28 February, 2011

Konvensyen IT & Pengurusan PAS Sabah 2011

Sumber: http://www.pastawau.org/

Jabatan IT PAS Pusat dan PAS Sabah telah berjaya menganjurkan Konvensyen IT & Pengurusan PAS Sabah di Dewan Multimedia Taman Bukit Tawau pada 26 dan 27 Feb 2011 baru baru ini.



Penyertaan ahli -ahli dari jentera PAS di seluruh Sabah dihimpunkan di sini untuk diperkenalkan dengan teknologi teknologi baru yang boleh dimanfaatkan bersama dalam membina jaringan yang lebih utuh bagi jentera parti seluruh Sabah dan menghubungkannya dengan lebih baik dengan PAS Pusat yang ada di semenanjung Malaysia.


Kehadiran Ustaz Abdul Ghani Samsudin, Pengerusi Lajnah Teknologi & Maklumat PAS Pusat bersama ahli rombongan dari Jabatan IT PAS Pusat sangat dialu alukan dalam usaha mendidik ahli ahli PAS Sabah mendepani cabaran yang bakal dihadapi dalam arena politik negeri ini khususnya apa yang boleh dimanfaatkan dengan penggunaan ICT dan pengurusan organisasi yang mantap agar dapat memperkuatkan jentera parti.


Perkembangan yang sedang berlaku di negara negara lain seperti Mesir,  Tunisia dan Libya,  adalah bukti terbaik  penggunaan ICT khususnya media sosial jika digunakan dengan baik boleh mencetuskan revolusi dalam sesebuah negara.
Diharap semua ilmu yang disampaikan dalam konvensyen tersebut dapat diterapkan dengan baik oeh petugas petugas parti di seluruh negeri Sabah.

Tuduhan Najib memalukan umat Islam Malaysia


KUALA LUMPUR, 27 Feb: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mendesak Najib supaya meminta maaf secara terbuka kepada Dr Yusuf al-Qaradhawi dan Ikhwanul Muslimin kerana menuduh tokoh dan gerakan Islam itu sebagai pengganas dan mendokong keganasan.

Naib ketuanya, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz merasa kecewa kerana ucapan tersebut lahir dari mulut Perdana Menteri Malaysia yang majoriti rakyatnya adalah umat Islam.

DPPWP, katanya kesal bagaimana ucapan sedemikian lahir dari pemimpin negara terhadap tokoh ulama kontemporari yang menjadi rujukan dunia Islam itu, bahkan Malaysia pada tahun lepas telah menganugerahkan Tokoh Maal Hijrah kepada tokoh itu.

“Tuduhan dengan mengaitkan Prof Dr Yusof Al Qaradhawi sebagai pengganas adalah tuduhan berat yang tidak boleh diterima.

“Tuduhan ini juga memalukan umat Islam khususnya di Malaysia,” ujarnya dalam satu kenyataan.

DPPWP, katanya percaya rakyat khususnya umat Islam amat menghormati Prof Dr Yusof Al Qaradhawi, serta kenal dengan peribadi serta doktrin ajaran beliau.

Tambahnya, ratusan bahkan ribuan anak murid telah beliau lahirkan dari Malaysia dan tidak pernah didengari ada kalangan muridnya yang terlibat dengan keganasan.

Selain itu, Perdana Menteri juga menggesa Ikhwanul Muslimin disisih dari agenda perubahan di Mesir kerana terlibat dalam keganasan.

Tambahnya, tuduhan itu sangat berat dan Perdana Menteri perlu buktikan bagaimana Ikhwanul Muslimin boleh terlibat dengan keganasan.

Ikhwanul Muslimin, ujarnya telah menyertai pilihanraya dan proses demokrasi di Mesir secara aman sejak sekian lama dan menjadi oposisi di bawah penerintah rejim Hosni Mubarak.

“Bagaimana Datuk Seri Najib boleh kaitkan pertubuhan ini dengan keganasan?” soalnya.

DPPWP percaya, Najib tidak membaca sejarah perjuangan gerakan Islam itu serta mengenali Prof Dr Yusof Al Qaradhawi secara lebih dekat.

DPPWP juga yakin, Perdana Menteri tidak diberikan nasihat yang betul oleh para penasihat agama beliau.

“Memang wajarlah Datuk Seri Najib bertaubat dengan segera, menarik balik ucapan beliau serta memohon maaf secara terbuka kepada Prof Dr Yusof al Qaradhawi dan Ikhwanul Muslimin,” ujarnya.

sumber: Harakahdialy

26 February, 2011

Mesyuarat Agong YAM Sabah

Sumber: http://albelurani.blogspot.com/

Bismillah..


Alhamdulillah pada 19 Februari 2011 (sabtu) telah berlangsungnya mesyuarat Yayasan Amal Malaysia Cawangan Sabah di Permai D'Velley Ratau, Kota Kinabalu. Turut hadir bagi merasmikan mesyuarat adalah En. Abd. Hamid, Setiausaha Agong YAM.

Kehadiran hampir keseluruhan jawatankuasa ke mesyuarat ini menggambarkan kesediaan mereka untuk memikul tanggungjawab yang bakal digalas.

Mesyuarat Agong YAM Sabah bertujuan untuk melantik kepimpinan baru bagi sesi 2011-2013 dan persediaan bagi mesyuarat agong pusat yang akan berlangsung pada bulan April.

Tuan Haji Khairan Untoh terus diberikan kepercayaan sebagai amanah bagi memimpin YAM Sabah bersama dengan beberapa orang jentera baru bagi memantapkan lagi YAM Sabah dalam mengerakkan kerja - kerja kebajikan dan dakwah di negeri Sabah ini.

Seronok melihat sahabat - sahabat bermesyuarat yang sedia untuk mewakafkan diri masing - masing dalam melaksanakan misi dan visi YAM Sabah. Saya tidak dapat hadir bersama mereka kerana ketika itu saya masih lagi di Mersing, Johor.

Barisan kepimpinan yang baru akan saya paparkan di intri ini kerana masih lagi menunggu maklumat tersebut daripada setiausaha YAM Sabah.

Doa kami harapkan daripada tuan - tuan / puan - puan agar kami diberikan keafiatan, keberkatan, kerahmatan oleh Allah SWT untuk kami melaksanakan amanah ummah ini seterusnya untuk kemaslahatan ummah keseluruhannya.
" AMAL KERANA ALLAH "

Barakallahu fikum...

p/s : gambar - gambar di bawah adalah ehsan daripada FB sahabat saya Ahmad Fawwaz Shahabuddin.






25 February, 2011

ZIARAH DAN SUMBANGAN KEBAKARAN!

Sumber:  http://khairulanuarnawi.blogspot.com/

Mabruk kepada sahabat yayasan Amal dan sahabat usrah K.Marudu yang memberi perhatian serius terhadap tulisan saya mengenai Musibah kebakaran rumah Pakcik Maginsil di Rasak Darat tempohari. Saya dan beberapa rakan wakil Unit Usrah dan yayasan Amal sempat menziarah dan turut menyampaikan bantuan pakaian, keperluan asas makanan dan kewangan hasil sumbangan sahabat-sahabat Daerah Kota Marudu.

Sumbangan tersebut disampaikan pada hari Jumaat 18 Feb 2011 selepas solat Jumaat. Pancik Maginsil yang tinggal bersama Isteri dan 4 orang cucu sekarang tinggal di teratak sementara yang dibina hasil sumbangan pelbagai pihak. Beliau memaklumkan setakat ini derma yang diberi belum mencukupi untuk membina rumah dan memenuhi keperluan persekolahan cucu dan peralatan rumah. Justeru sumbangan yang berterusan masih lagi diperlukan.
Rumah Pakcik Maginsil yang hangus dijilat api


Teratak sementara sumbangan pelbagai pihak

Sumbangan keperluan makanan disampaikan oleh AJK YAM Caw K.Marudu

Sumbangan kewangan disampaikan disampaikan oleh Pengerusi YAM Caw K.Marudu


Sumbangan pakaian disampaikan oleh S.U YAM Caw K.Marudu

Rumah yang hangus dijilat api

Kesempatan ini juga, bagi pihak YAM Caw Kecil K.Marudu saya mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Hj Khairan Pengerusi YAM Sabah, Ustaz Redwan S.U YAM Sabah dan AJK YAM kerana turut berbesar hati menyalurkan bantuan yang saya kira akan dapat meringankan bebanan yang ditanggung oleh keluarga mangsa. Insya Allah rombongan kedua akan menyusul ke Rasak Darat untuk menyampaikan sumbangan dari pihak YAM Sabah.Jazakallah!

24 February, 2011

Jui Meng dedah akui pernah takutkan orang Cina dengan PAS

sumber: Harakahdaily

TEMERLOH, 23 Feb: Naib Presiden PKR Datuk Chua Jui Meng mendedahkan ketika beliau berada dalam MCA telah berkali-kali menakut-nakutkan orang Cina supaya jangan menyokong PAS.

Katanya, antara lain beliau mengatakan jika PAS memerintah orang Cina akan dipotong ‘anu’ dan tidak boleh lagi makan ‘kerbau pendek’.

Bagaimanapun, bekas Menteri Kesihatan itu yang berceramah di Tapak Kompleks PAS Pahang di Kerdau kelmarin, mengaku kini beliau bertaubat dan tidak mahu lagi mengulangi penipuan yang sama.

“Saya masa dalam MCA berkempen memberitahu orang Cina jangan sokong PAS, sebab PAS nak bina negara Islam. Kalau negara Islam nanti anu orang Cina kena potong, tak boleh makan kerbau pendek.

“Itulah penipuan kami kepada orang Cina dan saya percaya ia berlanjutan hingga sekarang. Tapi hari ni saya nak minta maaf... saya taubat,” katanya sambil disambut dengan sorakan lebih 12,000 orang yang hadir.

Tambah bekas Naib Presiden MCA itu, beliau mendapati orang Cina pada masa ini tidak boleh ditipu atau tidak ditakut-takutkan lagi kepada PAS dan ini dibuktikan dengan sokongan majoriti entiti tersebut kepada PAS sejak pilihan raya umum (PRU) 2008 yang lalu.

Turut berceramah pada malam tersebut ialah Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Naib Presiden PKR Tian Chua dan beberapa orang lagi.

Chua selanjutnya menceritakan bekas Presiden Mesir Hosni Mubarak jatuh kerana mengaut kekayaan melampau dengan keluarga beliau mempunyai kekayaan lebih RM270 bilion.

