31 December, 2009

LAWAN VS KAWAL

Sumber: http://kembaraborneo.blogspot.com/

“Kamu perlu lawan perasaan itu.” Kata seorang naqib sewaktu saya di sekolah dahulu.


Lawan? Kerana lawanlah perasaan tersebut dipendam-pendam. Akhirnya membuak-buak dan pecah. Lalu langsung tidak terkawal apabila di universiti. Itulah yang terjadi kepada beberapa orang rakan saya… Dan juga senior termasuk naqib saya itu.


Sudah beberapa kali saya terserempak dengan beberapa senior sekolah lama saya yang merangkap ketua pelajar mahupun naqib, kini keluar berdua-duaan dengan pasangan.

“Eh, abang dah berkahwin ke? Tak jemput ana pun.” Sengaja saya mengusik. Tersipu-sipu malu mukanya.

“Belum lagi.” Jawabnya ringkas.

Perasaan cinta bukan perlu dilawan. Mengapa perlu dilawan perkara yang sudah menjadi fitrah? Tetapi perasaan cinta itu perlu dikawal. Disalurkan ke tempat yang betul. Dikawal supaya tidak melampau batas-batas yang telah ditetapkan Tuhan.

“Sudah ada ikatan yang sah belum? Jika belum ada cepat-cepat mengikat dengan cara yang sah dan terbaik. Jika masih lama lagi waktunya untuk mengikat hubungan, maka seeloknya berhentikanlah dahulu. Takut-takut nanti jadi jemu dan akhirnya berpisah begitu sahaja. Sekurang-kurangnya bertunanglah…”

Seorang ustaz saya ada menasihatkan, “Siapa kata bertunang tidak boleh berkenal-kenalan dengan pasangan kita itu? Waktu pertunanganlah waktu untuk kita berkenal-kenalan. Islam menyuruh kita memilih pasangan yang sesuai dengan diri kita sebelum kita menikahinya.”


Over Rate Diri Sendiri

“Saya ada menyukai seseorang, dan kami telah berkenalan agak lama. Cuma sekarang saya rasa serba salah. Adakah cara kami ini salah atau betul?” Seorang rakan menyoal saya. Dan saya mengenalinya sebagai orang kuat dalam satu persatuan agama di kampus.

“Apa cara yang kamu rasa salah atau betul itu?” Saya kembali menyoal.

cinta anta anti“Kami tidaklah kerap berjumpa seperti pasangan lain. Kalau berjumpa pun akan ada seseorang menemani. Kami cuma kerap berhubung melalui sms. Itupun sms kami selalunya berkaitan persoalan agama.” Dia cuba menerangkan.

Saya menarik nafas panjang. Kemudian melepaskannya perlahan-lahan. Dalam hati ingin saja berkata, ’Saya bukanlah seorang yang selalu pergi ceramah agama berbanding dia. Lagikan pula memberi ceramah sana-sini seperti dia. Tetapi tahu jugalah sikit-sikit tentang persoalan ikhtilat(pergaulan) antara lelaki dan perempuan.’

“Dalam diri kita ini tidak kiralah siapa pun, ada satu sifat over rate diri sendiri. Tidak kiralah saya atau pun kamu, turut ada sifat itu.” Saya cuba memulakan penerangan. Berhenti seketika.

“Apa maksud sifat over rate itu?” Belum sempat saya meneruskan, dia menyoal.

“Sifat ini yang membuatkan kita merasakan apa yang kita buat nampak macam betul. Sedangkan bila kita tengok orang lain buat, nampak macam salah. Walhal perbuatan tersebut lebih kurang sama sahaja. Itu yang menyebabkan selalu saya lihat hari itu si dia pergi menegur sepasang remaja yang duduk bersembang, tetapi esoknya saya lihat dia pula berjumpa dengan pasangannya.

