29 September, 2011

Tiada Alasan Untuk UMNO/BN Tolak Hudud

Share
Sumber: http://ikhwannain.blogspot.com/
Artikel ini ditulis bagi mereka yang menyalah hasrat kerajaan Kelantan untuk melaksanakan hudud dengan alasan hudud tidak sesuai dengan keadaan kita di Malaysia. Sila baca sampai habis bagi mengelakan salah faham.

Isu hukum hudud kembali menjadi ‘pisang goreng’ apabila sekali lagi MB Kelantan, Tuan Guru Nik Aziz menyatakan hasrat Kelantan untuk melaksanakan hukum hudud di negeri tersebut. Dalam kenyataannya, TGNA meminta agar Perdana Menteri membenarkan Kelantan melaksanakan hukum berkenaan. Bahkan TGNA bertegas dalam pendiriannya untuk melaksanakan hukum berkenaan walaupun terpaksa berdepan dengan rakan-rakan di dalam Pakatan Rakyat.

Kemudian apabila MCA mengugut untuk keluar daripada BN sekiranya PM membenarkan Kelantan melaksanakan hukum berkenaan maka Perdana Menteri pun memberikan jaminan
"Undang-Undang hudud, tidak akan laksanakan di Malaysia ini tetapi kita terima ini adalah undang-undang Tuhan dan sebagai sebuah parti yang terdiri daripada orang Islam, kita terima hakikat ini tetapi jika ia hendak dilaksanakan ia mesti berpaksikan kepada realiti.”
Bukan itu sahaja beliau turut mendakwa para ulama’ juga tidak setuju dengan cadangan berkenaan kerana undang-undang Islam itu tidak boleh dilaksanakan melainkan kita sudah mengambil kira persekitaran dan realiti sebenar masyarakat ketika itu. Hal ini sebagaimana yang dikatakan oleh Dr. Asri Zainul Abidin apabila mengatakan hudud memerlukan ijtihad baru untuk dilaksanakan di zaman yang semakin kompleks ini.

Perdana Menteri turut mendakwa bahawa "Maqasid Syariah" yang menjadi asas kepada pentadbiran Islam masih boleh dicapai dengan sistem perundangan yang ada di Malaysia sekalipun hukum tidak dilaksanakan di Malaysia. Hal ini menunjukkan seolah-olah hukum hudud itu nampak salah dan tidak sesuai untuk wujud di zaman yang sedang kita duduki.

Pun begitu, jawapannya kepada permasalahan yang dikatakan oleh PM sebenarnya kembali kepada UMNO/BN. Selama 54 tahun UMNO/BN memerintah, langsung tiada modul khas bagi memahamkan masyarakat tentang hukum-hukum islam secara lebih mapan di Malaysia. Akibatnya sebahagian daripada masyarakat hari ini gagal untuk menerima dan memahami hukum tersebut secara baik termasuk orang islam sendiri.

Lebih teruk lagi apabila sepanjang UMNO/BN memerintah mereka seolah-olah lebih sibuk mahu masyarakat islam beriman bahawa hukum hudud adalah hukuman yang ‘zalim’ dan pernah suatu ketika ustaz-ustaz yang menyebut tentang hukum hudud disekolah boleh tangkap atas alasan kononnya boleh menimbul kekeliruan terhadap masyarakat.

Manakala tentang ‘maqasid syariah’ pula memang kita tidak nafikan undang-undang yang ada masih boleh mencapai visi tersebut. Namun kita ragui kenyataan tersebut kerana sejak akhir-akhir ini kita acap kali dihidangkan dengan kes-kes jenayah, tidak kiralah di akhbar mahupun kaca tv. Disamping perbandingan antara undang-undang semasa dengan hukum hudud jelas memperlihatkan undang-undang sekarang lebih fokus kepada mekanisma menghukum (perkara yang telah berlaku) berbanding hudud yang lebih terarah kepada mekanisma pencegahan (sebelum berlaku).

Hal ini kerana hudud tidak menghalalkan kaedah intipan dan mencari kesalahan-kesalahan orang lain yang kini banyak dilakukan di bawah sistem perundangan yang ada, sebalik lebih menjuruskan kepada tindakan agar jenayah tidak dilakukan. Mencegah itu lebih baik daripada mengubati.

Selain itu perundangan yang ada turut terdedah kepada penggubalan berdasarkan kepentingan politik. Hal ini berbeza dengan hudud yang tidak boleh digubal dengan sewenang-wenangnya kerana ia adalah hak Allah Subhana Wa Ta’ala. Setiap perlaksanaan memerlukan pertimbangan al-Qur’an & as-Sunnah dan bukannya akal fikir manusia semata-mata.

Dato’ Seri Najib secara tidak langsung menyatakan UMNO/BN sebenarnya turut berhajat kepada hukum hudud dengan berkata kita terima ini adalah undang-undang Tuhan dan sebagai sebuah parti yang terdiri daripada orang Islam, kita terima hakikat ini tetapi jika ia hendak dilaksanakan ia mesti berpaksikan kepada realiti, ironinya mereka asyik menyalahkan hukum Allah mahupun masyarakat kerana tidak bersedia untuk menerima hukum tersebut. Walhal UMNO/BN lah yang bersalah  kerana tidak mendidik masyarakat untuk menerimanya setelah sekian lama mereka berkuasa.

Hal ini berbeza dengan kerajaan negeri Kelantan yang berusaha ke perlaksaana hudud sekalipun kuasa pemerintahan dan tempoh pemerintah mereka di Kelantan lebih kecil berbanding UMNO dan sekutunya.

Kesimpulannya, tiada alasan  untuk UMNO/BN tidak menerima cadangan TGNA. Kalau pun hudud tidak dapat dilaksanakan dalam masa terdekat, sewajarnya ada persetujuan untuk berusaha ke arah itu. UMNO/BN mesti berhenti menyalah hukum Allah kononnya tidak sesuai dengan zaman mahupun menyalahkan masyarakat yang gagal menerima hukum berkenaan kerana mereka sendiri yang sengaja mencipta masalah itu.
Penulis berasa pelik dengan tindak tanduk UMNO/BN yang kononnya kecewa dengan PAS apabila menggantikan manifesto Daulah Islamiyyah dengan Kerajaan Berkebajikan. Tapi apabila PAS mengutarakan kembali idea hukum hudud, mereka cakap PAS lain pula. Jika beginilah orang-orang UMNO berpendirian, maka penulis lepas tangan jika ada yang mengatakan UMNO/BN ini adalah parti kumpulan munafiq. Na’uzubillah!
Sekian.

sebarang usaha copy & paste adalah dibenarkan, namun perlulah disertakan link blog ini sebagai sumber rujukan.

Komen Via Facebook

0 ulasan:

Post a Comment

Hak Cipta & Penafian

SBS MEDIA (Sahabat Blog Sabah) - 2011 Digalakkan untuk sebarang sebaran. Sebarang bentuk salinan kandungan daripada laman ini mestilah disertakan link Sahabat Blog Sabah bagi memudahkan proses rujukan. Kami tidak bertanggungjawab ke atas sebarang komen yang disertakan daripada pengunjung dan menjadi tanggungjawab pengunjung sepenuhnya. Sekian.