22 September, 2011

Langit Dan Bumi Ini Milik Allah, Kita Khalifah-Nya

Share
Sumber: http://qasehnurheart.blogspot.com/


Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Tinta kali ini hasil anyaman dari Ayahnda Ust. Fadli Yusof atas izin Allah. Sama-sama kita membacanya dan semoga beroleh manfaat.

Untuk sebarang pertanyaan dan persoalan,  ayahnda Ust.Fadli Yusof boleh dihubungi melalui Link Ini (Note Asal) dan Ayahnda (FB Ust. Fadli Yusof).

Kita dicipta sebagai hamba dan khalifah-Nya, agar kita mentadbir alam Tuhan ini mengikut peraturan yang ditetapkanNya, dalam sebuah manual yang diturunkan bernama Al Quran, dengan suluhan petunjuk dan pedoman Rasulullah ﷺ.

لَهُ ۥ مُلۡكُ ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضِ‌ۖ يُحۡىِۦ وَيُمِيتُ‌ۖ وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَىۡءٍ۬ قَدِيرٌ

"Dia lah (Allah) sahaja yang menguasai dan memiliki langit dan bumi; Ia menghidupkan dan mematikan; dan Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu." (Al-Hadiid 57:2) 

Sabda Rasulullah ﷺ:

تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا كِتَابَ اللَّهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ

 “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang jika kamu berpegang padanya kamu tidak akan sesat, iaitu kitab Allah (al-Quran) dan sunnah Nabi-Nya”. (HR Malik)

Al Quran dan Sunnah Rasulullah ﷺ merupakan peraturan Allah sebagai panduan hidup manusia. Langit, bumi dan segala isinya adalah kepunyaan Allah. Maka Allah jugalah yang berhak membuat peraturan-peraturannya.

Allah sediakan peraturan itu untuk manusia menggunakan dan menjalankannya. Manusia wajib mengikuti peraturan Allah itu. Mereka tidak boleh mengikuti akal sendiri, tidak berhak membuat peraturan sendiri. Peraturan Allah itu, jika tidak dipatuhi dan diikuti, akan hancurlah dunia ini, 

ظَهَرَ ٱلۡفَسَادُ فِى ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ بِمَا كَسَبَتۡ أَيۡدِى ٱلنَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعۡضَ ٱلَّذِى عَمِلُواْ لَعَلَّهُمۡ يَرۡجِعُونَ 

"Lahirlah kerosakan di lautan dan di daratan akibat dari tangan-tangan manusia." [Q.S. Ar Rum : 30:41]

Itulah yang sedang berlaku dalam dunia hari ini, secara menyeluruh dan sejagat, peraturan Allah tidak dipatuhi lagi. Undang-undangNya dipandang sepi. Tidak diamalkan dari peringkat yang paling kecil (individu), apatahlagi dalam mengatur keluarga, masyarakat, negara, hingga alam sejagat.


Logiknya, bila ada orang membaiki kereta BMW menggunakan manual kereta kancil, walaupun kedua-duanya sama, sebuah kereta, pastilah kerosakan yang dialami kereta BMW itu akan bertambah parah, bak kata pepatah, bagai tikus membaiki labu. Membaiki kereta BMW mesti menggunakan manual atau panduan, atau peraturan yang telah disediakan oleh tukang reka kereta BMW.

Logiknya, bila ada orang membaiki kereta BMW menggunakan manual kereta kancil, walaupun kedua-duanya sama, sebuah kereta, pastilah kerosakan yang dialami kereta BMW itu akan bertambah parah, bak kata pepatah, bagai tikus membaiki labu.

Lihatlah dalam diri kita, sudahkah kita mengatur hidup kita mengikut peraturan Allah itu? Sudahkan perintahNya kita patuhi dan laranganNya kita jauhi?

Lihatlah pula dalam kita mengatur kehidupan keluarga dan rumahtangga kita. Sudahkan mengikut peraturan Allah itu? Sudahkah perintahNya kita patuhi dan laranganNya kita jauhi dalam rumahtangga, dalam mendidik isteri dan anak-anak, dalam mencari rezeki sehari-hari?