Kemudian siap bersembang dalam sms ataupun chatting di YM agak lama. Cuma nampak sahaja seperti lebih baik, tetapi maksud dan tujuannya tetap sama. Tetap dalam bahasa yang selalu kita panggil sebagai ’couple’. Ini kerana kita merasakan diri sendiri itu sudah terlalu baik, jadi apa sahaja yang dibuat dirasakan sebagai tindakan yang betul.” Saya cuba menerangkan sebaik mungkin.

Dia kemudian meminta diri daripada saya. Entah dapat menerima kata-kata saya sebentar tadi ataupun tidak.

Saya bukanlah melarang perbincangan agama melalui sms dan chatting di YM. Perkara yang elok mengapa perlu dihalang. Tetapi perlulah dikawal. Seeloknya bertanya dahulu dengan ustaz atau ustazah, sekiranya tidak berkemampuan bertanyalah kepada rakan yang sejantina terlebih dahulu. Jika tidak dapat juga, barulah bertanya kepada yang berlainan jantina.

Bukanlah salah kalau ia satu keperluan tapi takut-takut kita sengaja cuba mencari ’alasan’ dengan mengadakan perbincangan agama supaya dapat berhubung dengan si dia.

30 December, 2009

Najib larang Mahathir disiasat

Sumber: http://masdarwahid.blogspot.com/

Kerajaan tidak akan menubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat dakwaan seorang penulis Barat kononnya bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah membazirkan RM100 bilion.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, penubuhan suruhanjaya bebas berkenaan tidak sesuai kerana tuduhan tersebut merupakan kandungan sebuah buku.

"Ada saja saranan ditubuhkan suruhanjaya diraja, tetapi dalam hal ini, tidak wajar dicadangkan suruhanjaya diraja ditubuhkan semata-mata kerana ada orang menulis sebuah buku.

"Apa yang penting adalah kita melihat masa depan. Semua Perdana Menteri telah memberi sumbangan yang besar sehingga membolehkan masyarakat kini menikmati pelbagai kemajuan.

"Jika tidak, Malaysia tidak akan menjadi maju seperti sekarang sehingga dianggap sebagai satu contoh," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di sini hari ini sebagai mengulas tindakan Barry Wain yang berpangkalan di Singapura menulis buku mengenai Dr. Mahathir ketika pentadbirannya bertajuk Malaysian Maverick: Mahathir in Turbulent Times.

Barry antara lain mendakwa Dr. Mahathir telah menyebabkan kerajaan kerugian sehingga RM100 bilion sepanjang era pentadbirannya.

Pengerusi DAP, Lim Kit Siang kemudian mahu kerajaan menubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat dakwaan tersebut.

29 December, 2009

Mencakna Perjuangan

Sumber: http://musliminmukhlisin.blogspot.com/


Salam wasilah ukhuwah fillah
Kita bukan pemula juga bukan pengakhir, hakikatnya kita adalah mata rantai kepada perjuangan ini. Ungkapan yang menjadi motivasi untuk saya melakar usaha-usaha dakwah di pekan kecil, Lahad Datu Bandar Palma. Tanpa jemu saya dan sahabat-sahabat dalam Persatuan Siswazah Sabah (PSS) Bahagian Lahad Datu terus melangkah untuk berkongsi ilmu dan pengalaman bersama kader-kader dakwah yang masih segar bugar dalam PERPPIS Bahagian Lahad Datu. Bermula daripada penganjuran Kem Remaja Islam 2009 (KRIS’09), disusuli dengan program usrah mingguan, liqo’ bulanan (qiamullail), ijtimak ‘eidulfitri, sehinggalah dengan izin Allah, buat julung kali PERPPISLD bermuktamar pada 26 Dis yang lalu di Hotel Royal Palms, Lahad Datu.

