25 April, 2012

SAPP-Star khianati Anwar

Share

sumber: http://masdarwahid.blogspot.com

Walaupun Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah menyatakan kesediaan untuk memberi laluan kepada SAPP-Star untuk bertanding di kerusi yang sebelum ini ditandingi KEADILAN di negeri itu, namun kedua-dua parti itu jelas tidak menghormati Ketua Pembangkang itu.

Terbaru, bekas anggota KEADILAN yang berpaling tadah dan terkenal dengan sikap melompat parti dengan kini menjadi Pengerusi Star Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan membayangkan partinya akan bertanding di 60 kerusi DUN di negeri itu.

Bukan setakat itu, Jeffrey juga menunjukan keegoannya apabila menegaskan akan bertanding di ke semua 25 kerusi Parlimen di negeri itu.

Suatu hakikat yang pasti, bukan mudah untuk sebuah parti baru bertanding di ke semua kawasan kerana ia memerlukan perbelanjaan besar.

Melainkanlah Jeffrey mendapat 'bantuan' daripada abangnya, Datuk Seri Pairin Kitingan.Pairin ialah Timbalan Ketua Menteri Sabah dan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS-BN), sekutu kedua terbesar BN di negeri itu.

Jeffrey sebelum ini merupakan anggota PBS sebelum meninggalkan parti itu untuk menyertai Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), sebuah parti serpihan PBS.

Ada yang melihat penyertaan Jeffrey ke PBRS untuk menggabungkan kedua-dua parti itu untuk memperkukuhkan kedudukan abangnya dalam PBS.

Dalam PBRS, Jeffrey pernah cuba merampas jawatan Presiden, selepas gagal, dia merajuk dan keluar parti dan cuba menyertai Umno.

Selepas Umno menolaknya, barulah Jeffrey menyertai KEADILAN selepas melihat kerjaya politiknya kian suram dengan beliau turut kalah pada PRU 2004.

Dalam KEADILAN, bukan lagi rahsia apabila Jeffrey turut bertelagah hampir ke semua bekas Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri (MPN) termasuk pimpinan KEADILAN Pusat, Saifuddin Nasution Ismail, Azmin Ali, Fuziah Salleh yang dihantar sendiri ke Sabah oleh Anwar.Jeffrey hanya diam seketika semasa Anwar memangku jawatan MPN Sabah.

Ada cakap-cakap politik di internet dan dalam kalangan pimpinan Pakatan Rakyat Sabah bahawa Jeffrey juga sengaja bertanding di Parlimen Keningau pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu bagi mengelakan kawasan itu dirampas Pakatan Rakyat.

Sekurang-kurangnya jika abangnya kalah di situ, kawasan itu masih diwakili beliau dan sebab itu juga mengapa DAP Sabah beriya-iya meletak calon di kerusi itu kerana sudah menghidu taktik Jeffrey.

Sesuatu yang tidak dapat dilupakan juga ialah semasa Majlis Makan Malam Tahun Baru Cina, anjuran KEADILAN Kota Kinabalu sebelum ini, Jeffrey turut hadir dalam program dengan Anwar juga menunjukan komitmen untuk bekerjasama dengan semua parti pembangkang Sabah termasuk Star.Malangnya, tidak lama selepas majlis itu berakhir, muncul berita anggota KEADILAN 'dicuri' oleh Star dalam Cabang Kota Belud.

Kota Belud antara Cabang KEADILAN yang kian aktif dengan kerjasama erat parti itu bersama PAS di situ.

Malah, Parlimen Kota Belud yang diwakili Datuk Abdul Rahman Dahlan adalah antara kerusi yang disasar Pakatan Rakyat untuk menang kerana ada banyak 'bukti menarik' untuk menumbangkan calon Umno itu.

Adalah sesuatu yang malang, Star enggan bekerjasama dengan Pakatan Rakyat dalam keadaan Pilihan Raya Umum kian hampir.Kecualilah Star memang dibentuk dengan sengaja untuk memecah belahkan pembangkang di negeri itu.

Kita jangan lupa, pada PRU lalu, Jeffrey antara yang terlibat dengan perbincangan kerusi dengan pembangkang di Sabah.

Namun, beliau gagal yang menyaksikan Umno BN menang mudah dengan menang 59 daripada 60 kerusi DUN dan 24 daripada 25 kerusi Parlimen.

