Sumber: http://suarakeningau.blogspot.com/
Dunia  Melayu kini telah berubah. Ini bukan sekali air bah sekali emak  meninggalkan abah. Yang berubah ini bukan emak dan abah. Yang berubah  ialah nilai manusia Melayu. Ini satu perubahan yang amat besar. Dalam  masa hanya satu generasi telah dilihat satu perubahan budaya nilai  Melayu yang amat jelas. Satu anjakan atau lebih tepat lagi satu lonjakan  nilai telah berlaku.
Lonjakan  nilai manusia Melayu ini bukan dibawa oleh Tok Lebai atau oleh  Sasterawan Negara atau Cik Gu dan Cik Gi sekolah. Nilai ini bukan  datangnya dari sekolah pondok atau sekolah kebangsaan. Yang bertanggung  jawab membawa nilai baru ini ialah struktur ekonomi.
Struktur  ekonomi ini telah diperkenalkan kepada manusia Melayu oleh United  Malays National Organisation. Selama hampir tiga puluh tahun dahulu –  Mahathir Muhamad melalui Dasar Ekonomi Baru telah memasukkan satu nilai  dan budaya baru ini ke dalam roh manusia Melayu.
Tiga  puluh tahun sebelum hari ini – manusia Melayu adalah manusia pertanian.  Ekonomi Melayu adalah ekonomi pertanian justeru nilai yang dilahirkan  oleh manusia Melayu ketika itu menggambarkan sopan santun dan damai  mesra masyarakat pertanian.
Apabila  DEB diperkenalkan - dasar ini menolak manusia Melayu ke satu dunia dan  alam yang baru – alam jual beli atau alam perniagaan. Pada tahun tahun  70’an manusia Melayu telah digalakkan datang berhijrah ke bandar dan  kota. Dari kampong yang permai manusia Melayu telah mula memasuki pekan  dan bandar yang adat budayanya amat berbeza.
Perubahan  yang di bawa oleh DEB ini bukan satu perubahan yang perlahan lahan –  bukan evolusi. DEB ini telah mengheret dan memaksa manusia Melayu untuk  menerima satu nilai dan budaya yang baru. Justeru roh manusia Melayu ini  pada tahun-tahun 90’an dahulu telah dipopularkan sebagai roh Melayu  Baru. Ini adalah garis pisah antara Melayu pertanian dengan Melayu  peniagaan.
Sistem  ekonomi yang dimunculkan oleh DEB pada asasnya ialah ekonomi sistem  kapitalis. Tetapi dengan United Malays National Organisation sistem  kapitalis ini telah diubah suai. Sistem kapitalisma ini tidak lagi  menjadi satu perniagaan bebas tetapi kapitalisma kroni. Kapitalisma  jenis ini telah memilih anak bini kawan dan sahabat menjadi rakan niaga  untuk menerima dana dan kontrek dari kerajaan. Kapitalisma kroni inilah  yang selama ini bertanggung jawab melahirkan satu nilai baru kepada  manusia Melayu.
Asas  nilai baru yang sedang dianjurkan oleh United Malays National  Organisation ialah mengumpul pangkat, derajat , harta dan kekayaan.  Tamak dan haloba dianggap nilai yang baik dalam budaya niaga.
Hari  ini jati diri Melayu - siapa Melayu, apa kepercayaan manusia Melayu, apa  agama manusia Melayu – semuanya telah didifinasikan oleh United Malay  National Organisation. Semua pengtakrifan baik dan buruk sedang  dimonopoli oleh United Malays National Organisation.
Naratif  yang berbeza dari apa yang diajar oleh United Malays National  Organisation akan di anggap salah atau akan termasuk ke dalam bab ajaran  sesat. Ajaran agama Islam juga telah didifinasi oleh United Malays  National Organistation. Halal haram baik dan buruk bukan lagi dirujuk  melalui kitab kitab suci tetapi melalui juruheboh dan jurucakap agama  yang dilantik oleh United Malays National Organistaion.
Tidak  dibenarkan malah dilarang dan di haramkan apa sahaja naratif yang  berlainan dari cerita yang di mulutkan oleh penyokong United Malays  National Organistion. Kebenaran kini, telah dan sedang dimonopoli oleh  United Malays National Organistion.
Rasuah  yang pada satu ketika dahulu tidak ditemui atau berani menyerang  masyarakat pertanian kini telah menjadi satu jalur budaya Melayu. Rasuah  kini dilihat sebagai ciri budaya untuk menjalankan apa sahaja bentuk  perniagaan. Malah kaum pemodal dan orang berniaga kini telah menerima  pakai budaya rasuah. Dalam perhitungan jual beli, mereka telah  menyediakan belanjawan khusus untuk merasuah sesiapa yang patut dirasuah  – dari budak pejabat hingga ke CEO.
Nilai  Melayu Baru ini tidak berhenti di tahap rasuah sahaja. Satu contoh  klasik : lebih dari satu dekad dahulu ada satu kes dimana seorang anak  sekolah dibawah umur telah dihamilkan oleh seorang Ketua Menteri. Kes  ini menjadi heboh. Tetapi dengan nilai Melayu Baru kes ‘rogol bawah  umur’ ini tidak mendatangkan mudarat kepada si perogol.