Semoga ALlah menguatkan Saff Kepimpinan PERPPISLD 1431H untuk memimpin gerakan dan usaha dakwah yang konstruktif dan efektif di sini. Kita baru bermula melakar jalan yang ditempuh oleh para penghuni Syurga. Percayalah adik-adikku, jika kita ikhlas dan faham sunnahtullah dalam perjuangan ini, insya ALlah segala yang dirancang akan menjadi kenyataan dengan gemilang. Kejayaan pasti milik ISLAM. Tugas kita bukan menunggu. Tugas kita mendendangkan lagu. Lagu dakwah mengHJAUkan bumi ini. Selamat berjuang, adik-adikku ahli PERPPISLD 1431H.

27 December, 2009

Kursus Pengurusan PASTI peringkat negeri Sabah

Sumber: http://islamreturn.blogspot.com/
Oleh: almansur

27 Dis (Sabtu): Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah telah menganjurkan kursus pengurusan PASTI peringkat negeri Sabah. Program yang di adakan sehari semalam tersebut antara lain bermatlamatkan untuk meningkatkan kefahaman, kemahiran dan kualiti pengurus pasti di seluruh negeri Sabah. Beberapa kertas kerja telah dibentangkan, antaranya ialah visi dan misi PASTI, sistem pengurusan PASTI, pengurusan kewangan dan halatuju PASTI. Selain dari itu taklimat berkaitan pengurusan kesihatan dan keselamatan kanak-kanak pra-sekolah, dan akta berkaitan turut didedahkan.

Antara peserta yang hadir pada kursus pengurusan PASTI peringkat negeri Sabah

Program yang diadakan di Pusat Penerangan PAS & PKR tersebut telah dihadiri oleh wakil-wakil PASTI dari seluruh Sabah. Manakala para pembentang adalah terdiri dari Ahli Lembaga Pengarah PASTI Pusat iaitu Abdul Kadir Dewa (Tim. Pengarah PASTI Malaysia, Sektor Pengurusan), Hashan Aladi Hj Ahmad (Tim. Pengarah PASTI Malaysia, Sektor Pembanggunan Sumber) dan Rosli Suhaime (s/u PASTI Malaysia).

Menurut Ishar Hamka Ismail selaku peserta kursus yang juga Timbalan Pengarah PASTI 4 Sabah (Sandakan), program yang diaturkan sangat bermanfaat kerana ianya banyak memberi ilmu yang berguna sebagai panduan dalam menguruskan PASTI di Sabah. Menurut beliau lagi PASTI Sabah mensasarkan pertumbuhan sebanyak 10% jumlah PASTI setiap tahun bermula 2010-2014. Sehubungan dengan itu ALP PASTI negeri Sabah juga perlulah sentiasa mempertingkatkan usaha ke arah memperkasakan PASTI di seluruh negeri Sabah.

Seorang lagi peserta Jumat Jamaluddin iaitu wakil dari Kudat berpendapat bahawa kursus yang diadakan ini sangat penting bagi memperbaiki lagi sistem pengurusan PASTI di Sabah yang masih banyak kekurangan terutamanya dari sudut pengurusan. Menurut beliau lagi dengan adanya program seumpama ini, maka semua penggerak-penggerak PASTI di Sabah akan dapat menimba ilmu yang berguna daripada pimpinan pusat bagi memantapkan lagi pengurusan PASTI di Sabah. Selain dari itu menurut beliau lagi, masyarakat di Sabah dilihat lebih mudah untuk bersama-sama dengan PASTI berbanding PAS. Oleh yang demikian, dengan adanya PASTI, dakwah akan dapat digerakkan bagi mendekatkan masyarakat dengan PAS sebagai sebuah gerakan Islam.

Semua perserta yang hadir sangat berpuas hati dengan program yang diaturkan, seterusnya berazam akan menggerakkan PASTI di negeri Sabah dengan lebih kemas dan tersusun demi melebar luaskan dakwah Islam di tengah-tengah masyarakat.

