Showing posts with label Unit Amal. Show all posts
Showing posts with label Unit Amal. Show all posts

15 April, 2012

Kembara Dakwah Tanjong Batu

sumber: http://muridkyai.blogspot.com



Lebih tiga tahun lalu, aku telah meninggalkan Tanjong Batu. Tanjong Batu merupakan tempat pertama aku berkhidmat sebagai guru. Di Tanjong Batu, aku mencedok ragam pengalaman yang amat berharga terutama dalam medan dakwah. Banyak memori pahit manis yang terselit di celah perkhidmatanku sebagai guru agama di sana. Ia sukar untuk dilupakan dan ia membuka ruang perkenalanku dengan aneka ragam rencah kefahaman tempatan dan liku dakwah mengenainya.

Setelah lebih tiga tahun bumi Tanjong Batu aku tingalkan, siang tadi aku jejaki semula ke sana. Aku bergabung bersama sahabat-sahabat seperjuangan dari badan amal yang kami namakan sebagai Unit Amal dan berusahasama dengan Syarikat Takaful Ikhlas menyampaikan sumbangan kepada penduduk. Syarikat Takaful Ikhlas menyediakan sejumlah peruntukan zakat untuk penduduk pendalaman yang miskin dan pemuda dari Unit Amal membantu melestarikannya.

Siiru 'Ala Barkatillah!
Kebanyakan peserta adalah dari Kinabatangan dan dibantu oleh guru-guru Sk. Tanjong Batu. Aku menyertai kumpulan amal Islami tersebut hanya selepas selesai urusan persekolahan hari Sabtu yang nampaknya tahun ini kian sarat. Seperti yang pernah kualami dahulu, menunggu bot kapal penambang ke Tanjong Batu adalah amat melelahkan. Pergi sendirian, terpaksalah mengharapkan kapal penambang. Aku hampir memutuskan untuk tidak pergi sahaja apabila tiba-tiba ada sahabat memaklumkan ada bot yang disewa khas sedang keluar berurusan ke bandar. Dengan bot tersebut aku ke Tanjong Batu. Kebetulan pula ada seorang pegawai JHEAINS Kinabatangan ikut serta kerana beliau dijemput untuk mengendalikan Kursus Pengurusan Jenazah.

Tanjong Batu sudah banyak berubah. Kerajaan telah berjaya membina beberapa unit rumah PPRT untuk penduduk. Tenaga elektrik bersumberkan Janakuasa Solar juga sudah beroperasi. Penduduk sudah menikmati bekalan tenaga elektrik 24 jam. Tidak seperti zaman aku berkhidmat di sana dahulu, tenaga elektrik hanya diandalkan kepada genset yang memerlukan petrol sebagai bahan api. 

Rumah PPRT

Ketika aku tanya En. Jumadul, Ketua JKK Tanjong Batu Laut mengenai kadar bil yang perlu dibayarnya setiap bulan, katanya sekitar RM40 hingga RM50. Ia jauh lebih murah berbanding zaman menggunakan genset dahulu yang mana setiap bulan perlu dibelanjakan sekitar RM300. Aku tumpang gembira dengan senyum senang orang kampung merasai nikmat pembangunan itu. 

Stesen Janakuasa Solar

Bersama sahabat-sahabat penyampai sumbangan, aku singgah di rumah Syarif Osman. Rupanya anak gadisnya yang dulunya sangat tegar watak tomboynya telah berkahwin dan beranak. Alhamdulillah. Manusia berubah dan dia berubah kepada fitrahnya. Kebanyakan warga Tanjong Batu masih ingat memori bersamaku di sana. Lima tahun aku bergaul bersama mereka dan mentarbiah anak-anak mereka di sekolah dan bersama mereka dalam pelbagai acara. Mereka menyambut mesra kehadiran kami.

Ust Wan Jemizan menyerahkan sumbangan.

Imam Hasan sudah meninggal. Demikian orang kampung mengkhabarkan ketika aku tanyakan tentang imam Hasan. Semoga Allah merahmatinya. Selain itu, Imam Abdul juga sudah meninggal. Pak Mail juga sudah meninggal ketika ditahan di Rumah Merah (PTS).Fazli, kawan yang agak akrab denganku semasa di Tanjong Batu dulu juga sudah tidak bermastautin di sana lagi. Menurut jiran rumahnya di Tanjong Batu, dia telah pindah ke Kota Kinabalu dan tinggal di sana. Rumah dihuni oleh orang lain. Mungkin adik isterinya.

Antara sekian ramai warga Tanjong Batu, aku paling merasa kasih kepada keluarga Pak Loman. Terutama sekali anaknya Rami yang menjadi pengikut setiaku pada usaha mengimarah surau Tanjong Batu pada masa lalu. Pada hematku, anak-anak Pak Loman itulah yang paling mudah dicanai untuk hidup beragama, terutamanya Rami. Sayang sekali aku tidak punya banyak kesempatan untuk itu. Ketika aku menemuinya di rumahnya, aku masih melihat potensi itu pada dirinya. Hanya kepada Allah aku berdoa agar membetulkan jalannya. 