Antara sebabnya kerana parti pembangkang di Sabah bertembung sesama sendiri termasuk yang menyaksikan 8 penjuru dalam sesebuah kawasan dan yang tertinggi di seluruh negara.

Pada PRU lalu, 12 kerusi DUN atau satu pertiga daripadanya dimenangi oleh BN dengan majoriti tipis.

Malah kesemua 12 kerusi DUN itu jika menyaksikan satu lawan satu, jumlah undi rakyat terhadap parti-parti pembangkang melebihi jumlah undi yang dimenangi Umno BN.

Star berasal dari Sarawak yang diasaskan oleh Dr Patau Rubis dan kini dikembangkan Dr Jeffrey ke Sabah.Bagi SAPP pula, parti pimpinan Yong Teck Lee ini juga pernah mensasarkan mahu bertanding lebih 45 daripada 60 kerusi DUN dengan bakinya terserah kepada KEADILAN, PAS dan DAP.

Walaupun SAPP juga pernah menunjukan komitmen untuk bersama Pakatan Rakyat, namun kita jangan lupa SAPP juga bertanding disaat-saat akhir menentang KEADILAN-Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi sebelum ini.

Malah, Yong sendiri adalah calon SAPP di situ yang menyaksikan parti itu menduduki tangga tercorot termasuk memburukan KEADILAN-Pakatan dalam kepen PRK itu.

Sudah tiba masanya, Pakatan Rakyat mengumum bahawa gabungan itu hanya dalam kalangan KEADILAN, PAS dan DAP dan selesai serta umumkan segera agihan kerusi kamu dan memperkemaskan gerak kerja penerangan.

Jangan dilayan lagi parti seperti SAPP-Star ini kerana ia hanya membazirkan masa dalam keadaan Parlimen akan dibubar penghujung Mei ini atau awal Jun depan.

Pakatan harus ingat, selain SAPP-Star, Umno BN juga menaja beberapa parti pembangkang di negeri itu untuk memecah belahkan pembangkang.

Parti ini termasuklah Pertubuhan Kebangsaan Pasok Nunukragang Bersatu (PASOK), Parti Demokratik Setiahati Kuasa Rakyat Bersatu Sabah (SETIA) dan Parti Barisan Rakyat Sabah Bersekutu (Bersekutu) yang hanya mencul menjelang PRU.

Ke semua parti ini kita tidak pernah dengar mengadakan sebarang kongres atau himpunan untuk pemilihan pemimpinnnya, namun ada wang pula bertanding di semua kawasan setiap kali ada PRU.

Bersekutu diasaskan oleh Datuk Harris Salleh yang juga rakan rapat Tun Dr Mahathir dengan logo partinya ada lambang dacing.

Manakala Setia kini menukar nama kepada Parti Bersatu Sasa Malaysia (BERSAMA) pada 23 Mac tahun lalu dan akan bertaning di kerusi tertentu di Kedah khasnya di kawasan PAS dan KEADILAN.

Sama seperti Star, dari mana semua parti-parti ini dapat dana? dan mampu pula bertanding di semua kerusi di Sabah yang tidak sedikit perbelanjaan untuk menaja kesemua calon mereka.

Itu tidak termasuk parti serpihan Usno, Parti Perpaduan Rakyat Sabah yang dikaitkan dengan Parti Ekonomi Rakyat Sarawak (PERSB) dan Parti Kebenaran Sabah (PKS) yang kini menyokong BN. tidak hairan aoabila Pendaftar Pertubuhan (ROS) bersedia melulus 12 parti baru di Sabah baru-baru ini.

Rakyat Sabah khasnya golongan muda sudah tidak sabar untuk menumbangkan Umno BN di negeri itu, namun mereka menyampah dengan pertelagahan yang tiada kesudahan ini.

Penulis sekadar meluahkan suara mereka dan terpulanglah kepada pimpinan Pakatan Rakyat negeri dan pusat untuk bertindak.

Komen Via Facebook

0 ulasan:

Post a Comment

Hak Cipta & Penafian

SBS MEDIA (Sahabat Blog Sabah) - 2011 Digalakkan untuk sebarang sebaran. Sebarang bentuk salinan kandungan daripada laman ini mestilah disertakan link Sahabat Blog Sabah bagi memudahkan proses rujukan. Kami tidak bertanggungjawab ke atas sebarang komen yang disertakan daripada pengunjung dan menjadi tanggungjawab pengunjung sepenuhnya. Sekian.