26 December, 2009

KRU KM: Islam di Hatiku


KRU KM bersama barisan fasilitator

Kota Marudu mempunyai 13 masjid dan 32 surau berbanding 90 gereja, belum di ambil kira masjid dan surau yang berfungsi atau mati. Islam menyusup masuk ke pelusuk desa dan pedalaman, tidak sempat melekat roh dan izzahnya sebelum direnjat semula oleh kelompok sebelah sana. Gemilang sejarah perjuangan Shariff Osman sekitar tahun 1900 membebaskan 'Bandau' dari cengkaman penjajah tidak diwarisi semangatnya oleh penduduk Islam tempatan. Hanya di sini-sana, kedengaran kisah-kisah tokoh yang berhempas-pulas di tempat sendiri memastikan Islam terus mendapat tempat biarpun yang menjadi inspirasi hanyalah pahala yang tidak kelihatan oleh mata kasar insani.

Keadaan tersebut akan berubah. Dan masanya bukan esok atau lusa, jauh sekali tahun hadapan atau seabad yang akan datang. Masanya ialah sekarang, hari ini. 2 hari berkampung di Kota Marudu ditemani oleh pejuang-pejuang dari kalangan anak muda, PSS berjaya menubuhkan Kelab Remaja Ukhuwwah Kota Marudu (KRUKM) generasi yang pertama. Mereka menanam keazaman seteguh berdirinya kota pertahanan Shariff Osman, bahawa Islam akan kembali dipasakkan id ginawo tulun-tulun Kota Marudu ngawi, insyaAllah!

Murabbi dua zaman - Ustaz Abdul Mutalib dan Saudara Zulhilmey Makmud

Ziarah ukhwah oleh peserta muslimat


Ziarah ke rumah muallaf yang cacat penglihatan

24 December, 2009

ISTAK, Minuman Alternatif Kepada Montoku Di Sabah

Sumber: http://mujahideen-islam.blogspot.com/


Salam alayk'.. ISTAK merupakan minuman yang sekali dilihat pada bentuk dan rupanya seakan-akan arak @ beer. Namun, ISTAK bukan sebegitu bahkan ia merupakan minuman non-alkohol buatan Iran. Penjualan ISTAK kini begitu meluas sehingga mendapat sambutan begitu hangat daripada orang Muslim atau non-Muslim. Rekabentuk pada tin @ botol minuman ISTAK yang mirip seperti arak menjadi tumpuan dan membuatkan masyarakat teruja apabila ia merupakan minuman 'HALAL' yang sedikitpun tidak mengandungi alkohol.
ISTAK kini merupakan satu fenomena di Sabah apabila negeri yang majoritinya kaum Kadazan yang yang sebahagian besarnya sudah sebati dengan arak @ tapai dari kalangan non Muslim. Namun, dengan adanya ISTAK ini yang dijangka menjadi minuman alternatif, penulis percaya bahawa angin perubahan dari arak, tapai dan montoku kepada ISTAK akan menjadi kenyataan tidak lama lagi.


Kini, ISTAK dipromosi ke kedai-kedai runcit di pedalaman Sabah seperti di Kundasang, Ranau dan mendapat sambutan yang hangat daripada pekedai-pekedai runcit. Ini merupakan satu langkah yang baik dalam membendung gejala minum arak dari kalangan masyarakat khususnya yang Muslim kerana ia satu jenayah dalam Islam.


Mempromosi ISTAK kepada kedai-kedai runcit di pendalaman Sabah bagi menggantikan penjualan arak (montuko' dan liheng).

p/s: Semoga usaha anak-anak muda dalam memartabatkan Islam di Sabah ini mendapat keredhaan Illahi.. Ameen..

23 December, 2009

BENGKEL PENYELARASAN JAKIM SABAH & NGO ISLAM

Sumber: http://abunuha.wordpress.com/


Alhamdulillah, sepanjang petang jumaat sehingga tengahari ahad semalam, NGO Islam berkumpul di Beringgis Beach Resort Papar untuk Bengkel Penyelarasan Program JAKIM dan NGO Islam Sabah bagi 2010 akan datang.