Namun, tugas membangkitkan kesedaran agama di Tanjong Batu masih jauh sayup mata. Tentu Allah SWT ada pembela agamanya yang tidak pernah putus. Aku bersangka baik mengenai nasib Tanjong Batu. Setelah berganti generasi, generasi berikutnya akan menjadi lebih baik. Itulah harapanku. Guru-guru agama di Tanjong Batu mempunyai peranan untuk memandu perjalanan mencari kebaikan ini. Kita akan berkongsi ganjaran pada mata rantai dakwah yang berkesinambungan. 

Tanjong Batu memerlukan kesedaran agama. Kesedaran agama akan melahirkan watak rakyat yang merdeka kerana agama sentiasa memerdekakan manusia. Manusia beragama tidak akan menjadi hamba dunia dan tidak akan menjadi hamba kepada sogokan kebendaan. Perjuangan memberi kefahaman agama yang tepat adalah sama susahnya dengan perjuangan memerdekakan pemikiran manusia daripada perhambaan yang salah.

Bersama TPJ di Tanjong Batu Laut

Allahummahdina!

22 March, 2011

Liga Futsal Unit Amal Sepangar

Sumber: http://amalsabah.blogspot.com/

Sepangar, 20hb Mac:
Jabatan Amal kawasan Sepangar hari ini telah melancarkan dengan rasminya pasukan Futsal unit amal kawasan yang dinamakan 'Unit Amal Dream Team'. Pasukan ini ditubuhkan bagi menyediakan ruang kepada pemuda-pemuda yang berminat dengan sukan Futsal untuk beraksi atas nama Unit Amal.


Pasukan Futsal: Unit Amal Dream Team

Sehubungan dengan itu juga, Jabatan Amal kawasan Sepangar telah berjaya menganjurkan Liga Futsal Unit Amal 2011. Program yang diadakan di Futsal City, Rampayan ini telah mendapat sambutan dari 7 buah pasukan futsal disekitar Sepangar yang mewakili kampung-kampung mereka. Pertandingan yang dianjurkan ini menghadiahkan wang tunai sebanyak RM400 kepada juara, RM300 naib juara dan RM200 tempat ketiga.


Pada sesi tazkirah yang disampaikan oleh Ust Zulfikar Abdullah sebelum pertandingan dimulakan, beliau mengingatkan kepada para peserta bahawa hasrat penganjuran Liga Futsal ini adalah bertujuan untuk merapatkan silaturahim dan membina persahabatan. Selain dari itu beliau mengingatkan bahawa bersukan merupakan satu ibadah, maka ianya pasti akan memberi pahala, maka bermainlah dengan penuh disiplin dan berhemah.

Pada pertandingan ini pasukan DullBlas dari Kg.Kibagu telah berjaya menjadi juara. Tahniah kepada semua pasukan yang terlibat dan juga urusetia yang bertungkus lumus menjayakan program ini juga kepada para penyumbang (sponcer). Jumpa lagi pada Liga Futsal Unt Amal 2012 nanti.

Gambar sekitar pertandingan:

Perlawanan akhir sedang berlangsung antara Warisan FC vs Dullblass Team

Pasukan Dullblas menjulang piala kemenangan Liga Futsal Unit Amal 2011

Juara dan Naib Juara bergambar bersama

Pasukan yang tidak berjaya juga turut mendapat cenderahati (hamper)

Bergambar bersama pengadil profesional

09 November, 2010

OPS BANJIR 3 : ANGGOTA JABATAN AMAL TAWAU TERUS BERAMAL

sumber: http://tempurarus.blogspot.com

Anggota-anggota Jabatan Amal yang melanjutkan pelajaran di semenanjung tidak melepaskan kesempatan berbakti kepada masyarakat dalam bencana banjir terburuk melanda kawasan sekitar negari Kedah baru-baru ini. Bersama dengan sahabat-sahabat kampus lain yang belum pulang ke kampung halaman, lokasi sasaran kali ini sekitar Jitra terutama kawasan perkampungan Pondok Hj Salleh.

Bertepatan dengan tema utama jabatan ini iaitu Beramal Kerana Allah, semua petugas sukarelawan turun padang berkhidmat membantu masyarakat tanpa mengharapkan sebarang ganjaran. Hanya keredaanNya jua yang diharapkan.

Berada di kampus, tugas-tugas sebagai pengkader generasi dakwah tetap diteruskan. Justeru, ahli-ahli Jabatan Amal Tawau tidak berjuang keseorangan di kampus kerana berjaya mencorak minda generasi muda intelek agar dapat menanam sifat-sifat pemuda yang sedia berkhidmat berkorban tenaga, harta dan masa. Bahkan Jasad dan Nyawa sekalipun demi agamaNya.

Setiap gerak kerja yang memerlukan tenaga dan pengorbanan besar mahasiswa, ahli-ahli Jabatan Amal Tawau sebagai perancang utama tidak sunyi dengan bantuan dan sokongan daripada sahabat-sahabat yang sedia berkhidmat dan beramal. Tiada lain yang diharapkan semoga terus istiqamah di jalan yang benar. Berikut antara coretan manis gerak kerja Jabatan Amal Tawau di perantauan...

