sumber: http://cerpendakwah01.blogspot.com
Oleh: Suhili bin Nain.
Cuti hari sabtu. Waktu yang amat sesuai untuk merehatkan fikiran setelah penat bekerja sebagai guru daripada hari isnin hingga jumaat. Sambil-sambil menyiapkan artikel baru yang hendak dimuat naik ke blog Pencinta Buku, aku melayari laman sosial Facebook untuk melihat infomasi terbaru yang bermanfaat.
“Apa pasal muka muram saja?” Aku menyapa Arif, rakan serumahku yang baru melangkah kaki ke dalam bilik, lalu merebahkan badannya di atas katilku.
“Kau sakitkah?” soalku lagi.
Arif meluruskan tulang belakangnya. Pandangannya tepat kepadaku. Dia berkata, “Aku rasa seperti mahu berhenti belajar dan habiskan masa dengan beribadat saja.”
“Apa pasal pula kau cakap macam ini?” Kerusi yang menghadap komputer riba di atas meja belajar ku pusing menghadap Arif.
“Aku bimbang.” Arif menggaru-garu kepalanya. Daripada raut wajahnya ada sesuatu tidak baik yang bersarang dalam hatinya.
“Apa pula yang engkau bimbang lagi? Masalah kertas kerja tidak siap lagikah?” Aku bertanya.
Arif menggeleng-gelengkan kepalanya, “Bukan tentang kertas kerja yang belum siap, tetapi aku bimbangkan tentang kiamat yang akan berlaku tahun 2012 ini.”
Mulutku ternganga dengan mata tidak berkelip seketika. Kepalaku seperti dihempap dengan siling yang runtuh. ‘Oh Tuhan! Berita apakah ini?’ Segera fikiranku terimbas perkara kelmarin dan hati kecilku berbisik, ‘Kiamat 2012? Daripada mana pula dia tahu kiamat 2012 ini? Ini mesti sebab ini terpengaruh daripada filem 2012 yang baru dimuat turun olehnya daripada internet kelmarin!’
“Daripada mana kau tahu kiamat akan berlaku 2012 ini?” Aku bangun daripada kerusi dan mendekati Arif.
“Lie, usia dunia ini sudah terlampau tua. Usianya sudah mencecah lebih berjuta-juta tahun!” Arif bercakap dengan pantas. “Sudah berlaku pelbagai bencana alam yang berlaku, gempa bumi di sana-sini, tsunami, banjir dan angin taufan. Itu menunjukkan kiamat sudah semakin dekat!”
“Sepertimana yang disebutkan dalam hadis, bahawa Rasulullah s.a.w menyatakan apabila muncul bunyi yang kuat pada pertengahan Ramadhan, maka pada Syawal yang berikutnya akan berlaku huru-hara dan hari kiamat.” Ujar Arif.
“Jadi, apakah kaitannya dengan kiamat 2012?” Aku merasa pelik.
“Baru-baru ini, menurut Borneo Post, di Kota Samarahan ada dikhabarkan bahawa terdapat bunyi aneh yang cukup kuat telah muncul daripada langit, dan sehari sebelum munculnya bunyi yang sama di Kota Samarahan itu, bunyi aneh tersebut juga telah kedengaran di Aaborg, Denmark. Menurut laporan lagi, bunyi tersebut pernah kedengaran di Sweden pada November tahun lepas.” Arif bingkas bangun daripada katil, lalu duduk di depan meja belajar. Dia mengakses laman web Youtube dan menunjukkan kepada aku rakaman bunyi aneh yang muncul di Kota Samarahan itu.
Selepas menonton beberapa ketika, aku menolehkan pandanganku kepada Arif.
“Mungkinkah bunyi ini yang dimaksudkan oleh Rasulullah s.a.w di dalam hadis tentang bunyi kuat yang kedengaran pada pertengahan Ramadhan itu?” Soal Arif dengan sebuah andaian. Dia cuba menyesuaikan peristiwa bunyi aneh tersebut dengan hadis yang didengarinya. “Mungkinkah bunyi ini akan berulang lagi pada pertengahan Ramadhan tahun 2012 ini?”
Aku diam merenung. Tidak berani untuk aku membuat sebarang andaian tentang perkara ini. Namun begitu, perasaanku kuat menyatakan ada sesuatu yang tidak kena. Ada keraguan yang mengetuk-ngetuk dinding hatiku. Jikalau dibiarkan lama-lama, kurang enak rasanya.
“Sebelum itu, hadis yang kau sebutkan tentang kiamat dan bunyi pada bulan Ramadhan itu apakah status hadisnya?” Aku membalas soalan Arif dengan soalan. Sebelum menerima apa yang dikatakannya, aku cuba menyelidik kebenaran hadis yang dikhabarkan oleh Arif. Maklumlah, ini perkara agama dan berkaitan akidah. Aku tidak boleh menerimanya dengan sembarangan saja. Silap percaya, merana iman!
“Entah, aku pun kurang pasti, tetapi hadis itu sedang tersebar dengan popular di internet, terutamanya blog dan Facebook!” Jawab Arif.
“Beri aku duduk situ!” Pintaku, lalu mengambil alih tempat duduk di depan meja belajar. Aku mesti dapatkan status sebenar darjat hadis yang dinyatakan oleh Arif. Aku mengakses laman carian Google.
“Apa yang kau mahu buat?” tanya Arif.
“Aku mahu pastikan darjat hadis yang kau sebutkan tadi.” Jawabku sambil mataku teliti memerhati sebaran-sebaran di internet. Akhirnya aku temui maklumat yang dihajati! Sebuah laman web yang menjelaskan status hadis yang dinyatakan oleh Arif.