Hj Sainuri Yamin selaku pengerusi Majlis Gabungan NGO Islam Sabah (CONCERN) mengetuai senarai kehadiran NGO yang lain.

Antara NGO yang hadir menghantar wakil ialah Wadah Pencerdasan Ummat (WADAH), Yayasan Amal Malaysia (AMAL Malaysia), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Jamaah Islah Malaysia (JIM), Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM), Persatuan Puteri Islam Malaysia (PPIM), Persatuan Graduan Iranun Sabah (PAGISA), Pertubuhan Kebajikan Saudara Baru Kota Kinabalu (SAHABAT), Persatuan Siswazah Sabah (PSS) dan Persatuan Melayu Bugis Kota Kinabalu (KECAPI).

Pada malam pertama, Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Ust Aziz Mohamad membentangkan senarai program yang bakal dilaksanakan oleh JAKIM sebagai pembuka bicara dan idea kepada semua yang hadir.

Pada hari kedua sehingga tengahari ahad, setiap NGO memikir, menyedia dan membentangkan program mereka sebelum diperincikan satu persatu, dibincang dan dibahaskan kesesuaian (brainstroming), penyelarasan dan sebagainya.

Antara yang paling bersemangat sudah tentu saudara Abu Bakar Ongkosing Presiden SAHABAT yang membentang 22 projek mereka dengan jumlah kos sebanyak RM10 juta.

Mudah-mudahan RM12 ribu yang dibelanjakan oleh urusetia JAKIM sepanjang bengkel ini menatijahkan sesuatu yang baik. Sebagaimana kata Ust Shamsuri, projek dan program cadangan NGO akan diangkat ke pihak atasan untuk kelulusan bajet.

Perwakilan Muslimat daripada pelbagai NGO

Zikri (ABIM) dan Ust Firdaus (SAHABAT)

Ust Aziz Mohamad (Pengarah JAKIM) dan di sebelah beliau Hj Sainuri Yamin (Pengerusi CONCERN)

Abu Bakar (SAHABAT) dan Dr Ali (PUM)

Perwakilan CONCERN mendengar taklimat Pengarah JAKIM Sabah

Sdr Abu Bakar Ongkosing membentang projek / program SAHABAT bagi 2010

Sesi ‘pecah otak’ demi dakwah Islam

Perbahasan demi perbahasan..

22 December, 2009

Penuhi Ruang dan Lompong 'Kifayah'.

Sumber: http://islamreturn.blogspot.com/

"Kenapa PAS tak laksanakan hudud di Kelantan? Sedangkan sebelum ini beriaya-iya benar PAS mempromosikan perlaksanaan hudud sekiranya PAS memerintah". Begitulah soalan yang diajukan kepada saya oleh seorang sahabat. Setelah berfikir seketika saya memberi jawapan berikut. "Kelantan merupakan sebuah negeri bukannya persekutuan, negeri tertakluk dibawah persekutuan. Ini bermakna sebarang undang-undang (enekmen) yang digubal di DUN tidak boleh bercanggah atau melampaui undang-undang (akta) di peringkat persekutuan. Sebagai contoh, sekiranya akta bagi kesalahan mencuri adalah denda RM500 dan penjara 1 tahun, maka enekmen bagi kesalahan mencuri mestilah kurang dari RM500 dan 1 tahun penjara. Ini beerti, bagi melaksanakan hudud untuk kesalahan mencuri perlulah rang undang-undang diperingkat persekutuan digubal terlebih dahulu". Jawab saya ringkas.

"Kalau macam tu UMNO dan PAS samalah, kerana UMNO tak melaksanakan hudud, PAS pun tak mampu laksanakan hudud". Celah sahabat saya tadi. Saya menjelaskan kepada beliau, "Tak sama! PAS metutup semua primis judi. PAS menutup semua pusat hiburan (disko dan pub). PAS menghadkan penjualan arak. Manakala UMNO memberi lesen judi. Membuka lebih banyak pusat hiburan. Tidak mengawal lesen penjualan arak. Maka adakah UMNO dan PAS itu sama?" Soal saya. Teman saya tidak menjawab, hanya mendiamkan diri.