Lihatlah dalam skop yang lebih luas lagi, sudahkah peraturan Allah itu kita laksanakan dalam masyarakat? dalam negara? Atau kita gunakan manual yang lain selain Al Quran dan Sunnah?

Kita hidup dibumi ciptaan Allah, malah kita juga ciptaanNya, adakah patut kita menggunakan cara yang lain selain yang ditunjukkannya untuk kita hidup sebagai khalifah dan hambaNya?

Peraturan yang Allah tetapkan, itulah sunnatullah.

وَلِلَّهِ يَسۡجُدُ مَن فِى ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضِ طَوۡعً۬ا وَكَرۡهً۬ا وَظِلَـٰلُهُم بِٱلۡغُدُوِّ وَٱلۡأَصَالِ

"Dan kepada Allah jualah sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi tunduk menurut, sama ada dengan sukarela (tau'an) atau dengan terpaksa (karhan) dan (demikian juga) bayang-bayang mereka; pada waktu pagi dan petang. (Ar-Ra'd 13:15)

Hukum atau sunnatullah yang berbentuk karhan (terpaksa), mahu tidak mahu terpaksa dipatuhi oleh manusia, yang mana jika melanggarnya, risiko atau pembalasannya serta merta. Contoh: Allah tetapkan, kalau nak bernafas, mestilah menggunakan udara. Semua orang menerimanya. Jika ada yang menolak, lalu ingin bernafas menggunakan air, tentulah dia akan lemas. Itulah sunnatullah.

Hukum atau sunnatullah yang beginilah yang telah Allah beritahu dalam Al Quran,

تُسَبِّحُ لَهُ ٱلسَّمَـٰوَٲتُ ٱلسَّبۡعُ وَٱلۡأَرۡضُ وَمَن فِيہِنَّ‌ۚ وَإِن مِّن شَىۡءٍ إِلَّا يُسَبِّحُ بِحَمۡدِهِۦ وَلَـٰكِن لَّا تَفۡقَهُونَ تَسۡبِيحَهُمۡ‌ۗ إِنَّهُ ۥ كَانَ حَلِيمًا غَفُورً۬ا

"Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun." (Al-Israa':17:44)

أَلَمۡ تَرَ أَنَّ ٱللَّهَ يُسَبِّحُ لَهُ ۥ مَن فِى ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱلطَّيۡرُ صَـٰٓفَّـٰتٍ۬‌ۖ كُلٌّ۬ قَدۡ عَلِمَ صَلَاتَهُ ۥ وَتَسۡبِيحَهُ ۥ‌ۗ وَٱللَّهُ عَلِيمُۢ بِمَا يَفۡعَلُونَ

"Tidakkah engkau mengetahui bahawasanya Allah (Yang Maha Esa dan Maha Kuasa) sentiasa bertasbih kepadaNya sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi serta burung-burung yang terbang berbaris di angkasa? Masing-masing sedia mengetahui (menurut keadaan semulajadinya) akan cara mengerjakan ibadatnya kepada Allah dan memujiNya (tasbih) dan Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka lakukan. (An-Nuur: 24:41)

Hukum atau sunnatullah yang berbentuk tau'an (pilihan atau sukarela), jiga disebut sebagai syariat, itulah peraturan-peraturan yang Allah tetapkan untuk manusia hidup dengan selamat di dunia dan di akhirat. Kalau peraturan itu tidak diikuti, nescaya binasa dan terazablah manusia baik di dunia apalagi di akhirat. Cuma hukuman itu tidaklah secepat kilat seperti hukuman melanggar peraturan-peraturan yang terpaksa diikuti (karhan) tadi.