“Nampaknya hadis yang kau sebutkan tadi itu adalah hadis yang palsu.” Ujarku sambil menoleh kepada Arif.
“Betulkah?” Arif meninggikan suara seakan-akan tidak percaya.
“Ya. Cuba kau lihat di sini.” Aku menunjukkan paparan di skrin komputer kepada Arif, dan menyambung semula, “Hadis tersebut telah dinyatakan kepalsuannya oleh ulama hadis yang bernama Adz-Dzahabi dan Ibnul Jauzi di dalam kitab Al-Maudhu’at.”
Selepas menatap skrin komputer ribaku beberapa ketika, Arif berkata, “Tetapi bunyi aneh yang berlaku di Kota Samarahan itu nampaknya seperti selari dengan hadis ini. Tidak mustahil bukan bahawa kiamat akan berlaku 2012?”
“Tentang bunyi aneh di Kota Samarahan itu, aku no comment, sebab aku sendiri kurang pasti bunyi apakah itu dan daripada mana asalnya. Hanya Allah s.w.t yang Maha Mengetahui. Apa yang jelas di sini, hadis yang kau sebutkan tadi sebenarnya adalah hadis yang palsu dan dusta menurut ulama hadis.” Aku menarik nafas dan memasang jeda.
“Tetapi aku tidak nafikan, memang benar dan tidak mustahil untuk berlakunya kiamat pada tahun 2012, sebab apa yang berlaku di dunia ini semuanya bergantung kepada kehendak Allah s.w.t.Kun fayakun. Dia melakukan apa yang Dia kehendaki dan tiada yang dapat mencampuri urusannya itu. Kalau Allah s.w.t mahukan kiamat 2012, itu kehendak Dia.”
“Tetapi kita perlu berwaspada dan berhati-hati, di dalam Islam kita tidak boleh mempercayai ramalan tertentu yang berkaitan peristiwa masa depan berdasarkan sangkaan semata-mata, apatah lagi membuat suatu ramalan yang berkaitan dengan perkara ghaib seperti hari kiamat tanpa panduan daripada Al-Qur’an dan As-Sunnah.”
“Cuba kita tanya, daripada mana kita tahu Allah s.w.t mahu kiamatkan dunia tahun 2012, sedangkan Allah s.w.t tidak pernah khabarkan kepada kita sedikit pun? Bukankah itu sudah memandai-mandai dan karut namanya. Kalau kita perhatikan juga, filem 2012 itu hanyalah cerita fiksyen, dan ramalan hari kehancuran dalam filem itu adalah bersumber daripada kaum yang tidak beriman kepada Allah s.w.t. Adakah patut kita mengikuti kepercayaan mereka?” Aku mempertikai tentang kepercayaan kiamat akan berlaku tahun 2012.
“Baiklah. Bagaimana pula kalau hadis tersebut terus disebarkan, sebagai pengajaran dan peringatan kepada orang ramai? Adakahnya ia dibolehkan?” Arif berkata lagi.
Aku menggeleng dan menjawab, “Tetap tidak boleh, sebab itu adalah satu pendustaan atas nama Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w bersabda dalam hadis shahih, sesiapa yang berdusta kepada atasnya dengan sengaja, maka bersiap sedialah untuk mengambil tempatnya di dalam Neraka.”
“Lagi satu, perbuatan mengaitkan ramalan kiamat 2012 adalah selari dengan Islam berpotensi besar menjatuhkan imej Islam. Bayangkan, apa pandangan orang bukan Islam terhadap Islam, bila ternyata tahun 2012 tidak kiamat. Mereka tentunya akan memandang Islam sebagai agama yang dusta, karut dan dongeng. Ini boleh memburukkan lagi imej agama Islam dalam pandangan penganut agama lain.” Luahku dengan nada bimbang.
“Lebih banyak tanda-tanda kiamat yang belum berlaku untuk menjelang kiamat 2012 ini.” Sebuah buku yang berjudul “Tanda-tanda Kiamat: Tanda Kecil & Tanda Besar” karya Yusuf bin Abdullah bin Yusuf Al-Wabil, ditarik keluar dari rak buku di atas meja. “Daripada asyik fikirkan apakah hari kiamat akan berlaku tahun 2012 ini ataupun tidak, lebih baik kita fikirkan kiamat kecil yang akan berlaku ke atas kita bila-bila masa saja.”
“Apa maksud kau dengan ‘kiamat kecil’?” Arif mengangkat kening kanannya. Tidak mengerti kiasanku.
“Maksud aku adalah ajal ataupun kematian kita. Itu lebih perlu kita fikirkan dan berusaha untuk menyiapkan diri dengan bekalan taqwa serta meningkatkan iman dan amal soleh kita kepada Allah s.w.t.” Aku menghulurkan buku “Tanda-tanda Kiamat: Tanda Kecil & Tanda Besar” tersebut kepada Arif, “Lebih baik engkau baca buku tanda-tanda kiamat ini daripada engkau tonton filem 2012 itu.”
Kesimpulan: Hentikan penyebaran hadis palsu yang dikaitkan dengan ramalan kiamat 2012. Ianya akan menjatuhkan imej Islam.
**Terima kasih buat rakan FB saya, Saudari Hafizah Ramzee Hussien atas cadangan untuk menulis cerpen tentang ramalan Kiamat 2012. Harap cerpen ini dapat memberikan pencerahan tentang khabar angin yang heboh bahawa ramalan kiamat 2012 itu adalah selari dengan Islam.
0 ulasan:
Post a Comment