Begitulah dialog saya bersama seorang teman yang agak keliru antara UMNO dan PAS. Pada pandangan saya, masalah perlaksanaan hudud bukan sekadar dilihat dari sudut perlaksanaan hukum tersebut semata-mata, tetapi sejauh mana kesedaran masyarakat terhadap Islam sebagai penyelesaian masalaah. Kesedaran itulah akan membawa terdirinya sebuah negara yang di dalamnya terlaksana hukum dan syariat Allah.

Sejarah telah mengubah apa yang umat Islam miliki suatu ketika dahulu. Setelah umat Islam di Malaysia di rosakkan fikiran mereka selama beratus-ratus tahun, iaitu bermula dari siri penjajahan Portugis, Belanda, British, Jepun dan akhirnya UMNO/BN. Maka bukan semudah teori untuk mengembalikan kefahaman Islam yang benar di kalangan masyarakat.

Timbul persoalan mengapa PAS perlu bekerjasama dengan Pakatan Rakyat (PR). Jawapannya ada pada ruang demokrasi yang terbentang di dalam PR berbanding BN. Ruang inilah yang perlu PAS mainkan peranan di dalam memberi kefahaman terhadap masyarakat bahawa Islam sebagai penyelesai masaalah. Teras kesepakatan Pakatan Rakyat yang dipersetujui bersama semasa Konvensyen Pakatan Rakyat baru-baru ini telah memperincikan 5 teras utama. Ianya telah membuka ruang seluas-luasnya untuk PAS dan lain-lain gerakan Islam memacu sepenuhnya ruang dan peluang yang ada untuk Islam.

Islam tidak berjuang di dalam kepompong ahli, tetapi perjuangan Islam menuntut gerakan Islam mendada di dalam menjelaskan prinsip-prinsip Islam. Perjuangan inilah yang akan mematangkan gerakan Islam agar bersedia untuk mengambil alih sesebuah kerajaan untuk membentuk sebuah 'Daulah'. Manakala perjuangan yang menuntut darah dan air mata hanyalah jalan terakhir sekiranya musuh terbukti menumpahkan darah umat Islam.

Ayuh! Penuhilah semua ruang dan lompong 'kifayah' demi persediaan menyambut suatu kebangkitan UMMAH..!

Perubahan Dalam Iklim Politik Negara

Sumber: http://kraiians118.blogspot.com/

Ruangan harakahdaily terus menerus memaparkan imej sebenar berkenaan hasil Konvensyen Pakatan Rakyat pada 19 Disember lalu. Selaku mahasiswa yang terbuka dalam menyampaikan pandangan secara peribadi, melihat satu perubahan yang besar berlaku kepada iklim atau suasana politik sekarang dan akan datang.

Selepas hasil pembacaan daripada sumber penulisan yang pelbagai, ada banyak perkara yang boleh dijadikan rujukan kepada semua asalkan berguna. Di ruang ini saya lontarkan berdasarkan pandangan peribadi.

Ambil yang jernih buang yang keruh

Saya melihat perubahan yang akan berlaku berdasarkan penekanan terhadap keutamaan dalam dasar yang dicetuskan dalam ucaptama pemimpin-pemimpin utama parti, yang berbeza berdasarkan aliran fikrah dan pemikiran dan ini adalah sesuatu yang diharapkan dan dibanggakan sekiranya berjaya dilaksanakan dengan baik. Antara hasil perubahan adalah pada dua perkara berikut:

Suasana Perubahan Pemikiran Masyarakat

Masyarakat hari ini perlu lebih banyak terbuka dalam menerima perubahan tidak hanya bergantung kepada mana-mana pihak dalam memastikan kelangsungan dalam kehidupan sebaliknya melihat perubahan dalam diri secara total sebagai satu elemen penting untuk membentuk sebuah bangsa Malaysia. Perubahan yang bagaimana? Perubahan diri yang mampu mengangkat Malaysia sebagai sebuah negara yang lebih berdaya saing walaupun dalam ruang perbezaan dari sudut agama, budaya dan lain-lain.

