Suatu  perkongsian yang ana rasakan perlu untuk sahabat-sahabat, adik-adik,  serta untuk diri ana yang  mana dengan memilih jalan dakwah sebagai  jalan sepanjang menempuh kehidupan di dunia yang sementara. Tidak  kira,sama ada di alam kampus, di sekolah mahupun di kawasan atau negeri  masing-masing. 
Wahai  saudara-saudara yang ana kasihi sekalian, perjalanan dakwah merupakan  suatu perjalanan yang panjang dan penuh dengan onak durinya. Ia  merupakan suatu perjalanan tarbiyah yang telah diatur olah Allah Swt  kepada hamba-hamba yang dipilih oleh-Nya.
"Kamu  adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyeru kepada  yang ma'aruf dan mencegah dari yang mungkar dan beriman kepada Allah  Swt. Sekiranya ahli kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka,  di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakkan mereka adalah  orang-orang yang fasik." (Ali-Imran:110) 
Dalam  kehidupan seorang daie, hakikatnya kita sedar bahawa dalam kesibukan  seharian sama ada bekerja atau belajar,  kita seharusnya berusaha untuk  mencari kesempatan meningkatkan kualiti diri sebagai daie. Semoga dengan perkongsian yang sedikit ini memberikan manafaat kepada antum. 
Pertama,  perlu cerdas dalam berorganisasi.  Jalan tarbiyyah memerlukan bukan  sahaja peribadi-peribadi yang ikhlas,  namun harus produktif dan  memaksima potensi diri. Dengan kata lain,  ikhlas sahaja tidak cukup,  perlu bijak memanfaatkan organisasi yang  disertai untuk memacu  perjalanan dakwah dan tarbiyah. 
Seorang  mahasiswa, pelajar  yang cerdas, perlu memilih organisasi yang sesuai  dengan fitrah, bukan  sembarangan organisasi seperti sesetengah kelab   yang membudayakan pergaulan  bebas, yang fokus hanya pada pembangunan  fizikal, mental tapi  mengabaikan pembangunan jiwa para ahlinya. Sangat  perlu memilih kelab  yang mampu menggarap potensi kalian sebagai  pemuda/i dari segala aspek  seperti kepimpinan, komunikasi, teamwork dan  sebagainya. Terutama aspek kecerdasan  iman dan ruhiyyah, di sebalik  seribu satu agenda musuh-musuh Islam yang  meruntuhkan peribadi Islami  pemuda yang mencari erti mukmin. Tidak  semestinya memilih Persatuan  Pelajar Islam atau Kelab Amar Makruf,  namun organisasi yang dipilih  sebaiknya boleh bekerjasama dan berkembang  untuk misi dan visi dakwah.  Kecerdasan antum memilih akan membantu antum melihat organisasi tersebut  sebagai wasilah yang sangat baik untuk  menghidupkan aktiviti dakwah  dan tarbiyyah.
Apa  kesan tidak cerdas mengorganisasi?  Pertama, kerja banyak, masa  terbuang, namun tidak nampak nilai  tarbiyyah. Sibuk ke sana ke mari  berprogram, ruhiyyah menjadi penat,  kerjasama dengan rakan sekelab  mudah kucar kacir kerana matlamatnya jauh  dari membawa manusia mengenal  ALLAH. Timbullah isu untuk meletak  jawatan dan gosip liar memburukkan  persatuan sendiri.
Kedua,   apabila hebat berorganisasi tapi tak cerdas, hasilnya kita kenal ramai   orang, orang besar orang kecil, namun, kita tidak manfaatkan untuk   menggiatkan dakwah dan tarbiyyah. Hanya berbangga mendampingi   tokoh-tokoh yang dikenali, namun rakan persatuan yang lain makin hilang   jati diri kerana program-program yang dianjurkan sifatnya sementara dan   kering. Hanya memenuhkan jadual program setiap semester atau setiap  tahun. Banyak  aktiviti, namun tiada sasaran yang jelas. Seterusnya,  seorang daie perlu memiliki gagasan pemikiran yang mantap dan luas.   Harus perlu membaca, membaca dan membaca. Tidak boleh tidak, seorang  daie perlu selalu memperdalam ilmu dan  kematangan dengan jadual bacaan  yang konsisten. Apapan bidang dan  pilihan ilmu yang ingin dikuasai,  semua ini perlu bersumber Al Quran dan  As Sunnah. 
Tidak   mungkin untuk mempunyai kekuatan hujah, jika tiada intensif dengan  tilawah dan  tadabur Al Quran. Perlu dekat pada Sunnah Rasulullah SAW  dan cinta untuk  mengamalkannya. Dengan ilmu yang sentiasa dipelajari,  para daie mampu  meneguhkan gagasan pemikiran bukan sekadar berorientasi  kejayaan dunia,  namun gagasan pemikiran yang membawa keberuntungan  sebenar di akhirat.
