaudaraan agama samawiyat”, paling tidaknya. Mereka tidak mengambil sikap sempit macam sesetengah orang Islam di negara ini, bahawa Allah hanya untuk orang Islam secara eksklusif dan penganut lain tak boleh guna nama Allah atau macam suruh cari Tuhan lain pulak. Berapa banyak Tuhan yang ada? Bukankah Islam menganjurkan semua ummat manusia mengiktiraf Tuhan itu Esa atau Satu.

Perhatikan ayat di seterusnya ini. Allah sebutkan dalam Al-Quran:
“….kami beriman kepada Kitab-kitab yang diturunkan kepada kami dan yang diturunkan kepadamu, Tuhan kami dan Tuhan kamu, satu dan hanya kepadanya kami berserah diri”…..
Surah Al-Angkabut:46.

Bukankah lebih baik, mengikut logik akal waras, di samping hujah dari al-Quran dan kata Ulama tadi, supaya kita galakkan mereka juga menerima “Allah”, walaupun Tauhid dan Aqidah mereka tak sempurna macam kita. Memanglah, itulah sebabnya mereka Kristian atau Yahudi atau selainnya.

Kalau mereka percaya macam aqidah kita tentang Allah, jadilah mereka orang Islam, bukanlah lagi Kristian dan Yahudi. Namun bolehkah kita paksa Aqidah kita itu kepada mereka? Tentunya tidak. Tidak ada paksaan dalam Islam.

Setelah mengizinkan agama lain menggunakan nama “Allah”, maka yang lebih penting adalah supaya tidak menyalahgunakan nama “Allah” itu. Ini perlu diberikan peraturan dan keterangan seperti yang ditegaskan oleh keputusan PAS, supaya jangan ada yang menyalahgunakan perkatan Allah.


Dengan itu, amat tepatlah saranan Tuan Guru Hj Abd hadi Awang dalam perutusannya merdakan gelojak jiwa sensitive massa kala ini .


Kesimpulannya, kita tidak boleh melarang mereka menggunakan perkataan Allah di kalangan mereka sendiri, dalam ibadat mereka dan amalan mereka, walau pun salah maksud dan maknanya yang asal mengikut bahasa kita.

Adapun menggunakan perkataan Allah oleh mereka terhadap masyarakat Islam untuk menyebarkan agama mereka dengan fahaman mereka, atau menjadikan perkataan ALLAH sekadar mengubah jenama bagi melariskan barangan dalam masyarakat Islam, tidak boleh dizinkan sama-sekali.

Ini adalah kerana menyalahgunakan perkataan Allah yang Maha Suci kepada umat Islam dan bercanggah dengan makna mengikut bahasa yang di amal oleh umat Islam, adalah dikira menodai kesucian dan kemurnian kalimah ALLAH di hadapan umat Islam.

Disalin tampal daripada: http://ibnuhadiabu.blogspot.com

Komen Via Facebook

0 ulasan:

Post a Comment

Hak Cipta & Penafian

SBS MEDIA (Sahabat Blog Sabah) - 2011 Digalakkan untuk sebarang sebaran. Sebarang bentuk salinan kandungan daripada laman ini mestilah disertakan link Sahabat Blog Sabah bagi memudahkan proses rujukan. Kami tidak bertanggungjawab ke atas sebarang komen yang disertakan daripada pengunjung dan menjadi tanggungjawab pengunjung sepenuhnya. Sekian.