sumber: http://masdarwahid.blogspot.com
Selepas Selangor dan Sabah bergelut dengan 'Projek I/C' bertujuan mendaftarkan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) memperoleh kewarganegaraan secara segera, kini Kelantan pula berdepan isu sama.
Satu pekeliling yang dikeluarkan Pejabat Penghulu Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor menyebut akan diadakan program Mydaftar Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) peringkat Kelantan yang berlangsung pada 28 Mei ini di Dewan Sekolah Kebangsaan Pengkalan Kubor Satu.
Pekeliling itu turut diedarkan di masjid-masjid dalam DUN Pengkalan Kubor sejak 20 Mei lalu.
Mendedahkan perkara itu, Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar berkata, sungguh pelik apabila JPN menyediakan kaunter bergerak untuk mengeluarkan kad pengenalan yang kebiasaannya hanya dilakukan di kaunter pejabat JPN.
“Rakyat di Pengakalan Kubor dikejutkan Jumaat lalu dengan hebahan program Mydaftar bertujuan mendaftarkan penduduk Kelantan mendapakan dokumen pengenalan diri. Hebahannya ditandatangani sendiri penghulu jajahan dan akan diadakan di sekolah di Pengkalan Kubor.
“Kita bimbang projek I/C yang didedahklan berlaku di Selangor dan sebelumnya di Sabah bertujuan memenangkan BN pada PRU ke-13, kini rupanya merebak ke Kelantan," katanya dalam sidang media di Tingkat 5, Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut pada 24 Mei lalu.
Sehubungan itu, beliau mendesak operasi itu dihentikan yang jelas bertujuan mewujudkan pengundi hantu kerana kawasan seperti Jeli, Tumpat dan Pengkalan Kubor bersempadanan Thailand dan majoritinya beragama Islam dan situasi itu memudahkan taktik Umno BN merekrut warga asing sebagai pengundi.
“Kita akui tidak pernah berlaku operasi pendaftaran seperti ini. Pada pilihanraya yang lalu hanya berlaku pemindahan pengundi dari Kuala Lumpur ke Kelantan. Mungkin kali ini kita juga akan mendapati nama-nama penyokong PAS dipindahkan dari daftar pemilih ke kawasan lain.
“Oleh itu PAS bersama Pakatan Rakyat akan mengadakan bantahan besar-besaran ke atas manipulasi daftar pemilih ini termasuklah menyertai himpunan Bersih pada Julai depan di Kuala Lumpur. Kita menuntut keadaan ini dihentikan dan sistem pilihanraya negara kita direformasikan,” ujarnya yang turut mengedarkan salinan bukti kepada media.
0 ulasan:
Post a Comment