Tambahnya, sedangkan sejumlah besar rakyat hidup melarat dan dibelenggu kemiskinan sehinggalah mereka bangun memberontak.

“Saya nak beritahu apa bezanya dengan Malaysia, 11 juta penduduk di negara ini berpendapatan di bawah RM1,500 iaitu berstatus miskin jika dibandingkan dengan kos hidup. Dan 8 juta daripada mereka adalah orang Melayu.

“Satu perkara lagi yang mempunyai persamaan Malaysia dengan negara-negara Arab yang menghadapi kebangkitan rakyat itu ialah rasuah. Semasa saya mulai memasuki parlimen tiga dekad yang lalu kedudukan indeks rasuah Malaysia sekitar nombor 20.

“Tetapi ketika Perdana Menteri sekarang mengambil alih pemerintahan sudah berada di kedudukan ke 57,” katanya.

Jelasnya, beliau percaya jika rakyat dalam keadaan tertekan mereka akan bertindak untuk mendapatkan keadilan.

MENJAWAB PRO SABAH DI AKHBAR HARIAN EKSPRESS-PAS DITERIMA BAIK RAKYAT SABAH

Sumber: http://paskeningau.blogspot.com/

PAS DITERIMA BAIK RAKYAT SABAH

Kenyataan oleh penulis Pro- Sabah dalam akhbar Harian Ekspres di ruangan FORUM bertarikh 23 Februari 2011 amat diberi perhatian oleh Parti PAS di negeri Sabah ini.

Untuk makluman PRO-SABAH dan rakyat Sabah ,PAS SABAH telah diasaskan sejak 19 Mei 1986 lagi dan kami mempunyai jaringan ahli parti di seluruh pelusuk negeri Sabah.Ahli parti kami terdiri dari semua bangsa.

Hisammuddin Sulaiman
(Ketua Penerangan PAS Sabah/YDP PAS kawasan Keningau)

PAS telah menyertai pilihanraya Sabah buat pertama kalinya pada 3 hb ogos 1986, pilihanraya umum Malaysia bagi memilih Ahli Dewan Rakyat (ahli parlimen). PAS telah meletak tiga orang calon bertanding di tiga kerusi parlimen iaitu di Parlimen Kota Belud,Jambongan dan Kimanis.

Penyertaan dari non -muslim terutama ahli yang beragama Kristian amat menggalakkan di bawah organisasi Dewan Himpunan Penyokong PAS(DHPP)negeri Sabah. Setakat ini,ahli dewan himpunan penyokong ini sudah menjadi yang teramai di Malaysia ini.

Slogan PAS FOR ALL amat signifikan dan tepat dengan latar belakang serta budaya orang Sabah.Lagipun kita ini dari rumpun manusia yang sama.Agama mana sekali pun menggalakkan kita kenal mengenal di antara manusia tanpa kira bangsa dan budaya mereka.PAS SABAH amat menghormati hak kebebasan beragama sebagaimana yang diinginkan rakyat Sabah.

PAS yakin kita amat menjaga hak kebebasan beragama di Sabah ini.Malah PAS amat berbangga dengan penyertaan ramai non muslim ke dalam Dewan Himpunan Penyokong PAS(DHPP)di Sabah.Untuk makluman semua,pakatan rakyat di Sabah ini amat kukuh dan mempunyai kekuatan setanding dengan Barisan Nasional.Tidak mustahil,pakatan rakyat akan menang dalam pilihanraya ke 13 nanti.

Agak pelik, jika kita berbicara tentang arena demokrasi tetapi ada juga suara sumbang yang mengatakan hanya parti berpusat di Sabah bertanding di Sabah sedangkan hak berparti dan menubuhkan parti adalah hak rakyat yang bebas mendeka di Negara Malaysia ini.

PAS Sabah dan pakatan rakyat amat komited untuk membantu dan membangunkan rakyat Sabah atas jaminan prinsip-prinsip keadilan dan kami berazam mengembalikan kegemilangan negeri Sabah sebagai negeri terkaya di Malaysia suatu ketika dulu.

PAS Sabah amat berterima kasih pada rakyat yang sudah celik dan mahu membuat perubahan dibumi yang tercinta ini.

YANG BENAR,

HISAMMUDDIN SULAIMAN

Tiga bangunan sekolah di Sabah tak selamat, SPRM digesa siasat

Sumber: http://masdarwahid.blogspot.com/


KEADILAN Sabah mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segera menyiasat tiga bangunan sekolah di Sabah yang dilaporkan tidak selamat untuk digunakan, kata Ketua Cabang KEADILAN Tawau, Datuk Kong Hong Ming (gambar).

Kong yang juga Ahli Majlis Presiden KEADILAN Sabah mengulas berkaitan tiga sekolah di daerah Tawau, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kukusan, SK Bahagia dan SK Jambatan Putih yang sudah beroperasi sejak beberapa tahun namun tiada Sijil Kelayakan Menduduki (CFO) sehingga kini.

Menurut Kong, siasatan itu perlu bagi memastikan tiada unsur rasuah dalam projek berkenaan.

"Inilah padahnya apabila kontraktor yang dilantik hanya dalam kalangan kroni Umno BN dan bukan dari mereka yang layak.

"Kerajaan sepatutnya mengadakan tender terbuka bagi memastikan hanya mereka yang layak, berpengalaman dan sudah terbukti berjaya sahaja yang untuk mengendalikan sesuatu projek," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.

Pada 12 Februari lalu, Pengarah Pelajaran Sabah, Datuk Dr Muhiddin Yusin mengesahkan beberapa bangunan di tiga sekolah itu tidak selamat untuk digunakan sebagaiman laporan yang diterimanya dari Jabatan Kerja Raya (JKR).

Dua hari selepas itu pula, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Hajiji Noor dilihat enggan dipersalahkan apabila mengatakan Pihak berkuasa tempatan (PBT) hanya berperanan memberi kelulusan kepada pelan pembangunan dan pelan bangunan di sekolah tersebut.Kenyataan kedua-dua pihak itu diselar oleh Yang Dipertua Persatuan (YDP) Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Kukusan, Bairullah Dumpas yang meminta mereka segera menyelesaikan masalah itu.

"Pihak sekolah memaklumkan saya bahawa mereka tidak memiliki pelan bangunan itu.

"Sebab itu saya menyarankan agar Kementerian Pelajaran, Majlis Perbandaran Tawau (MPT) dan JKR supaya berbincang untuk menyelesaikan masalah ini.

"Tidak perlulah tuding menuding sebab akhirnya yang jadi mangsa ialah murid dan kakitangan sekolah," kata Bairullah pada 14 Februari lalu.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi mengakui sebanyak 38 sekolah rendah dan menengah gagal disiapkan mengikut jadual dalam Rancangan Malaysia ke sembilan (RMKe-9) di Sabah.

Mengulas lanjut, Kong berkata, kesan kegagalan itu mengakibatkan rakyat berdepan masalah beganda.

"Pertama, murid yang terlibat di kesemua 38 sekolah itu dan kedua penduduk Sabah secara keseluruhan kerana saya difahamkan Pelajaran Sabah terpaksa memperuntukkan RM1.5 juta pula untuk menyelesaikan ketiga-tiga sekolah itu.

"Persoalannya apakah jaminan kerajaan negeri peruntukan itu tidak 'disonglap' kroni Umno Bn kali ini," soalnya.

Aku dan Ikhwan Muslimun ( Yusof Qardhawi )

Sumber: http://albelurani.blogspot.com/

Bismillah...


Buku " AKU DAN AL IKHWAN AL MUSLIMUN " karya Prof. Dr. Yusuf al-Qardhawi baru saya terima kiriman sahabat saya Ust. Zakaria, D' Halal Shope dari Kelantan. Baru 2 hari bersama buku ini dan dalam proses untuk menghabiskannya yang mempunyai 364 muka surat.

Buku ini telah dicetak pada disember 2010 berbahasa Malaysia dan sebelum ini ianya telah diterjemahkan dalam bahasa Indonesia. Asalnya adalah berbahasa arab.

Alhamdulillah, saya membaca dan menghayatinya menimbulkan motivasi dalam diri. Buku ini menceritakan bagaimana Prof. Dr. Yusuf al-Qardhawi mendapat tarbiyyah dan didikan daripada Ikhwan Muslimin seperti kata - katanya ini :

" Aku ingin berterus terang mengatakan, bahawa aku memperolehi manfaat agama yang begitu besar dari Al-Ikhwan Al-Muslimun. Aku memperoleh faedah yang sangat banyak dari dakwah ikhwan. Dakwah Ikhwan telah memperluas cakerawala fikiranku memahami Islam secara utuh, sebagaimana disyariatkan Allah SWT, sebagaimana tertera dalam kitab-NYA, seperti diserukan Rasul-NYA dan difahami oleh para sahabatnya. Islam adalah agama dan dunia, dakwah dan negara, aqidah dan syariat, ibadah dan kepimpinan, mushaf dan.....".

Seusia muda beliau telah menerima tarbiyyah al-Ikhwan dan bertemu dengan ulama - ulama besar Ikhwan seperti Hasan al-Banna, Muhammad al-Ghazali, Muhammad al-Bahi, Sayyid Sabiq, Sayyid Qutb dan ramai lagi.

Saya cukup tertarik kata - kata Prof. Dr. Yusuf al-Qardhawi ketika mana mereka menerima berita mengenai syahidnya Hasan al-Banna ditembak dalam usia 42 tahun :

" Al-Banna tidak berkesempatan untuk mengarang atau menulis buku ilmiah yang besar. Tetapi beliau telah mencetak ribuan tokoh besar yang mengisi dunia dengan buku-buku dan ilmu yang bermanfaat. Cukuplah ribuan tokoh yang dicetak oleh Hasan Al-Banna itu telah memenuhi seluruh pelusuk dunia. Cukuplah dakwah menyeluruh yang disampaikannya tersebar ke setiap penjuru Timur dan Barat, Utara dan Selatan! Cukuplah nama baik yang ditinggalkannya telah menambah usianya seolah - olah beliau memiliki usia yang panjang ".

Jika diimbau kata - kata di atas maka realiti hari ini sepertimana yang terjadi di Mesir ada benarnya. Hasan al-Banna telah menanamkan benih dalam memperjuangan Islam dan menggerakkan umat Islam yang tidur ibaratkan buih - buih di lautan untuk bangun menentang penjajah barat dan musuh Islam. Bermula era 1940 an dan akhirnya Hosni Mubarak jelmaan pemimpin sekular di antara pemimpin di Mesir tumbang tersungkur awal tahun 2011.