Manusia  Melayu yang menganuti nilai baru ini telah tidak menyatakan rasa mual,  benci atau merasa bersalah kerana anak dibawah umur telah di rogol oleh  seorang Ketua Menteri. Nilai baru yang dihayati oleh manusia Melayu ini  lebih mementingkan kontrek dan tender yang akan diperolehi dari  mementingkan salah benar seorang budak di bawah umur yang telah di  rogol.
Ketika  tulisan ini ditulis satu lagi kes rogol sedang heboh dan rancak  dibincangkan dalam alam sesawang. Telah di perkatakan bahawa seorang  menteri kanan dalam pentabiran Abdullah Badawi dahulu telah dikatakan  terlibat merogol seorang pembantu rumah dari Indonesia.
Sama  ada kes ini saheh atau tidak bukan persoalannya. Apa yang menjadi  persoalan ialah bagaimana manusia Melayu Baru ini telah menjadi lali.  Mereka tidak lagi teperanjat apabila membaca berita ini. Malah mereka  tidak hairan yang berita ini telah tenggelam timbul selama 2 tahun.
Rasuah,  rogol dan tipu ini telah menjadi satu yang lumrah. Kerana ianya sering  berlaku atau dilakukan oleh mereka yng memiliki kuasa dan duduk di  puncak kuasa maka orang awam kini telah mula menerima ini sebagai jalur  nilai dan budaya Melayu.
Mari  kita lihat satu lagi kes klasik dimana ianya telah membuktikan lonjakan  perubahan nilai manusia Melayu ini. Kes yang dimaksudkan ini ialah kes  pembunuhan model dari Mongolia. Dari apa yang umum baca, dengar dan  lihat - ketika kes ini dibicarakan - umum telah tahu tentang kawan baik  kepada Najib Razak Timbalan Perdana Menteri ketika itu telah terlibat  dalam pembunuhan ini.
Malah  dari apa yang umum diberitahu, mengikut laporan mahkamah Najib Razak  bukan hanya kawan kepada orang yang tertuduh. Dari mulut saksi  perbicaraan umum telah diberitahu bahawa model yang dibunuh ini telah  bertemu dengan Najib Razak di Paris. Malah melalui satu akuan bersumpah  umum juga telah diberitahu yang Najib Razak ini adalah bekas kekasih  model yang terbunuh.
Persoalan  yang timbul disini bukan siapa yang membunuh. Atau siapa yang memberi  arahan agar model ini di bunuh. Bukan ini yang ingin di bincangkan Apa  yang ingin ditimbulkan ialah bagaimana 3 juta manusia Melayu yang  menjadi ahli United Malays National Organisation telah menjadi lali dan  tuli bila berhadapam dengan kes pembunuhan model dari Mongolia ini.
Ketulian  telinga dan kelalian perasaan 3 juta ahli parti United Malays National  Organisation ini terjadi kerana mereka telah menerima dan menghayati  nilai dan budaya baru. Tiga juta manusia Melayu ini kini hanya boleh  melihat melihat kontrek dan tender. Mata dan jiwa mereka tidak berupaya  lagi melarikan diri dari kuasa, pangkat dan harta benda.
Jalur  nilai baru ini tidak memiliki nilai salah dan benar. Malah salah dan  benar telah pun ditakrif oleh juruheboh dan juruagama United Malays  National Organisation. Apabila juruheboh dan juruagama mengatakan Najib  Razak ini suci dan bersih maka 3 juta manusia Melayu ini juga akan  mengangguk menerima ini sebagai wahyu.
Nilai  baru ini menjadi amat merbahaya kerana sesiapa yang menghayati nilai ini  tidak lagi ada keupayaan untuk menilai mana yang salah dan mana yang  betul. Kerana ramai yang sanggup menerima dan berkongsi dengan nilai ini  maka mereka merasa selamat dan betul. Angka dan jumlah yang banyak  menjadikan mereka merasa kebal.
Anjakan  nilai manusia Melayu ini telah menjadi bagitu songsang. Dari manusia  pertanian yang jujur dan bersopan santun kini manusia Melayu akan  berkira-kira tentang untung rugi sebelum membuat apa-apa keputusan.  Mereka tidak lagi menilai sesuatu dengan salah benar atau halal haram.  Akhirnya, 3 juta manusia Melayu yang menjadi ahli United Malays National  Organisations bukan hanya menganggap sosok Najib ini suci dan bersih  malah Najib Razak ini telah diangkat dan dinobatkan untuk menjadi ketua  mereka.
Inilah  krisis yang sedang dihadapi oleh manusia Melayu – krisis nilai. Maka  terpulang kepada manusia Melayu lain – yang bukan termasuk dalam 3 juta  ini - jika mereka masih memiliki nilai salah benar untuk bangun dan  bersuara. Krisis nilai orang Melayu ini akan berpanjangan dam membawa  mudarat yang amat sangat ke atas negara bangsa. Mudarat akan sampai jika  ramai orang Melayu yang bersopan santun dan jujur tidak melakukan  sesuatu
PERINTAH ALLAH KEPADA NABI MUSA
13 hours ago

0 ulasan:
Post a Comment