Selamat tiba di lokasi sasaran dengan penuh keseronokan...

Bergambar kenangan sebelum berbakti dan berselut...

Proses pemindahan barangan sebelum membersihkan lantai yang
disaluti dengan selut...

Kawasan ini ditenggelami air paras dada yang mengakibatkan
banyak perkakas rumah rosak...


Antara ahli Jabatan Amal Tawau, Sdr. Idham...

Nampaknya, perabot baru la jawabnya...


Seharian bekerja, mula menampakkan hasil...



Akhirnya, selut berjaya dinyahkan...

Tutur bertindak melaksanakan kerja-kerja kaum Hawa...



Membersihkan diri sebelum berehat...

Menjamu selera yang disediakan tuan rumah, keluarga mangsa banjir...
Menjamu penuh selera dan FOKUS>>>...

'Kami sedia berkhidmat...'

Bertemu lagi pada Ops Banjir yang seterusnya....

"Beramal Kerana Allah"

18 March, 2010

Jambori Amal Pantai Barat Sabah 2010

Sumber: http://islamreturn.blogspot.com/

Kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t kerana Jambori Amal Pantai Barat Sabah telah berjaya dilaksanakan pada 12,13 dan 14 Mac 2010 baru baru ini. Bertempat di Kg. Indarasun Laut, Kudat seramai hampir 130 orang peserta dari seluruh kawasan unit Amal Pantai Barat Sabah telah menyertainya. Antara kawasan yang telah menghantar peserta pada Jambori kali ini ialah unit Amal Kudat, unit Amal Pitas, unit Amal Kota Marudu, unit Amal Kota Belud, unit Amal Sepanggar dan unit Amal Keningau.


Sebahagian peserta Jambori Amal Pantai Barat 2010 bergambar beramai-ramai.

Pada siri Jambori Amal kali ini juga, satu lagi sejarah manis telah dicipta, di mana pelancaran 'Briged Amal peringkat Negeri Sabah' dengan secara rasminya telah dilancarkan. Majlis pelancaran ini disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Amal negeri Sabah, Saudara Amir Saifuddin Samsuddin pada slot 'Induksi Amal' yang diadakan pada hari terakhir jambori tersebut. Seramai lebih kurang 70 orang peserta dari kalangan remaja telah diterima sebagai ahli briged amal pada majlis tersebut, seterusnya pemakaian 'badge briged amal' sebagai simbolik kepada 'keahlian' telah disampaikan kepada ahli briged amal. Saudara Amir Saifuddin Samsuddin pada majlis perasmian tersebut mengingatkan kepada semua peserta tentang teras 5 budaya Jabatan Amal sebagai tunggak kepada semua ahli unit amal agar dijadikan asas dalam gerak kerja Jabatan Amal.

Induksi Amal dan Majlis Pelancaran Briged Amal

Sehari sebelum itu pelbagai kegiatan amal dan kebajikan telah dilaksanakan di perkampungan Indarasun. Antaranya, gotong royong membaiki masjid dan kemudahan tandas, gotong royong membersihkan perkuburan, pemeriksaan kesihatan, kelas memasak, malam kebudayaan, program anak angkat dan penyampaian bantuan kepada fakir miskin. Selain dari itu beberapa aktiviti pertandingan dari kalangan peserta dan penduduk turut diadakan. Antaranya pertandingan merempuh halangan, sumpit, timbang bola, tarik tali, bola sepak dan lain-lain lagi. Pada jambori kali ini juga pertandingan perkemahan dan gajet terbaik turut dilaksanakan.

Acara tarik tali

Gotong-royong membersih perkuburan

Pemeriksaan kesihatan oleh 'Amal Medical Team'

Kelas memasak untuk kaum ibu

Program yang mendapat sambutan baik dari kalangan penduduk ini telah melakarkan sejarah tersendiri apabila rata-rata penduduk melahirkan rasa terharu diatas kesediaan Jabatan Amal memilih kampung mereka sebagai tapak jambori amal pada tahun ini. Bagi pihak Jabatan Amal negeri semua gerak kerja amal ini adalah kejayaan bersama di atas sokongan dan dokongan dari semua peringkat. Tahniah kepada unit Amal Kudat selaku tuan rumah, ALP negeri yang terlibat, seterusnya unit amal seluruh kawasan Pantai Barat. Juga tidak dilupa sumbangan kewangan serta kenderaan dari unit Amal Putatan pada saat-saat akhir banyak membantu kelancaran program walaupun mereka tidak dapat hadir di atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Tahiah kepada semua!
Allahuakbar!

'Beramal kerana Allah'

Hak Cipta & Penafian

SBS MEDIA (Sahabat Blog Sabah) - 2011 Digalakkan untuk sebarang sebaran. Sebarang bentuk salinan kandungan daripada laman ini mestilah disertakan link Sahabat Blog Sabah bagi memudahkan proses rujukan. Kami tidak bertanggungjawab ke atas sebarang komen yang disertakan daripada pengunjung dan menjadi tanggungjawab pengunjung sepenuhnya. Sekian.