Maknanya kemenangan itu bukan diimpikan secepat kilat tetapi biarlah gerak kerja Islam itu tetap berterusan walaupun sehabis nyawa kita.

Saya mengesyorkan agar kalian dapat memiliki buku ini untuk memotivasikan diri anda samada anda seorang pelajar, mahasiswa, penjawat awam, ahli akademik, pemimpin atau anda yang menganggap Ikhwan Muslimin itu pengganas atau sebagainya. Dengan membacanya anda akan ketemu jawapannya.... insyaAllah.

KENYATAAN YANG AMAT MENGELIRUKAN

Sumber: http://pustakaalghazali.wordpress.com/



Saya terbaca sebuah kenyataan Timbalan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) yang disiarkan dalam Harian Express bertarikh 19 Februari 2011 yang antara lain mempersoalkan tindakan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah menguatkuasakan undang-undang mengharamkan umat Islam merayakan Hari Kekasih.
Pada saya, sebagai seorang penganut agama Islam beliau sepatutnya menyokong tindakan JHEAINS dalam menguatkuasakan undang-undang seumpama ini.

Ataupun, kalaupun jahil dalam bidang berkenaan sewajarnya beliau berdiam diri dan harusnya bertanya kepada yang berkenaan (maka tampak kebijaksanaan) kerana berkata tanpa pengetahuan akan menampakkan kebodohan dan kejahilan yang nyata.

Soal penguatkuasaan undang-undang ini adalah untuk kebaikan umat Islam. Penguatkuasaan ini tidak tertakluk kepada mereka yang bukan beragama Islam. Jadi, apalah sangat yang beliau takuti?

Pada saya, Tuan Haji Amde selaku  Timbalan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) wajar berhati-hati mengeluarkan kenyataan yang beliau sendiri belum pasti apa kesannya.

Janganlah kerana hanya mahu mencari sedikit kredit dunia  akhirnya akhirat beroleh debit.

**Berpesan-pesan pada kebenaran dan kesabaran.

23 February, 2011

Halal darah Muammar Gaddafi - Qardhawi

sumber: http://setiawatimustain.blogspot.com


Sambil meyifatkan Muammar Gaddafi sebagai seorang yang sudah gila kerana sanggup menggunakan tembakan dari udara untuk membunuh rakyatnya yang berdemonstrasi menentangnya, Dr. Yusuf Al-Qardhawi berfatwa bahawa beliau hendaklah dibunuh. Dengan kata lain, halal darahnya. Bagi melaksanakan fatwanya, beliau menyeru mana-mana anggota tentera yang punya kesempatan membenamkan peluru maut kepada Muammar Gaddafi hendaklah segera melakukan. Menurutnya, dengan cara tersebut, ia menyelamatkan lebih ramai rakyat Libya daripada menjadi mangsa lelaki gila dan zalim bernama Muammar Gaddafi.

Dr. Yusuf Al-Qardhawi menyeru rakyat Libya agar tetap penderian dan bersabar mempertahankan perjuangan mereka untuk memerdekakan diri. Menurutnya, yang gugur terkorban di kalangan mereka adalah tergolong kalangan para syuhada. Sambil menyifatkan perbuatan Muammar Gaddafi mengarahkan tembakan udara membunuh rakyatnya sangat kejam dan gila, katanya Israil sendiri tidak melakukan hal seperti itu ketika menyerang Gaza.

Sementara anak Muammar Gaddafi, Saiful Islam yang begitu kuat mempertahankan bapanya, Dr. Yusuf Al-Qardhawi menyifatkannya sebagai "pedang jahiliyyah" dan bukannya "pedang Islam". Beliau berkata demikian kepada saluran Al-Jazeera.

Sumber : lahaonline

22 February, 2011

Laksanakan Amanah H30K

sumber: http://www.eperjuangan.com

Wahai orang-orang yang beriman, mengapa apabila dikatakan kepada kamu, berangkatlah ke jalan Allah, kamu merasa berat dan ingin tinggal di tempatmu? Apakah kamu lebih menyayangi kehidupan dunia daripada kehidupan akhirat? Padahal kenikmatan hidup di dunia ini (dibandingkan) dengan akhirat hanyalah sedikit

Surah At-Taubah : 38

Para Pemuda Ansoorullah sekelian

1. Saya percaya kita mampu dan utuh berdepan dengan cabaran musuh yang sentiasa menunggu peluang untuk menyerang. Namun, saya khuatir dan takut jika kita sebagai pejuang Pemuda PAS ditundukkan dengan godaan syahwat yang sentiasa merayu untuk dituruti meskipun ia adalah sekecil-kecil jihad di sisi Allah. Akhirnya, ia menyebabkan kita longlai, berjiwa tua, malas dan tidak merasai kemanisan berkorban dalam perjuangan.

2. Saff pejuang yang hadir dalam Himpunan 30 Ribu Pemuda PAS di Kedah pada hari ini sewajarnya dikalungkan dengan jutaan terima kasih dan tahniah kerana sanggup menyahut seruan jihad meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran. Tanamkanlah sepenuh keikhlasan semoga Allah SWT memberikan ganjaran yang setimpal atas pengorbanan kecil yang telah kita dilakukan.

Beberapa darjat daripadaNya, keampunan serta rahmah, dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”

Surah An-Nisa’ : 96

3. Saya mengambil kesempatan ini juga untuk menyampaikan setinggi penghargaan kepada seluruh jentera PAS Negeri serta pentadbiran Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Kedah, terutamanya kabinet kerajaan yang dipimpin oleh Menteri Besar, Yang Amat Berhormat Al-Fadhil Dato’ Seri Ustaz Azizan Abd Razak. Tidak dilupakan juga kepada saf seperjuangan Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah yang diketuai oleh Al-Fadhil Ustaz Ahmad Yahya atas komitmen dan pengorbanan untuk merealisasikan himpunan yang bersejarah ini.

4. Meskipun pusat pentadbirannya jauh di Utara Semenanjung, namun maslahah dan kebaikan yang dilakukan oleh pihak kerajaan negeri tetap dirasai oleh seluruh rakyat di negara ini. Pendekatan politik muafakat, berkebajikan, berhikmah, bingkas, berwawasan, mengutamakan rakyat dan diam-diam berisi adalah antara wajah politik yang digambarkan dalam kepimpinan Ustaz Azizan.

5. InsyaAllah, kita berharap agar kepimpinan seorang alim yang dibantu oleh sekumpulan pakar profesional dalam bidang masing-masing ini mampu untuk terus mengembangkan dan menampilkan keadilan Islam disegenap jiwa rakyat.

6. Tatkala demografi sosio-politik nasional pada hari ini menggusarkan kita, Pemuda PAS harus tangkas meluruskan krisis keyakinan rakyat terhadap Islam. Apabila ruang demokrasi itu dibuka seluas-luasnya, maka inilah peluang yang terbaik untuk kita terus melebarkan agenda politik PAS kepada seluruh rakyat tanpa mengira fahaman politik yang dianuti.

7. Tarbiyah, siyasah dan dakwah adalah nadi gerakan. Pemuda PAS sebagai tiang seri perjuangan akan sentiasa melazimi perkara ini tanpa jemu dan henti. Malah, kita merasa bangga kerana ia merupakan budaya kerja para rasul yang diutuskan Allah sepertimana firmanNya yang bermaksud,

Dan serulah (wahai Muhammad) umat manusia kepada Tuhanmu, kerana sesungguhnya engkau berada pada jalan yang lurus”

Surah Al-Haj : 67

8. bMenurut Imam An-Nawawi, “Tanggungjawab melaksanakan amar ma’ruf dan nahi mungkar tidak akan gugur daripada seorang mukallaf walaupun pada pandangannya ia tidak membawa faedah. Malah ia tetap wajib dilaksanakan kerana memberi peringatan itu memberi faedah kepada orang-orang yang beriman. Tanggungjawabnya ialah menyuruh dan melarang dan bukannya memastikan manusia menerimanya”

Oleh yang demikian, Pemuda PAS akan memastikan risalah kebenaran ini disampaikan. Kita tegar berjuang untuk memastikan bahawa Syari’at Allah SWT itu mesti didaulatkan.

9. Matlamat perjuangan yang jelas mestilah disusuli dengan pendekatan yang betul. Ketaqwaan, penyerahan tekad yang total kepada Allah, ikhlas, tidak riya’, tidak mengejar pangkat dan nama, tidak mencari keredhaan manusia sehingga sanggup menggadaikan prinsip adalah antara pendekatan yang mesti diiltizamkan. Marilah kita bersama-sama merenung firman Allah SWT yang mengisahkan keadaan Nabi Nuh A.S terhadap umatnya (bermaksud);

Sekiranya kamu membelakangkan peringatanku, maka tidak menjadi hal kepadaku kerana aku tidak meminta sebarang balasan daripada kamu, balasanku hanyalah dari Allah, dan aku diperintahkan menjadi orang-orang yang menyerahkan diri kepada Allah”

Surah Yunus : 72

10. Kejatuhan regim pemerintahan zalim di Tunisia dan Mesir baru-baru ini dan kini kebangkitan ummah merebak ke Yemen dan Algeria, telah memetakan satu lagi sejarah kemenangan revolusi di tangan rakyat. Kita juga tidak pernah lupa bagaimana Shah Mohammed Reza Pahlawi, Ferdinand Marcos, Boris Yeltsin, Suharto dan ramai lagi pemimpin negara rebah digulingkan oleh kebangkitan rakyat.

Mengapakah perkara ini boleh berlaku?

11. Di Iran, meskipun rakyat berdepan dengan gerombolan-gerombolan tentera antara yang terhebat di dunia, namun disebabkan oleh kesempitan hidup, lonjakan inflasi, amalan sekularisme, rasuah dan dalang perisikan tajaan Amerika (SAVAK), akhirnya rakyat menolak pemerintahan diktator.

12. Rakyat Iran terpaksa membayar harga revolusi itu dengan selaut pengorbanan termasuklah para mahasiswa, anak muda dan tokoh disegani, Ali Shari’ati dibunuh dengan penuh kontroversi. Meskipun terpaksa melalui dua fasa getir revolusi, akhirnya panji kezaliman berjaya ditumbangkan pada tahun 1979.

13. The 1986 People Power Revolution di Filipina juga mencatat sejarah revolusi yang getir. Pembunuhan misteri pemimpin pembangkang, Benigno Aquino menjadi kemuncak pemusatan kuasa rakyat untuk meniarapkan Marcos.