Melanggar syariat Allah bentuk yang kedua ini, akibat buruknya terjadi di akhirat, pada hari hisab. Kalau terjadi juga di dunia tapi lambat, terpaksa melalui proses kerosakan yang lama. Hingga selalunya manusia tidak sedar bahawa akibat melanggar hukum Allahlah terjadinya bencana itu, itulah pada hakikatnya. Misalnya, orang yang makan harta anak yatim, biasa jadi miskin papa, tersisih dan terhina di hujung umurnya. Demikian juga kalau derhaka pada ibu bapa, hukuman terjadi sesudah penderhaka itu sendiri mendapat anak, yang anak itu sangat menderhakainya. Hal ini kadang-kadang tidak disedari sebagai hukuman ke atas dosanya yang pernah menderhakai ibu bapanya.

Begitulah juga terhadap riba, zina, rasuah, sombong, bakhil dan lain-lain perkara haram yang dibuat oleh orang Islam atau kafir. Hukumannya tidak Allah datangkan segera. Sengaja Allah tangguhkan. Supaya dapat dilihat siapa yang beriman dan siapa yang kafir, siapa yang dapat berfikir dan siapa yang tidak mahu berfikir, siapa yang mengambil iktibar dan siapa yang tidak, siapa yang taat dan siapa pula yang derhaka.

ٱلَّذِى خَلَقَ ٱلۡمَوۡتَ وَٱلۡحَيَوٰةَ لِيَبۡلُوَكُمۡ أَيُّكُمۡ أَحۡسَنُ عَمَلاً۬‌ۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡغَفُورُ

"Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat);" (Al-Mulk:67:2)

Orang beriman, kerana yakinnya pada Allah, tidak melanggar segala hukum Allah. Tapi orang yang tidak beriman, tetap menurutkan hawa nafsunya. Mereka menyangka, mereka akan selamat dan bahagia dengan cara itu. Sebab itu mereka berani melanggamya. Mereka tidak yakin bahawa azab Allah bisa datang setiap saat.

Firman Allah SWT:

مَّنِ ٱهۡتَدَىٰ فَإِنَّمَا يَہۡتَدِى لِنَفۡسِهِۦ‌ۖ وَمَن ضَلَّ فَإِنَّمَا يَضِلُّ عَلَيۡہَا‌ۚ وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ۬ وِزۡرَ أُخۡرَىٰ‌ۗ وَمَا كُنَّا مُعَذِّبِينَ حَتَّىٰ نَبۡعَثَ رَسُولاً۬

"Barang siapa yang berbuat sesuai dengan hidayah (Alllah), maka sesungguhnya dia berbuat itu untuk (keselamatan) dirinya sendiri, dan barang siapa yang sesat maka sesungguhnya dia tersesat bagi (kerugian) dirinya sendiri. Dan seorang yang berdosa, tidak dapat memikul dosa orang lain, dan Kami tidak akan mengazab sebelum Kami mengutus rasul. (Al- Israa': 17:15)

Golongan yang menolak hukum Allah (syariat) ini kerana mereka tidak kenal Allah. Allah perkenalkan diri-Nya dan kekuasaan-Nya dalam ayat 2 Surah Al-Hadiid itu, agar manusia ini faham, segala yang di langit dan bumi ini milik Allah, hendaklah digunakan dan diurus mengikut hukum dan peraturan dari Allah.

Kerana itulah, tugas pertama mereka yang ingin menegakkan hukum Allah di mukabumi ini, kenalkan manusia kepada Allah. Bila manusia ini tidak kenal Allah, mana mungkin mereka mahu cinta dan taat kepada Allah. Selalu kita tersalah langkah, perjuangkan dan kenalkan hukum Allah dahulu, sedangkan Allah yang menurunkan hukum itu tidak kita kenalkan terlebih dahulu. InsyaAllah, perkara ini dibincangkan dalam nota seterusnya.

Komen Via Facebook

0 ulasan:

Post a Comment

Hak Cipta & Penafian

SBS MEDIA (Sahabat Blog Sabah) - 2011 Digalakkan untuk sebarang sebaran. Sebarang bentuk salinan kandungan daripada laman ini mestilah disertakan link Sahabat Blog Sabah bagi memudahkan proses rujukan. Kami tidak bertanggungjawab ke atas sebarang komen yang disertakan daripada pengunjung dan menjadi tanggungjawab pengunjung sepenuhnya. Sekian.