Flashmob Bantahan Trans-Pacific Partnership Agreement (TPPA), Gaya Sreet, 14 Julai 2013
Lahirul (gambar) sedang memberikan penerangan berkaitan TPPA
Kedaulatan Ekonomi dan Industri Negara
Oleh kerana perjanjian ini mempunyai kaitan dengan persoalan kedaulatan ekonomi dan kesan kepada pelbagai industri negara, maka ia wajar diusulkan sebagai isu yang sangat serius, kerana ia akan mendedahkan pelbagai industri negara terutamanya industri kecil dan sederhana yang bermodal kecil yang banyak di Negeri Sabah ini kepada persaingan yang tidak adil dengan syarikat-syarikat gergasi asing.
Apa yang lebih membimbangkan ialah, pelbagai dasar-dasar negara terpaksa dipinda dan dirombak serta dimansuhkan kerana akan dianggap sebagai penghalang kepada pelaksanaan pasaran bebas tersebut. Natijahnya, kedaulatan dan kebebasan kita untuk membuat peraturan, undang-undang dan dasar yang melindungi kepentingan rakyat dan negara akan tergadai.
Justeru, Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah menuntut agar satu kajian terhadap kesan penyertaan Malaysia dalam TPPA terutamanya kesan yang signifikan terhadap pertumbuhan ekonomi negara dan peratusan pelaburan langsung asing (FDI). Kajian tersebut juga perlulah menyentuh secara langsung terhadap kesan yang akan dihadapi oleh rakyat Sabah dan Sarawak terutamanya melibatkan Isu tanah adat atau Native Constumary Rights (NCR) dan kedaulatan Negeri Sabah untuk melaksanakan isi kandungan Perjanjian Malaysia 1963.
Kami juga mengingatkan bahawa selama ini rakyat Sabah dan Sarawak telah sekian lama ditindas melalui polisi dan dasar yang tidak adil seperti Polisi Kabotaj, justeru persoalan adakah sekiranya perjanjian ini ditandatangani nanti nasib rakyat Sabah dan Sarawak akan terbela atau bertambah melarat perlu dijawab dengan cermat oleh pihak MITI dan Kerajaan Malaysia.
Kenapa Sabah menjadi lokasi perbincangan?
Satu yang menjadi tanda tanya, ialah kenapa Negeri Sabah dipilih menjadi lokasi perbincangan kali ke-18 bagi TPPA? Sebagai anak negeri ini, kita mahukan kepastian apakah kerajaan Negeri Sabah di bawah kepimpinan Datuk Seri Musa Aman telah jelas dan sedia maklum tentang isi kandungan serta
matlamat perundingan tersebut sehingga bersedia untuk menjadi tuan rumah.
Juga, sekiranya Kerajaan Negeri Sabah sudah memiliki maklumat tentang TPPA ini, adakah ia telah dibincangkan dalam Dewan Undangan Negeri Sabah (DUN) dan sejauh mana wakil-wakil DUN itu jelas dan faham berkenaan perjanjian ini kerana perlu diingat kesannya akan dideritai oleh rakyat negeri ini bergenerasi lamanya.
Adalah satu tindakan yang pelik dan kurang wajar apabila perundingan sebesar ini terutamanya melibatkan kepentingan dan kedaulatan negara dilakukan di luar Ibu Negara. Seolah-olah wujud satu tindakan untuk menghalang atau menutup perundingan sepenting ini daripada pengetahuan dan penglibatan rakyat umum di negara ini.
Mungkinkah juga wujud cubaan Kuala Lumpur untuk mengelak daripada bertanggungjawab dan meletakkan kesalahan sepenuhnya kepada Negeri Sabah sekiranya isi perjanjian tersebut terbukti merugikan negara dan mengkhianati kepentingan awam sekiranya ditandatangani pada Oktober nanti?
Malaysia perlu batalkan perjanjian TPPA
Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah menggesa kerajaan Malaysia tidak meneruskan menandatangani rundingan Trans-Pacific Partnership Agreement (TPPA). Dari penelitian kami, ternyata TPPA akan memberi kesan negatif kepada ekonomi negara seperti mana yang pernah diingatkan oleh pelbagai NGO apabila Malaysia hampir menandatangani perjanjian Free Trade Agreement (FTA) dengan USA.
Kesan TPPA sudah diteliti oleh pelbagai pakar ekonomi dari kalangan penyelidik serta NGO yang jelas mendapati ia akan berakhir dengan kerugian yang akan ditanggung oleh usahawan tempatan serta membebankan kualiti hidup rakyat keseluruhannya.
Oleh:
LAHIRUL LATIGU
Ketua Pemuda PAS
Negeri Sabah
klik sini untuk lihat gambar flashmob di Gaya Sreet:
https://www.facebook.com/anakbulanmoden/media_set?set=a.4505187088172.1073741826.1845360292&type=3