14. Selain itu, ironisnya, Emelda Marcos (isteri Ferdinand Marcos) menjadi salah satu punca kejatuhan regim tersebut kerana dia sibuk mencampuri urusan kerajaan, berbelanja terlalu boros dan memegang beberapa jawatan dalam kerajaan termasuklah menjadi seorang ahli Parlimen.

15. Negara jiran kita, Indonesia juga pernah mengharungi nasib yang sama. Tahun 1998 telah bergoncanglah ibu kota Jakarta dengan rantaian beberapa siri reformasi yang digerakkan oleh saff mahasiswa, anak muda dan golongan marhaen iaitu Tragedi Trisakti, Tragedi Semanggi 1 dan Tragedi Semanggi 2.

16. Apabila Krisis Kewangan Asia 1997 mendekam Indonesia, rakyat melarat kepayahan. Rupiah Indonesia menjunam teruk, hutang negara melambung tinggi, kronisme dan kapitalis bertempiaran sehingga rakyat berani turun ke jalan raya menghentam Suharto dan menolak Orde Baru. Akhirnya, regim Suharto juga tersungkur!

17. Semangat revolusi rakyat Indonesia masih lagi dapat dirasai sehingga ke hari ini. Dendangan sajak reformasi yang dideklamasikan oleh WS Rendra, seorang penyajak utama Indonesia yang diberikan jolokan Burung Merak dan terkenal dengan drama Kasidah Berzanji masih lagi menjadi siulan mereka,

“Saudara-saudara sebangsa dan setanah air,
Saat ini kita masih terperangkap dalam lingkaran setan,
Kemiskinan, ketidak pedulian, korupsi
Kerja asal-asalan,
Ayuh, kita tidak mahu lagi dijajah oleh kemiskinan dan kesusahan,
Kini saatnya Revolusi Kebangsaan”

18. Revolusi, reformasi dan perubahan adalah satu sunnatullah. Tidak ada satu kerajaan zalim pun dalam dunia ini yang akan memerintah untuk selama-lamanya. Gahnya tirani Fir’aun tenggelam jua. Teguhnya Konstantinopel ditembusi jua oleh Sultan Mahmud Al-Fateh. Benarlah firman Allah SWT,

Katakanlah (wahai Muhammad), ‘Wahai Tuhan yang mempunyai kerajaan, Kau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki, dan Kau cabut kerajaan daripada orang yang Engkau kehendaki. Kau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Kau hinakan orang yang Engkau kehendaki. DitanganMu segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau berkuasa atas tiap-tiap sesuatu”

– Surah Ali-‘Imran : 26

19. Kita mesti meyakini bahawa masa depan dunia adalah di tangan Islam. Agama yang paling tinggi martabatnya adalah Islam. Inilah yang diungkapkan oleh Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi dalam bukunya ‘Al-Mubasyyiraat bi Intisaaril Islam’. Antara sunnah Ilahi itu ialah Sunnah Al-Mudawalah (Sunnah Pertukaran Kuasa). Beliau mengistinbathkan dalam satu ayat yang diturunkan selepas Peperangan Uhud.

Jika kamu (dalam Peperangan Uhud) mendapat luka maka sesungguhnya kaum (musyrik) itu juga telah mendapat luka yang sama (dalam Peperangan Badar). Dan demikianlah hari-hari Kami tukar gantikan antara manusia

Surah Ali-‘Imran : 140

Manakala, dalam satu ayat yang lain pula, Allah SWT berfirman (bermaksud),

Dan demi sesungguhnya, Kami telah menulis dalam Kitab Zabur (semua kitab yang Allah turunkan kepada nabi-nabinya) selepas tertulis di Az-Zikr (Luh Mahfuz), bahawa bumi ini akan diwarisi oleh hamba-hambaKu yang soleh

– Surah Al-Anbiya’ : 105

20. Inilah motivasi (taghrib ‘aqidah) yang kita imani sehingga kita tidak gentar dan terus istiqamah dalam jalan dakwah ini. Benar, jalannya payah, jerih, jauh dan berliku. Namun, Pemuda PAS tidak akan sekali-kali berundur daripada jalan yang dipilih ini, insyaAllah.

Ayuh, saya ungkapkan kata-kata keramat Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi,

Sekiranya kurun ke-19 adalah kurun untuk Kristian, kurun ke-20 adalah kurun untuk Yahudi dan terbinanya negara haram Israel serta penjajahan mereka ke atas lebih 20 buah negara Arab, maka kurun ke-21 adalah kurun untuk Islam!”

Himpunan 30 Ribu Pemuda PAS di Kedah pada hari ini adalah manifestasi kepada dua perkara, iaitu;

a) Misi “PAS Ganti UMNO”

b) Misi persiapan pusingan terakhir Pemuda PAS berdepan dengan Pilihanraya Umum Ke-13

21. Hari ini, rakyat ditakut-takutkan dengan kehilangan kuasa politik Melayu. UMNO mengancam orang Melayu dengan gambaran sekiranya mereka kalah dalam pilihanraya nanti, hak keistimewaan Melayu dibuang, maruah orang Melayu diperlekehkan, Islam digugat, raja-raja Melayu dihina dan tanah-tanah Melayu digadai kepada bangsa lain. Ini semua adalah KHURAFAT UMNO dan BARISAN NASIONAL!

22. Tidak cukupkah segala bukti ini menunjukkan bahawa UMNO telah mencabul bangsanya sendiri. Kini, sudah tidak ada apa-apa lagi sumbangan yang boleh dibangga-banggakan oleh UMNO kepada orang Melayu melainkan mereka hanya cuba untuk membaiki labu yang telah rosak. Untuk mereka : Enough is enough!

Amanah Perjuangan dari Dewan Pemuda PAS Malaysia

23. Melihat kepada situasi ini, saya ingin melontarkan beberapa tindakan penting untuk Pemuda PAS berikan perhatian yang sepenuhnya.

a. Hubungan dengan Allah SWT mestilah semakin intim dan manis. Kemenangan Islam yang kita dambakan hanya akan tiba setelah kita benar-benar meletakkan kecintaan kepada Allah dan Rasul sepenuhnya. Marilah kita sama-sama terus melazimi solat berjemaah, bertahajjud dan solat hajat. Mudah-mudahan kekuatan ini mampu meneguhkan derap perjalanan kita di medan perjuangan ini.

b. Rapatkan saff dan ikatkanlah ukhuwwah antara kita sekuat-kuatnya. Jangan biarkan jarum halus fitnah, berburuk sangka, dengki dan dendam menyuntik dalam hubungan kita ini. Saya bimbang terutamanya menjelang musim permilihan parti menjadi gelanggang untuk melonggarkan ribath tentera Pemuda dan akhirnya lemah sehingga mudah dilapah musuh.

c. Pastikan semua gerak kerja pemuda diperingkat kawasan dan cawangan terus fokus kepada sasaran pengundi boleh menang. Markaz operasi pilihanraya Pemuda PAS mestilah dibuka sekurang-kurangnya 20 jam sehari dengan hasil-hasil kerja yang memberansangkan.

24. saudara sekelian .... Sesungguhnya kemenangan yang kita impi-impikan umpama detik kedatangan Rasulullah SAW dan para sahabat baginda meninggalkan Marru Dzahran menuju Ummul Qura’ (Makkah) pada 17 Ramadhan tahun kelapan hijrah.

25. Piagam kemenangan kita adalah :
  • keadilan yang digariskan oleh Islam,
  • membimbing dan menyelamat rakyat,
  • berkasih sayang,
  • tidak berdendam,
  • keamanan dan
  • mengangkat kemerdekaan yang sebenar.

Hari ini kita bersaksi bahawa Pemuda PAS akan bersedia menjadi teras kemenangan yang dinanti-nantikan.

Takbir! ALLAHU AKBAR!

Kenapa Bob Lokman sertai PAS


Pada 19 Februari lalu, pelakon dan penulis lirik terkenal Mohd Hakim Lokman atau lebih dikenali sebagai Bob Lokman mengejutkan banyak pihak apabila menyerahkan borang menjadi ahli PAS.

Beliau menyerahkan borang itu kepada Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Seri Ustaz Azizan Razak yang juga Menteri Besar Kedah pada majlis Himpunan 30 ribu Pemuda PAS, di Kompleks PAS Kota Sarang Semut, Alor Setar, kelmarin.

Bob, penulis lirik lagu terkenal Isabela nyanyian Amy Search bukanlah artis pertama yang menyertai PAS.

Sebelum ini terdapat juga artis lain seperti Akill Hayy, Ito daripada kumpulan Blues Gang dan Ringgo dari kumpulan Arrow telah menyertai PAS lebih awal.

Harakahdaily sempat bertemu beliau bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung tindakan beliau itu.

Ikuti temubual beliau dengan wartawan Nazri Abdullah :

Harakahdaily : Apa yang menyebabkan saudara Bob terdorong untuk memilih dan menyertai PAS?

Bob Lokman : Sebab saya rasa ada masalah dengan sistem kehidupan. Saya nak mendidik anak saya dengan jalan Islam tetapi dia ada masalah dengan sistem persekolahan, sistem pergaulan, dan sistem masyarakat.

Bila saya di rumah suruh dia sembahyang, di luar ada kumpulan yang suruh dia buat benda lagha. Masa saya muda dulu saya tak sedar, dan itu berlaku pada anak saya sekarang, dan sekarang sara rasa tanggungjawab pada anak.

Tengok anak kita tidak menjadikan Allah nombor satu... dia duk ikut ‘rakyat didahulukan pencapaian diutamakan’, pada hal Allah nombor satu, takwa diutamakan tapi anak-kita tak tahu.

Harakahdaily : Jadi adakah faktor anak saudara itu yang telah mendorong saudara menyertai PAS?

Bob Lokman : Ya...Saya selalu merasa saya gagal mendidik anak saya dan rasa saya akan masuk neraka. Kerana itu saya rasa tidak ada tempat nak mintak bantuan, saya masuk PAS ini saya rasa ada jemaah yang boleh membawa saya ke jalan yang betul.

Mengakkan Islam itu adalah wajib, kalau saya tak terlibat, harapkan orang lain berjuang, apa akan jadi dengan anak saya nanti.

Harakahdaily : Saudara tahu PAS adalah parti pembangkang. Jadi adakah saudara tidak risau ianya akan menjejaskan sumber rezeki saudara dalam kerjaya saudara.

Bob Lokman : Saya tahu risiko itu, tapi saya serahkan rezeki saya bulat-bulat pada Allah, yang penting saya dapat selamatkan kehidupan anak saya di dunia dan saya tak masuk neraka.