Untuk   menyaksikan kesinambungan dakwah juga, seorang daie harus punya   sensitiviti yang tinggi untuk menjaga keamanan perjalanan tarbiyyah dan   dakwah di kampus, sekolah atau kawasan masing-masing. Berusaha  'memurnikan' program dengan kelulusan, mengikut syarat yang diletakkan  dalam berprogram. Daie  yang cerdas memandang jauh ke depan, tidak mahu  di lucutkan dari  gelaran mahasiswa kerana emosi, tidak mahu usaha  tarbiyyah orang lain di  kampus juga terus dipatahkan HEMA hanya kerana  semangat yang melebihi  kematangan.[Khusus untuk sahabat di alam kampus]
Ya,   dakwah menyeru pada manusia kepada Allah itu sunnatullahnya dimusuhi   sepanjang adanya langit dan bumi, namun cara berdakwah itu tidak harus   dibenci orang yakni mad'u. Perlu mengambil ibrah dari dakwah  Rasulullah  Saw yang berkembang luas, bagaimana Rasulullah sangat matang  berdakwah  dengan nilai ilmu dan keimanan tanpa melupakan perancangan jua   strategi. Bagaimana indahnya tutur bicara dan perilaku baginda yang   menjadikan orang sekeliling cinta pada agama Allah ini, lembutnya sikap   baginda amat menyentuh perasaan, dalam masa yang sama, ketegasan  baginda  tidak menjengkelkan. Inilah yang berusaha untuk kita contohi. 
Wahai   para daie yang diramhati Allah, timbalah pengalaman sebanyak-banyaknya  walau dimana jua. Pengalaman itu tidak datang sendiri melainkan melalui  jatuh bangun,  kejayaan dan kegagalan kalian sepanjang berprogram dan  beraktiviti. Daie  yang ikhlas akan membantu saudaranya yang tersilap di  jalan dakwah,  daie yang ikhlas juga akan mengambil teguran dan nasihat  temannya untuk  terus thabat di jalan yang sulit ini.
Yang keempat,  ayuh saudaraku, kita berusaha menjadi teladan dalam beramal.  Inilah  bahagian sukar dalam lapangan dakwah, kita diuji dengan kekangan  diri  untuk merealitikan kebaikan yang diseru. Kita alpa melakukan  kebaikan  yang diseru kadang-kadang, ada masanya diri sendiri terjatuh  pada  perkara berdosa dan maksiat yang kita cuba cegah di jalan tarbiyyah   ini. Banyak  sekali senarai karater mulia yang perlu dilengkapkan pada  diri.  Sudahkah kita para daie menjadi anak, suami atau isteri yang  menunaikan  sebaiknya hak ibubapa dan pasangan? Sudahkah kita menjadi  orang yang  menjaga dan memanfaatkan masa hingga kita menukar 'janji  melayu' kepada  'janji daie'? Menjadi daie sangat perlu untuk mempunyai  akhlak yang  mendamaikan hati di mana pun berada. Sangat penting menjaga  itqan dan  jiddiyah di lapangan kerja dan belajar.
Yang terakhir,  para daie harus punya ruhiyyah yang tinggi.  Semakin banyak bekerja,  semakin jauh melangkah di jalan dakwah ini,  para daei harus mempunyai  ruhiyyah yang sering basah dengan keimanan dan  ketaqwaan. Kekuatan  ruhiyyah menjadi bekal agung dalam dakwah. Ruhiyyah  itu ibarat petrol  pada kenderaan, harus selalu diisi supaya perjalanan  lancar dan  istiqamah. Ruhiyyah yang segar itu yang memperbaharui  keikhlasan. 
Ada   kata-kata menyebut, iman itu turun dan naik. Benar sekali, arus global   yang bergerak pantas menyaksikan kepantasan syaitan melemah segenap   kekuatan muslim. Mudah sahaja rasa bersemangat di pagi hari, namun di   petang hari imannya kembali memudar. Hanya mujahadah dan hati yang   sering zikrullah jua zikrulmaut dapat memelihara diri dari godaan dunia   dan tipu daya syaitan.
Duhai   putera wa puteri daie , kitakah yang sering berprogram ke tengah malam   hingga lelah tidak terbangun untuk solat malam? Malah subuhnya sering  di  penghujung waktu? Kita berprogram menjaga kebajikan teman, adakah  kita juga prihatin urusan ibu ayah yang menanti  kehadiran kita memberi  warna baru dalam musykil keluarga yang tak  kunjung habis? Kitakah  yang  rancak bersembang hal dakwah namun tidak rancak bertilawah dan   tadabbur sedangkan Al Quran itulah yang menyalurkan kekuatan terhebat   pada para sahabat dalam memperjuangkan Islam. Mungkinkah benar menyeru   pada Allah jika Al-Quran dan solat tahajjud tidak menjadi sumber   rujukan, ketenangan dan kekuatan para daie sekalian. 
Insyallah   sama-sama kita kembali cerdas dalam berorganisasi, dan meningkatkan   wawasan pemikiran dengan pembacaan dan pengkajian ilmu. Bersama juga   kita meningkatkan sensitiviti menjaga 'keamanan' perjalanan dakwah untuk   jangka panjang di samping menjadi teladan dalam beramal. Dan teruslah   kesegaran ruhiyyah di jaga agar kita sering ikhlas dan istiqamah di   jalan para rasul. 
Inilah   sedikit sebanyak perkongsian yang ana belajar untuk bersama-sama   kalian mencari redha-Nya. Insyallah marilah kita sama-sama bermuhasabah   diri memberi yang terbaik dalam amanah yang ditunaikan. Allah, berat  terasa dibahu ini untuk memikulnya. Tapi perlu dietruskan demi melihat  Islam subur di muka bumi. Allahuakhbar...Allahuakhbar...Allahuakhbar!





1 ulasan:
görüntülüshow
ücretli show
ZDUM
Post a Comment