Oleh: CHANG SHAK HUNG KENAIKAN harga petrol RON97 sebanyak 20 sen untuk setiap kenaikan pada 1 April 2011 dan 5 Mei 2011 dan menjadikan harga petrol RON97 sekarang RM2.90, merupakan satu tindakan yang kurang tepat dan langsung tidak mengambil kira implikasi negatif terhadap kenaikan harga barangan secara tidak langsung terutamanya untuk penduduk di Sandakan serta Sabah pada umumnya. Sekarang kita pula sedang menanti debaran yang bakal diumumkan oleh pihak kerajaan berhubung dengan kenaikan harga petrol RON95 dan diesel pada bila-bila masa dari sekarang. PETRONAS selaku sebuah syarikat GLC yang telah berjaya mengaut keuntungan dan terlepas daripada masalah kewangan seperti yang dihadapi oleh syarikat-syarikat GLC yang lain seperti MAS, TNB, PLUS, MISC dan TELEKOM MALAYSIA, merupakan antara firma yang terbesar di dunia dalam senarai 500 Global Fortune dan telah meneroka di peringkat global di lebih 33 negara seluruh dunia terutamanya di Indonesia, Thailand, Iran dan Sudan. Namun yang demikian, isu yang berkaitan dengan kenaikan harga minyak telah menyedarkan betapa pentingnya hak minyak negeri Sabah dikembalikan kepada rakyat Sabah memandangkan proses pemulihan dari sebuah negeri yang termiskin di Malaysia kepada sebuah negeri yang selari dari segi pembangunan dan jurang perbezaan dari segi kemudahan infrastruktur dan lain-lain lagi, dapat dinikmati oleh setiap pembayar cukai. Perlu diingatkan bahawa setiap perbelanjaan yang kita belanjakan seperti membeli mi segera, barang permainan untuk kanak-kanak, ikan sardin, tisu tandas, gunting, pen, buku-buku latihan, kasut, baju dan barang-barang keperluan harian yang lain lagi, telahpun dikenakan cukai jualan, cukai perkhidmatan dan cukai pengangkutan tanpa kita sedari. Ramai yang beranggapan bahawa mereka yang menghantar borang penyata cukai pendapatan dan yang membayar cukai melalui penyata cukai tersebut adalah pembayar cukai. Anggapan mereka adalah salah memandangkan setiap rakyat yang hidup di dunia ini merupakan pembayar cukai tanpa mengira latar belakang agama, bangsa, kaum, warna kulit, seorang kakitangan kerajaan mahupun swasta, orang kelainan upaya (OKU), orang kaya mahupun miskin, Yang Berhormat mahupun Yang Berkhidmat atau Yang Bertaubat, kesemuanya merupakan pembayar cukai yang begitu taat setia menunaikan tanggungjawab kita sebagai pembayar cukai! Mulai 1 September 2009, minyak petrol RON92 dihentikan jualan dan digantikan dengan RON95. Ini bermakna dalam perkataan lain, minyak petrol yang kita isi sekarang ini merupakan minyak daripada RON92 yang mana kualitinya begitu diragukan ke atas kereta import dan kereta baru buatan tempatan sehinggakan kerajaan terpaksa memberi penjelasan tentang prestasi minyak yang terdapat pada RON95. Tentu sekali kita tidak akan lupa dengan kenaikan harga minyak yang langsung tidak munasabah pada 5 Jun 2008 di mana harga petrol RON97 (yang juga dikenali sebagai petrol RON95 pada masa sekarang) adalah RM2.70 daripada harga RM1.92 iaitu kenaikan sebanyak 41% walaupun harga dunia minyak adalah pada paras USD121.00 setong pada ketika itu! Pembelian dan pengisian minyak yang luar biasa yang berlaku pada masa tersebut, sentiasa berada di dalam ingatan semua rakyat Malaysia terutamanya di Sandakan ini yang mana begitu ramai yang berbaris panjang untuk mengisi minyak gara-gara kenaikan yang tidak munasabah sedangkan gaji dan mata pencarian yang begitu rendah yang dihadapi oleh penduduk di Sandakan ini. Kenapalah penduduk di Sabah khususnya di Sandakan ini perlu berhadapan dengan situasi yang langsung tidak adil daripada kerajaan pusat mahupun negeri terutamanya dari segi pengagihan royalti minyak dan baru-baru ini, kita dikejutkan pula dengan pengagihan kontrak oleh pihak PETRONAS yang langsung tidak memberikan peluang kepada penduduk Sabah sebagai Kontraktor Utama (main contractor) dan hanya layak sebagai sub-kontraktor untuk projek-projek sejak PETRONAS bertapak di Sabah berpuluh tahun yang lalu. Apakah rasionalnya keuntungan daripada hasil minyak di Sabah cuma dikembalikan sebanyak 5% dalam bentuk royalti minyak sedangkan 95% dikebas oleh PETRONAS dan kerajaan pusat untuk membangunkan negeri di Semenanjung? Untuk pengetahuan pihak umum, Malaysia bukanlah anggota Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan adalah wajar pihak PETRONAS mengkaji untuk menyalurkan keuntungan yang diperolehi kepada negara sendiri secara langsung dengan cara menjual petrol dan diesel yang jauh lebih rendah harganya daripada syarikat minyak dari luar negara seperti SHELL, EXXON, ESSO dan lain-lain lagi kepada rakyat Malaysia. Kerajaan sering memberikan alasan pemberian subsidi yang sangat tinggi dari segi subsidi minyak, dan adalah begitu menghairankan kenapalah PETRONAS dahlah untung banyak, namun apabila ada kenaikan harga minyak, kerajaan pula yang harus menanggung dan bertanggungjawab untuk pembayaran subsidi kepada PETRONAS? Sepatutnya syarikat-syarikat yang berkaitan dengan kerajaan (GLC) yang harus membantu meringankan beban kerajaan dan bukannya kerajaan mengalihkan tanggungan kepada rakyat! Oleh yang demikian, minyak yang diperolehi di tanah milik Sabah, haruslah dikembalikan kepada rakyat Sabah! Perjanjian yang dimeterai berpuluh tahun yang lalu, tidak lagi relevan dan ‘Harus Disemak Semula’ memandangkan perjanjian inilah antara penyebab Sabah tercatat sebagai Negeri Yang Termiskin Di Malaysia! |
0 ulasan:
Post a Comment