Harakahdaily : Sejak kebelakangan ini, saudara dilihat banyak memegang watak-watak sebagai seorang alim berbanding watak lain termasuk pelawak. Adakah itu perubahan berterusan yang saudara akan lakukan.

Bob Lokman : Mengikut pandangan ustaz-ustaz yang saya belajar, sebab berlakon itu sumber rezeki saya, ustaz-ustaz kata boleh berlakon tetapi pilihlah watak-watak yang tidak menjadikan dosa bila kita dah tak ada nanti, pilih watak yang mendatangkan manfaat.

- harakahdaily

21 February, 2011

Pro-Aspirasi UMS melakukan kerja-kerja UMNO cawangan.

Sumber: http://islamreturn.blogspot.com/

Salam perjuangan..

Suasana pilihanraya kampus sekarang masih hangat dengan proses pengundian. Sebentar tadi aku sempat singgah di UMS untuk menghantar isteri mengundi, khabarnya pelajar post-gradute juga boleh mengundi. Tapi apabila semak di pendaftaran, rupanya nama tak ada.

Sebelum pulang sempat juga aku menghubungi teman-teman pro-M yang bertungkus-lumus memenangkan calon-calon mereka di kampus UMS. Menurut laporan dari mereka, seawal pagi tadi risalah-risalah propaganda dan provokasi telah diedarkan di seluruh tempat mengundi di Sekolah-Sekolah (Fakulti). Berikut aku paparkan kerja-kerja terkutuk mereka yang mana aku anggapkannya sebagai kerja UMNO cawangan.

Sebelum dari itu, proses pengundian di Universiti Teknologi Tun Hussein Onn (UTHM) pula terpaksa ditangguhkan kerana proses penamaan calon terpaksa dilakukan semula. Menurut teman-teman yang berada disana, ia berkemungkinan dari bantahan pro-Aspirasi yang tidak berpuas hati dengan calon-calon Pro-M.

Peringatan aku satu saja kepada mereka (Pro-Aspirasi), kalian adalah cetakan UMNO di kampus. Inilah risalah yang Pro-Aspirasi (UMNO cawangan UMS) sepahkan di tempat-tempat pengundian..




KRU Mengucapkan Salam Perjuangan Buat Saudara Arif

SUMBER: Kelab Remaja Ukhuwwah


Tinggi-tinggi gunung Kinabalu,
Tinggi lagi sayang Sabah pada kamu,
Pemergianmu mengundang seribu rasa pilu,
Ada waktu, harap masih boleh bertemu.


Sunnatullah bila ada pertemuan pasti perlu mengharungi detik perpisahan. Tiada apa yang kekal melainkan Allah SWT yang mencipta seluruh alam.


Pada 19 Februari 2011, sebutir permata lagi telah kembali berlepas ke kampung halaman setelah sekian lama bertapak di bumi subur Sabah. Saudara Arif Ainuddin telah selamat berlepas semalam sekitar jam7.35 malam di Airport Air Asia Kota Kinabalu, Sabah diiringi beberapa orang sahabat taulan yang sentiasa menjadi peneman di saat suka dan duka.


Riangnya pasti dicari-cari, semangat juangnya pasti akan dirindui bukan saja dalam kalangan sahabat-sahabat seperjuangan tapi juga di dalam hati-hati penduduk Sabah khususnya adik-adik KRU yang pernah menerima sentuhan rohani dari beliau. Melalui kepetahan beliau dalam berbicara dan ayat yang berisi unsur ketuhanan sudah cukup memotivasikan sejumlah remaja Sabah untuk kembali menjalani hidup bersama Allah.


Perginya seorang senior PSS yang kerap memberikan dorongan dan bimbingan kepada adik-adik KRU sudah pasti mengundang seribu kepiluan di hati adik-adik yang telah lama bersama di medan dakwah. Apatah lagi pada sahabat-sahabat seperjuangan hinggakan air mata belum tentu dapat menzahirkan apa yang terbuku di dalam hati. Semoga Allah sentiasa menyatukan hati-hati para pejuang ini sehingga ke titisan darah yang terakhir.

Sungguh, hanya Allah yang mampu membalas jasa baik, perkongsian idea dan pengorbanan dari pelbagai segi beliau sepanjang bermastautin di Sabah. Semoga dengan sekembalinya pejuang ini mampu membangkitkan semangat juang lebih ramai anak-anak Sabah dalam menegakkan Islam. Perjuangan tetap perlu diteruskan!

Adik-adik Kelab Remaja Ukhuwwah mengucapkan jutaan terima kasih di atas kesudian saudara Arif Ainuddin dalam segenap tunjuk ajar dan segala motivasi yang diberikan. Semoga Allah sentiasa memurahkan rezeki dan memberikan kebaikan kepada abang Arif dunia dan akhirat. Amiin~


Patah tidak akan tumbuh lagi, hilang belum tentu dapat dicari ganti, kerana sifatmu yang tersendiri. Namun, nilai inspirasimu tetap di hati kami dalam mencapai cita-cita yang tertinggi. Salam perjuangan dari kami anak-anak jati Sabah. Semoga Allah masih pertemukan kita semua tidak di dunia, di akhirat Insya-Allah. Ma'assalamah.

Sirru a'la barakatillah wa mardhatillah.

Ya Allah Engkau mengetahui bahawa..
hati-hati ini telah berkumpul kerana mengasihi Mu
Bertemu untuk mematuhi perintah Mu
Bersatu memikul beban dakwah Mu
Hati-hati ini telah mengikat janji setia..
untuk mendaulat dan menyokong syariatMu

Maka eratkan lah ya Allah akan ikatannya
Kekalkan kemesraan antara hati-hati ini
Tunjukkanlah kepada hati-hati ini..
akan jalannya yang sebenar
Penuhkanlah piala hati ini..
dengan limpahan iman, keyakinan dan keindahan tawakkal kepada Mu
Hidup suburkanlah hati-hati ini..
dengan makrifat, pengetahuan sebenar tentangMu

Jika Engkau mentakdirkan mati
Maka matikanlah pemilik hati-hati ini..
sebagai para syuhada' dlm perjuangan agama Mu
Engkau lah sebaik-baik sandaran..
dan sebaik-baik penolong ya Allah
Perkenankanlah permintaan ini
Amin ya rabbal A'alamin..

ANAK MUDA MENGGEGAR NEGARA

sumber: http://suaragunung.blogspot.com


Seluruh negara kini sedang dalam kehangatan untuk menyambut satu pesta yang kurang mendapat perhatian tapi penting untuk menentukan halatuju masa depan negara.

"Jika ingin melihat keadaan sesebuah negara kelak sama ada akan maju ataupun mundur, maka lihatlah generasi mudanya sekaran." Seorang pejuang pernah mengungkapkan perkataan tersebut. Sama ada benar atau tidak, kita cuba singkap sejarah, bagaimana pernah tercetusnya revolusi Iran satu ketika dulu yang dipelopori oleh anak muda. Kebangkitan intifadhah yang berlaku juga di barisan hadapannya ramai dikalangan anak muda yang berdarah panas. Revolusi kepimpinan Negara juga satu masa pernah mencatat sejarah bilamana ramai anak muda bangkit menentang kezaliman sehinggakan ada yang pernah dipenjarakan tanpa bicara. Dan yang terbaru bilamana melihat perkembangan menentang rejim kepimpinan zalim di kebanyakan Negara Timur Tengah juga dipelopori oleh anak-anak muda hinggakan ada yang menemui ajal di jalan-jalan utama negara semata untuk menunjukkan rasa cinta kepada keadilan dan kebaikan.

Kini dan hari ini masa untuk anak muda membuktikan yang kita mampu memberikan yang terbaik untuk memastikan masa depan negara kita lebih baik dengan pemerintahan yang lebih adil dan tidak lain manfaat akhir akan pulang kepada seluruh masyarakat dan bukan hanya kepada orang-orang yang TAMAK!!!....

Teruskan berjuang rakan-rakanku. Gembeling seluruh darah panas sementara ia masih membara sebelum ia mula mengecil dan terus padam.

IMPAK MAKSIMA!!!YOUTH POWER!!!

Untung sabut timbul...

sumber: http://muridkyai.blogspot.com

Asal batu tenggelam, asal sabut timbul. Sekalipun lama rakyat dan ummat Islam ditindas oleh penguasa taghut, apabila sampai waktunya, mereka akan kembali kepada asalnya. Berapa banyak lumpur yang dipalit ke kanvas ummat, ia tidak menghalang untuk tiba saatnya mereka bangkit kembali. bercahaya Ini sedikit komentar yang boleh aku rumuskan dalam menilai kebangkitan rakyat di Tunisia dan Mesir yang rata-ratanya adalah kaum muslimin.

Saat para pejuang Islam telah hampir buntu menemukan jalan menumpaskan penguasa taghut, ketika itulah Allah kirimkan pertolongannya. Sesungguhnya Allah itu maha besar dan maha bijaksana. Dia tidak pernah ketandusan cara untuk memenangkan hak dan menumpaskan kebatilan.Firman Allah SWT:


حَتَّى إِذَا اسْتَيْأَسَ الرُّسُلُ وَظَنُّواْ أَنَّهُمْ قَدْ كُذِبُواْ جَاءهُمْ نَصْرُنَا فَنُجِّيَ مَن نَّشَاء وَلاَ يُرَدُّ بَأْسُنَا عَنِ الْقَوْمِ الْمُجْرِمِينَ


Sehingga apabila para Rasul tidak mempunyai harapan lagi (tentang keimanan mereka) dan Telah meyakini bahwa mereka Telah didustakan, datanglah kepada para Rasul itu pertolongan kami, lalu diselamatkan orang-orang yang kami kehendaki. dan tidak dapat ditolak siksa kami dari pada orang-orang yang berdosa.
(Surah Yusuf:Ayat 110)

Wahai orang yang berjuang untuk agama Allah. Jangan kalian menyangka bahawa kalianlah yang memenangkan perjuangan untuk agamaNya. Dialah Allah yang memenangkannya. Jangan merasa ujub dengan strategi canggih yang anda susun. Dengan kerja kuat anda siang dan malam. Semua itu bukanlah yang memenangkan perjuangan Islam.

Lihatlah, bagaimana Allah tunjukkan di Tunisia. Kejatuhan pemerintahan "istibdadiyyah" selama berdekad itu bukan hasil perjuangan jema'ah An-nahdhah pimpinan Rachid Ghanushi. Apa kaitannya dengan peristiwa seorang pemuda membakar diri membantah ketidakadilan pemerintah dengan Jema'ah An-Nahdhah? Tiada! Peristiwalah itulah yang menjadi asbab lonjakan emosi ramai pemuda Tunisia. Sebahagian besarnya bukan pun pemuda yang lahir dari tarbiah Jema'ah An-Nahdhah.

Bukan juga, kejatuhan Hosni Mubarak di Mesir kerana hasil perjuangan Ikhwanul Muslimin. Ikhwanul Muslimin telah ditindas habis-habisan sepanjang pemerintahan para taghut Mesir. Dunia Islam tidak melihat selain bahawa Ikhwanul Muslimin tidak mampu bangkit lagi di bawah pemerintahan taghut itu. Hanya istiqamah dan kelangsungan perjuangan mereka yang menjadi nafas hayat yang dibanggakan untuk jema'ah itu. Sebahagian besar daripada jutaan pemuda Mesir yang bangkit, bukan pendokong Ikhwanul Muslimin pun.

Tak kira mereka daripada Gerakan Islam atau tidak, apabila saatnya Allah ingin memenangkan Islam, Allah akan kembalikan mereka kepada asal mereka. Bahawa, asal Islam itu berjiwa merdeka. Malah itulah yang menjadi fitrah manusia. Allah hanya mencipta makarNya yang tidak terduga oleh sesiapapun.

Oleh itu, amatilah baik-baik kejadian kemenangan tak terduga ini. Insafilah bahawa di belakang semua ini ada campurtangan kuasa yang maha hebat. Usahlah mendabik dada saat menang. Bukan anda yang memenangkan perjuangan. Anda dimanahkan untuk menguruskan kemenangan itu. Uruslah dengan baik dan penuh ketakwaan.

Di Tunisia dan Mesir, Allah telah berikan sebahgian jalan kemenangan. Dengan rasa amanah dan ketakwaan jemaah Islam di sana, kemenangan yang belum matang itu hendaklah diterajui agar ia menjadi kemenangan Islam.

Jemaah Islam di Malaysia, hendaklah ambil ingat...

Seorang calon wanita pro-M UM dilapor hilang


Dua laporan polis dibuat ekoran kehilangan seorang calon pro-Mahasiwa (pro-M) Universiti Malaya (UM) yang bertanding kerusi umum dalam pilihan raya kampus yang akan berlangsung berlangsung esok.

Kehilangan calon wanita tersebut - Masturah Abu Bakar - dilaporkan oleh seorang rakannya, Nurhanis Wahidah Mohd Mansor, di balai polis Pantai, jam 12.20 tengah malam tadi.

Dalam laporannya itu, Nurhanis berkata pada jam 4.15 petang semalam, dia bersama Masturah, 22, berkempen di blok pangsapuri Pantai Permai, Pantai Dalam - yang menjadi tempat penginapan luar pelajar UM.

Katanya, ketika merada berada di antara blok D dan blok E pangsapuri tersebut, Masturah memberitahunya yang dia hendak pergi membeli tambahan kredit telefon dan memintanya menunggu di blok E.

Menurut laporan polis itu lagi, Nurhanis berkata, selepas lama menunggu, Masturah tidak muncul dan dia cuba menghubungi rakannya itu tetapi gagal.

universiti malaya pro m students pc on missing candidate 200211 1Selepas enam jam mencari bersama penduduk di situ, dan masih gagal menemui Masturah, Nurhanis membuat laporan polis pada jam 12.20 tengah malam tadi.

Dalam laporan polis itu juga, Nurhanis memberitahu bahawa seorang lagi rakannya telah menghubungi keluarga Masturah selepas insiden itu berlaku.

"Semasa kawan saya keluar, (dia) berpakaian baju kurung batik warna hijau merah jambu, bertudung warna merah jambu, kulit berwarna sawo matang bercermin mata, tinggi lebih kurang 173 (cm), berkot labuh warna hitam berkasut sandal berwarna putih," laporan polis itu dipetik.

Laporan polis itu juga menyebut bahawa sebelum itu, Masturah telah menerima kiriman SMS daripada seseorang yang tidak dikenali yang memberi amaran yang berbunyi "woi celaka jg sikit perangai kau, siapla kau lepas ni. Kau ingat kau bagus sangat".

Sehubungan itu, Nurhanis membuat laporan polis kerana "takut" tentang keselamatan Masturah di kemudian hari.

Sementara itu, wakil calon Masturah - Rohayu Rosli - pula membuat satu lagi laporan polis di balai yang sama pada jam 11.40 pagi tadi selepas menerima panggilan telefon yang mengugutnya supaya jangan membuat laporan polis berhubung kehilangan Masturah.

Salinan dua laporan polis tersebut diedarkan pada wartawan dalam sidang akhbar oleh sekumpulan pelajar pro-M yang diketuai oleh pengerusi pro-M UM, Farid Jalpah di depan Dewan Tuanku Canselor UM petang ini.

Dalam sidang media, Farid mendesak pentadbiran UM agar bertanggungjawab di atas kehilangan Masturah kerana penetapan tarikh kempen yang ditentukan pada hujung minggu bermula 18 Februari hingga 20 Februari.

Ini kerana katanya, penetapan tarikh itu menyukarkan proses berkempen disebabkan hampir semua pelajar universiti tidak berada di kampus, malah sebelum ini desakan pro-M meminta agar masa kempen ini diubah juga tidak dilayan.

Dakwanya, hampir seluruh kolej kediaman mengadakan sekatan kepada calon pro-M untuk berkempen dan pelajar yang mengakui diri mereka ahli jawatankuasa kolej turut didakwa menyekat kemasukan orang luar termasuk tempoh berkempen selama 10 minit.

"Oleh hal demikian, calon-calon pro-Mahasiswa mengambil inisiatif untuk menjalankan sesi ziarah ke luar kampus.

"Rentetan penetapan syarat-syarat yang dilakukan oleh ahli jawatankuasa induk inilah memaksa para calon menjalankan sesi ziarah diluar yang secara jelas tidak menjamin keselamatan para calon," katanya.

Farid juga menuntut agar pihak universiti menunda pilihan raya kampus sehingga Masturah yang juga pelajar Akademi Pengajian Islam UM ditemui semula.

Ketika ditemui pemberita selepas sidang media itu, Farid berkata pihak universiti juga turut dimaklumkan berhubung kehilangan Masturah.

Sehingga selesai sidang akhbar tersebut kira-kira jam 5.15 petang tadi, Farid memberitahu pemberita bahawa pihaknya masih belum menerima apa-apa perkembangan berhubung kehilangan Masturah.

UM adalah antara lima universiti utama yang akan mengadakan pilihan raya kampusnya esok.

- malaysiakini

19 February, 2011

DUNIA BLOGGER DI PERSIMPANGAN DILEMA

sumber: http://rubbertapperz.blogspot.com

بسم الله الرحمن الرحيم



Salam hormat,

Umpama durian dengan mentimun, golek macamana pun sang durian, elak macamana pun sang timun, pastilah hancur berkecai akhirnya mentimun itu tanpa sedikit pun merosakkan si durian. Itulah perumpamaan paling sesuai merujuk kepada perlawanan berat sebelah di antara Menteri penuh kerajaan BN dan blogger Pakatan Rakyat.

Blog Sharpshooter bakal menjadi blog pertama yang disaman oleh seorang menteri. Hanya kerana menggunakan kaedah 'copy & paste' dan disiarkan dalam blog sharpshooter, Din Binjai menjadi sasaran seorang menteri di sebalik puluhan blog yang turut memaparkan banyak versi berita berkenaan isu menteri rogol amah.

Anda semua bayangkan, seorang menteri yang gaji dan elaunnya mencecah belasan ribu akan memfailkan saman malu terhadap seorang blogger yang terdiri daripada orang kebanyakkan. Meletakkan syarikat guaman ternama seperti Shaffee & co sebagai peguam dalam kes ini menunjukkan betapa seriusnya Rais dalam mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang blogger. Setuju atau tidak, sebenarnya itu adalah satu tindakkan bijak dari wakil kerajaan untuk melumpuhkan kekuatan blogger PR di mata kerajaan dan juga para pengamal politik. Lumpuhnya medan blog Pakatan Rakyat bermakna satu kejayaan besar buat kerajaan Barisan Nasional.

Setakat waktu ini belum ada lagi peguam sivil yang menampilkan diri untuk membantu blogger kita Din Binjai yang bakal menghadapi zaman gelapnya kerana harga sebuah saman dari seorang menteri pastinya mencecah jutaan ringgit. Dengan bahana perbelanjaan guaman yang meningkat baru-baru ini, harga dokumentasi untuk guaman sivil juga menceritakan jumlah kos yang tidak mampu dibebani oleh Din Binjai atau mana-mana blogger. Adakah kita ingin melihat wakil blogger kita kalah tanpa bertanding? Din Binjai tidak akan dipenjarakan untuk sebuah saman sivil tetapi akan menjadi blogger pertama yang bakal muflis kerana terbabit dalam perjuangan di dunia blog.

Bila menyebut dunia blog, siapakah di antara kita yang terbabit dalam dunia blog? Adakah penulis semata-mata? Adakah penyalin tampal artikel dari media lain semata-mata? Adakah pembaca tidak terbabit dalam perihal ini? Adakah penyokong Pakatan Rakyat yang menjadi pendesak utama terhadap kerajaan sedia ada tidak terbabit? Adakah pimpinan Pakatan Rakyat juga tidak dikira terbabit sedangkan selama ini peranan blogger telah diakui dan diiktiraf sebagai satu faktor kejayaan Pakatan Rakyat dalam PRU yang lalu!

Kekuatan blog yang selama ini menjadi mimpi ngeri kepada kerajaan pemerintah bakal direntap semahunya. Blogger akan lebih berhati-hati apabila melihat Din Binjai menjadi muflis hanya kerana aksi 'copy & paste'. Inilah langkah pertama kerajaan untuk menyekat kemaraan blog-blog baru yang tidak kurang bisa sengatnya.

Jika selama ini diketahui blogger-blogger aliran kerajaan banyak mendapat insentif dan elaun untuk menyerang dan mengfitnah segala elemen yang melibatkan Pakatan Rakyat, termasuklah kerajaan Penang, Kedah, Selangor dan Kelantan. Tidak kurang juga fitnah yang dilempar kepada para pimpinan Pakatan Rakyat di mana Anwar Ibrahim, Tuan Guru Nik Aziz, Nizar dan Guan Eng juga tidak terkecuali. Mereka di haluan kerajaan dilihat mewah dengan habuan, tidak pernah menjadi permasalahan bagi blogger haluan PR dengan menganggap inilah peranan dalam perjuangan. Blogger PR mengambil tempat dan sedia untuk berperang di mana medan sekalipun tanpa mengharapkan balasan, apa lagi wang ringgit.

Perlawanan akan bermula dalam sedikit masa. Kalaulah para bloggers dapat melihat betapa pentingnya perlawanan ini. Begitu juga para pimpinan Pakatan Rakyat, mereka harus melihat perlawanan 'menteri vs blogger' ini adalah penting juga untuk mereka. Pemimpin PAS, PKR dan DAP harus peka dan mengambil berat tentang apa yang bakal terjadi jika seorang blogger disaman dan lebih memburukkan keadaan ialah apabila kepimpinan Pakatan Rakyat dilihat membisu dan tidak menghulurkan bantuan ke atas para blogger yang dihenyak kerajaan melalui menterinya.

Jangan jadikan persepsi buruk tercipta dan tersebar luas betapa kerajaan PR tidak bertanggungjawab dan hanya melepaskan tangan dalam isu sepenting saman ke atas blogger, setelah berjaya menguasai beberapa negeri. Harus jangan dilupa bahawa blogger memainkan peranan penting ditambah lagi dengan beberapa PRK termasuk pilihanraya negeri yang mendatang dan juga PRU yang semakin hampir.

Bukan satu ugutan, tetapi ingin dijelaskan bahawa Pakatan Rakyat harus memainkan peranan. Sepertimana rakyat itu harus dibela, blogger juga harus dibela! Bukan wang ringgit yang dipinta, tetapi hulurkanlah segala bentuk bantuan kepada blogger yang diserang saman,, bukan hanya kepada Din Binjai tetapi mana-mana blogger yang bakal terlibat dalam persengketaan mahkamah demi kejayaan Pakatan Rakyat itu sendiri. Ini adalah berkenaan nasib Din Binjai dan pasti lebih ramai blogger lain bakal diheret ke mahkamah sekiranya Rais menang mudah dalam kes yang bakal berlangsung ini.

Di samping itu juga, blogger lain dituntut memainkan peranan untuk perlawanan penting ini. Bak kata Pak Bakaq penarik beca yang pernah ditahan atas kesalahan yang melibatkan institusi kepolisian negara;

Hari ni hari Din Binjai. Esok lusa mungkin hari kita. Din disaman oleh menteri Umno, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim berikutan hebohnya perbuatan terkutuk tibai amah. Saya tak tahu sama ada betul atau tidak Rais dah tenggek amah dia. Tapi, Rais nampaknya sangat berang. Ramai yang sebarluaskan cerita itu. Tetapi Din yang jadi pilihan Rais memuaskan amarah berangnya.

Percayalah bahawa kita tidak sekali-kali wajar menganggap perjuangan ini adalah perjuangan perseorangan. Kita blogger, pembaca blog, pimpinan, bawahan, facebooker, pengicau twitter dan sesiapa sahaja yang berhaluan Pakatan Rakyat adalah satu pasukan walaupun terdapat sedikit perbezaan dalam sokongan, tetapi titik persamaan kita ialah menghumban Barisan Nasional dalam jasad kerajaan pusat lantas membuka lembaran baru melalui pemerintahan baru yang segar untuk rakyat, demi rakyat!

Mempertahankan Din Binjai Sharpshooter seumpama mempertahankan medan blog kita. Sematkan istiqomah berani dalam menyertai perlawanan penting ini bagi mempertahankan medan kita bersuara, yakni medan rakyat mencangkir berita!!

Suara rakyat suara keramat!! Bukan pengorbanan blogger itu sahaja wajar jadi penghargaan, malah jangan dilupa blogger itu juga terdiri daripada rakyat kebanyakkan! Bantulah blogger!!

EDYES @ edyesdotcom
http://edyesdotcom.blogspot.com

18 February, 2011

UPP DISERANG REMAJA CERITA TIPU

sumber: http://rubbertapperz.blogspot.com

بسم الله الرحمن الرحيم

Laporan dari portal Berita Harian Online yang menipu

Remaja cedera ditembak semasa serang anggota UPP
2011/02/16

TUMPAT: Seorang remaja cedera parah setelah ditembak ketika beliau bersama sekumpulan lelaki menyerang empat anggota Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) di perkarangan Hospital Tumpat, di sini, hari ini.

Remaja berumur 19 tahun itu parah akibat terkena dua tembakan di bahagian rusuk kanannya dalam kejadian pada 9.20 pagi itu kerana menyangka saudaranya, Said Mat Hassan, 56, maut akibat dikasari anggota UPP berkenaan, kira-kira satu setengah jam sebelum itu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi, berkata Said ditemui empat anggota UPP dalam sebuah kereta Kancil di tepi jalan di Kampung Wakaf Tin di sini pada jam 7.45 pagi dalam keadaan lemah, berwajah pucat serta mulutnya berbuih.

Katanya, anggota UPP itu turut menemui 20 guni beras siam dalam kereta berkenaan.

"Melihat keadaan Said yang tenat, anggota UPP membawanya ke Hospital Tumpat untuk mendapat rawatan. Said disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Abdul Rahim berkata, selepas menghantar Said ke hospital, anggota UPP itu pergi minum di sebuah kedai makan berdekatan hospital berkenaan dan tiba-tiba lima kenderaan dinaiki sekumpulan lelaki berhenti di hadapan mereka.

"Beberapa lelaki bersenjatakan cota terus meluru dan menyerang keempat-empat anggota UPP. Akibat serangan bertubi-tubi, salah seorang anggota UPP melepaskan satu das tembakan amaran ke udara," katanya.

Beliau berkata, tembakan itu tidak diendahkan kumpulan itu dan anggota UPP itu terpaksa melepaskan lagi tembakan bagi melindungi diri dan mengenai remaja berkenaan.

"Remaja itu kemudian dibawa ke Hospital Tumpat untuk mendapatkan rawatan, bagaimanapun dia terpaksa dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di Kota Baharu kerana keadaannya yang parah.

"Keempat-empat anggota UPP yang cedera itu pula dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Tumpat," katanya.

Abdul Rahim berkata, pihaknya sudah mengambil keterangan daripada kedua-dua pihak bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh, dan siasatan juga akan dilakukan mengikut Seksyen 37 Akta Senjata Api serta Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, ibu remaja terbabit yang ditemui di Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu di sini berkata beliau terkejut apabila melihat anaknya rebah berlumuran darah akibat ditembak di depan matanya.

Katanya, ketika itu dia ke Hospital Tumpat untuk menziarahi jenazah Said. - BERNAMA

Di bawah adalah cerita sebenarnya...

Keadilan Untuk Allahyarham Sa'aid & Adik Ahmad Nizamudin:

Rasanya KP Kelantan telah diberi maklumat yang salah oleh anggota yang membuat laporan. beberapa kenyataan yang dikeluarkan oleh KP Kelantan bercanggah dengan apa yang diceritakan oleh beberapa saksi kejadian yang ditemui oleh pihak kami.

Antaranya ialah berkenaan dengan laporan yang mengatakan bahawa anggota UPP terbabit diserang oleh mangsa yang ditembak.

Menurut saksi, mangsa yang ditembak tidak menyerang anggota UPP terbabit sebaliknya beliau berada agak jauh dari kumpulan orang kampung yang menyerang anggota UPP berkenaan tetapi tiba-tiba beliau ditembak tanpa disangka-sangka.

Anggota UPP terbabit juga dikatakan tidak langsung melepaskan tembakan amaran diudara sebaliknya terus sahaja menembak mangsa yang mana sebutir peluru mengenai sebelah kanan perut mangsa dan sebutir lagi peluru mengenai sebelah kanan dada mangsa.

Mangsa juga disyaki ditembak dengan sengaja kerana mangsa sebelumnya telah menyaksikan kejadian 4 orang anggota UPP terbabit membelasah Allahyarham Sa'aid sehingga lembik, malah mangsa juga dikatakan melihat bagaimana Allahyarham Sa'aid dipijak tubuh badannya oleh anggota UPP terbabit walaupun keadaan mangsa ketika itu sudah tidak bermaya.

Kenyataan KP Kelantan berkenaan tembakan yang dilepaskan juga bercanggah dengan apa yang berlaku. dilaporkan bahawa anggota UPP terbabit telah melepaskan 2 das tembakan dimana tembakan pertama berupa tembakana amaran di udara manakala tembakan ke 2 ialah untuk mempertahankan diri akibat serangan orang ramai.

Jika hanya 2 das tembakan dilepaskan termasuk tembakan amaran, bagaimana mangsa yang ditembak menerima 2 kesan tembakan iaitu 1 di bahagian kanan dadanya & 1 lagi di bahagian kanan perutnya?

Apa yang menjadi persoalan ialah, kenapa ketika kejadian, mangsa yang juga saksi kejadian sebelumnya menjadi mangsa tembakan? adakah ianya secara kebetulan atau adakah kerana beliau ialah "SAKSI" utama kejadian sebelumnya?

Dalam laporan tersebut juga dinyatakan bahawa anggota UPP terbabit menemui Allahyarham Sa'aid di dalam keretanya di tepi jalan dalam keadaan lemah, berwajah pucat serta mulut berbuih.

Disini juga timbul persoalan. sekiranya begitulah keadaan mangsa, ianya menyerupai simptom sawan. Allahyarham tidak mempunyai rekod penyakit sawan dan yang lebih menghairankan lagi, kenapa dalam keadaan begitu, kereta yang dipandu oleh Allahyarham tidak terbabas sebaliknya berada di tepi jalan?

Apakah dalam keadaan tersebut, mangsa sempat memberhentikan keretanya di tepi jalan seperti mangsa berada dalam keadaan yang sihat?

Apa yang diceritakan oleh saksi ialah, mangsa (Allahyarham Sa'aid) sebelumnya telah dikejar oleh anggota UPP terbabit kemudian mangsa kemudiannya telah berhenti dan menyerah diri. sebaik sahaja menyerah diri, 4 anggota UPP terbabit telah bertindak menyerang dan membelasah mangsa sehingga mangsa tidak lagi berupaya untuk berdiri. dalam keadaan yang lemah tidak mampu berdiri, mangsa dipijak-pijak oleh anggota UPP terbabit sehingga tidak sedarkan diri.

Ini cerita sebenar yang dimaklumkan kepada pihak kami oleh saksi-saksi seramai lebih dari 10 orang yang ditemui.

Kita berharap agar kejadian ini disiasat dengan terperinci dan kita tidak mahu Allahyarham Sa'aid & Adik Ahmad Nizamudin menerima nasib yang sama sepertimana yang menimpa Mendiang Kugen, Teoh Beng Hock, Atlantuya, Adik Aminurrasyid dan lain-lain mangsa keganasan pihak berkuasa.

Negara ini Negara yang mempunyai undang-undang. jika pihak-pihak yang sepatutnya menegakkan undang-undang tidak mampu untuk memikul tanggungjawab tersebut, pada siapa lagi mahu kita harapkan?

Sumber - Keadilan Untuk Allahyarham Sa'aid & Adik Nizamudin"

- tranungkite

NGO 'TABAH' (PEMBELA TANAH RAKYAT SABAH) akan dilancarkan

Sumber: http://islamreturn.blogspot.com/

 Salam perjuangan..

Kehidupan rakyat Sabah kini terhimpit dengan isu-isu tanah yang tidak pernah cuba diselesaikan oleh UMNO/BN, malah penduduk diugut agar tidak membawa isu ini ke peringkat tertinggi. Keadaan ini ditambah lagi dengan keadaan penduduk yang mempunyai taraf pendidikan yang rendah menyebabkan mereka mudah diperkotak-katikkan.

Sehubungan dengan itu PAS negeri Sabah telah mengambil pendekatan yang proaktif agar isu ini segera diselesaikan bagi memastikan hak rakyat Sabah dapat dibela. PAS Sabah sebelum dari ini telah berjaya melaksanakan HEMPAS (Himpunan Isu Tanah Rakyat Sabah) yang mana telah berjaya mengumpul lebih 5000 orang di Batu Sapi, Sandakan. Seterusnya PAS negeri telah bersama-sama dengan wakil penduduk ke Dewan Rakyat (Parlimen) pada tahun lepas bagi menyerahkan memorandum terhadap penganiayaan kerajaan UMNO/BN terhadap masyarakat Sabah.

Bagi tujuan membela rakyat Sabah terhadap hak-hak mereka di dalam isu Tanah, kini PAS negeri Sabah akan melancarkan NGO yang dinamakan TABAH (Pembela Tanah Rakyat Sabah).

Maklumat pelancaran TABAH

Tarikh: 12 Mac 2011
Tempat: Hayati Villa, Putatan
Masa: 8.00 pagi

Penceramah:
Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man
(Naib Presiden PAS)
YB Dato' Seri Mohamamd Nizar Jamaluddin
(Menteri Besar Perak)YB Dr. Mujahid Yusuf Rawa
(Ahli Parlimen Parit Buntar)
Hubungi:
019-8622790
019-3692587

SEMUA RAKYAT SABAH DIJEMPUT HADIR

16 February, 2011

Perutusan Maulidur Rasul 1432 Hijrah

sumber: http://www.blogtokguru.com

Bersyukur ke hadrat Allah SWT yang telah mengizinkan kita untuk terus berada di dalam bulan Rabiul Awwal untuk tahun 1432 ini. Rabiul Awwal sebagaimana yang kita umat Islam sedia maklum merupakan bulan menyambut hari kelahiran Nabi Muhammad SAW. Sekalipun seringkali saya ulangi, peristiwa kelahiran baginda tidaklah sebesar peristiwa perlantikan baginda sebagai rasul, kerana kelahiran adalah peristiwa yang berlaku kepada semua manusia. Namun tidaklah dinafikan bahawa pada bulan inilah umat Islam, termasuk di Malaysia keseluruhannya memperbaharui kecintaan mereka kepada Rasulullah SAW dengan mengadakan majlis-majlis maulud di sana sini khususnya di Kelantan ini.

Sehubungan dengan itu, sukalah saya mencadangkan agar pengisian Maulidur Rasul pada tahun ini dapat ditumpukan kepada topik semasa yang sedang berlaku di sekitar umat Islam pada hari ini. Topik-topik semasa amat perlu diketengahkan memandangkan al-Quran sendiri sebagai sumber hukum di dalam Islam diturunkan selama 23 tahun. Tujuan penurunan al-Quran selama 23 tahun ini antara lainnya bertujuan untuk menyesuaikan penurunan ayat-ayatnya dengan peristiwa semasa yang berlaku pada zaman Nabi Muhammad SAW.

Kedua, para penceramah (kalangan pemimpin atau pendakwah serta pakar motivasi) perlulah mengingatkan masyarakat, khususnya umat Islam bahawa dunia ini milik Allah SWT. Setinggi manapun pangkat yang kita miliki, kita hanyalah penumpang di bumi Allah SWT. Sebagaimana kita menumpang di rumah orang lain, kita tidak bebas melakukan perkara yang kita ingini jika tidak dengan persetujuan tuan rumah. Di bumi ini, kita hanya boleh melakukan perkara yang dikehendaki oleh Tuan Punya bumi iaitu Allah SWT. Justeru, tidak ada kuasa yang akan kekal selama-lamanya melainkan kuasa Allah. Di Mesir dan Tunisia, kita baru menyaksikan kebangkitan besar-besaran rakyat menentang rejim yang berkuasa begitu lama menunjukkan bahawa setiap penguasa pasti akan sampai saatnya, kuasa mereka akan diambil balik oleh Allah SWT.

Ketiga, kehebatan Rasulullah SAW sebagai pentadbir negara ditonjolkan undang dijadikan tauladan kepada mana-mana penguasa yang menjalankan amanah Allah SWT. Baginda mentadbir negara Islam Madinah dengan mengutamakan pembersihan kalbu terlebih dahulu. Sesuai dengan Nabi Muhammad SAW sebagai seorang ahli politik yang dipandu oleh Allah SWT, baginda tidak meletakkan agenda pembangunan fizikal sebagai agenda utama sehingga mengenepikan pembangunan rohani. Justeru, kita boleh menyaksikan bagaimana sepanjang 10 tahun baginda menjadi ketua negara Islam Madinah, hanya sebuah sahaja bangunan yang didirikan iaitu masjid baginda sendiri. Ini kerana, baginda membangunkan hati dan roh. Lahirlah generasi sahabat yang hebat hasil dari tarbiyyah dan asuhan baginda. Melalui asuhan inilah, manusia mengenali halal, haram, dosa, pahala, syurga dan neraka. Hakikatnya, pembangunan modal insan yang kini disebut-sebut semula oleh sebahagian daripada kalangan kita telah lama disebut oleh Allah SWT (Al-Quran, Surah al-Alaq ayat 1-7)

bermaksud: “Bacalah dengan (menyebut) nama tuhanmu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah, Yang Mengajar (manusia) dengan perantaraan qalam. Dia mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya. Ketahuilah, sesungguhnya manusia benar-benar melampaui batas, apabila dia merasakan dirinya cukup (sebagai satu penyakit qalbu). Sekali-kali tidak, (penawarnya ialah meyakini) sesungguhnya kamu akan kembali kepada tuhanmu.

Perhatikanlah ayat-ayat di atas yang mengulangi perkataan al-insan yang bermaksud manusia sebanyak tiga kali. Inilah aspek yang perlu diberikan keutamaan pada hari ini. Apabila pembangunan insan dilaksanakan mengikut acuan Islam, tidak akan berlaku lagi budaya khianat, pecah amanah, salah guna kuasa dan sebagainya di kalangan rakyat termasuklah pemimpin. Masyarakat pula khususnya remaja yang terdidik dengan rasa takut terhadap azab Allah SWT akan menjauhi pergaulan bebas, zina, sumbang mahram, buang bayi dan sebagainya. Sekalipun perbuatan dosa ini tidak diketahui oleh manusia, ia tetap dihitung oleh Allah SWT. Inilah kejayaan asuhan Rasulullah SAW dan ini terbukti apabila pernah seorang wanita datang kepada baginda mengaku bahawa dirinya telah berzina serta memohon untuk dihukum hudud dengan segera ekoran ketakutannya menghadapi azab Allah SWT di akhirat kelak. Agenda pembersihan kalbu seperti inilah yang langsung tidak ada di dalam sistem sekular. Sekular yang hanya mengutamakan pembangunan fizikal semata-mata pastinya tidak akan berbicara walaupun sepatah mengenai pembersihan kalbu.

Keempat, perlulah diingatkan bahawa Islam datang selari dengan fitrah manusia. Maulidur Rasul ini perlulah dijadikan satu kesempatan untuk menonjolkan kebaikan Islam kepada non-muslim bukan sekadar sambutan seperti perarakan besar-besaran sahaja, tetapi hendaklah juga menonjolkan nilai Islam yang bersesuaian dengan fitrah semulajadi manusia. Oleh itu, wajar sekali ditonjolkan bagaimana Islam melarang perkara-perkara mungkar yang sememangnya tidak diterima oleh fitrah manusia. Mencuri, merompak, berzina, rasuah, pecah amanah, khianat dan semua perkaranya dilarang oleh Islam dan hakikatnya juga tidak diterima oleh fitrah manusia. Demikianlah juga perkara-perkara maaruf seperti kerjasama, bantu membantu di dalam sebarang kerja amal kebajikan dan muafakat menjaga keharmonian hidup beragama amat yang digalakkan oleh Islam juga pada hakikatnya diakui oleh fitrah manusia sebagai amal maaruf yang baik untuk kerukunan hidup bermasyarakat.

Firman Allah SWT (Al-Quran surah Al-Baqarah ayat 148)

Bermaksud: “Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya; oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Akhir kata, saya mengharapkan sambutan Maulidur-rasul pada kali ini benar-benar memberikan manfaat untuk semua khususnya di dalam meningkatkan kefahaman kita kepada Islam yang syamil (komprehensif) yang dibawa oleh baginda Rasulullah SAW.
Sekian.

TUAN GURU DATUK BENTARA SETIA HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
MENTERI BESAR KELANTAN MERANGKAP
AL-MURSYIDUL AM PARTI ISLAM SEMALAYSIA (PAS)

Hak Cipta & Penafian

SBS MEDIA (Sahabat Blog Sabah) - 2011 Digalakkan untuk sebarang sebaran. Sebarang bentuk salinan kandungan daripada laman ini mestilah disertakan link Sahabat Blog Sabah bagi memudahkan proses rujukan. Kami tidak bertanggungjawab ke atas sebarang komen yang disertakan daripada pengunjung dan menjadi tanggungjawab pengunjung sepenuhnya. Sekian.