Saya sebutkan perbezaan yang melambatkan kemajuan dalam Malaysia dan ramai yang melihat perbezaan ini sebagai jurang pemisah kejayaan Malaysia.

Islam tidak melihat perbezaan satu jurang pemisah kejayaan sesebuah bangsa dan begitu juga pandangan saya terhadap agama lain, tetapi apa yang penting adalah permbezaan yang membuka kelebihan dan kebaikan kepada semua dalam amalan-amalan kehidupan manusia seharian dengan harapan kehidupan yang lebih harmoni.

Suasana Perubahan Pemikiran Mahasiswa

Adalah diharapkan perubahan yang berlaku juga dapat diterima kepada golongan mahasiswa untuk membentuk mahasiswa yang lebih dinamik, kreatif dalam menangani permasalahan, dan bijak dalam menguruskan diri di kampus bagi memastikan kita dapat memberi manfaat yang sepenuhnya kepada rakyat apabila keluar dari tempat pengajian

Satu perkara yang penting adalah mahasiswa perlu tahan kepada cabaran, kuat semangat dan sanggup berdepan dengan ujian. Ciri-ciri ini perlu dalam membina mahasiswa yang lasak bukan sahaja di medan akademik tetapi di medan masyarakat.

Mahasiswa hari ini tidak melihat sesuatu ujian dan kesusahan yang diterima sebagai sesuatu perkara yang positif tetapi ujian ini dianggap penghalang untuk memajukan diri dalam akademik dan kehidupan seharian. Ujian yang datang ini yang akan membina kekuatan untuk masa akan datang.

Pengalaman yang perlbagai seharusnya dikumpulkan oleh semua mahasiswa sebelum keluar kepada medan masyarakat. Dalam ruang ini saya yakin mahasiswa akan lebih banyak menerima ujian. Jadikan hari ini adalah persediaan untuk hari yang seterusnya dan yang akan datang.

Hakikatnya mahasiswa perlu berani dalam meniti perubahan bukan dengan hanya bergelumang dengan permasalahan kecil yang dibesarkan tetapi melihat masalah dengan ruang yang kecil tetapi ruang penyelesaian yang lebih besar.

21 December, 2009

KRU Kundasang - Alasu Mengganti Lesu


15-16 Disember lepas mengukir kenangan terindah sepanjang berdakwah mendekati masyarakat Dusun, apabila lemah-lembut dan baik budi mereka diadun dengan semangat pahlawan yang sedia menyusur urat nadi untuk menggantikan sogit dakwah di bumi Kundasang dengan kealasuan cahaya Islam. Program bertumpu 'Islam Id Ginawo 09' yang dilaksanakan di Masjid Kundasang seusai menziarahi adik-adik yang bersunat di Rumah Putera Harapan, Ranau dan mengajar penduduk Kg. Himbaan di Bundu Tuhan membelek Bible berjaya melahirkan sekumpulan tanganak wagu sebagai penggerak saf hadapan memulakan aksi di bumi Kundasang.


Semangat tanganak Kg. Himbaan

Dalam masa sehari semalam, dibekali dengan keperluan dakwah dan dihalakan ke arah matlamat yang betul, serta diterjunkan ke lapangan sebenar dakwah, anak-anak muda ini menanamkan tekad menghapuskan logop (kaki botol) sedaya mungkin, menyantuni golongan fakir dan yatim, selain mengatasi masalah generasi muda yang kada ma'an (tiada kerja/menganggur) dan direncam oleh 1001 budaya kuning lain.

Berdoa sebelum turun ke lapangan

Menyampaikan sumbangan dan tazkirah kepada yang memerlukan

Mempromosi Istak sebagai alternatif muntokou di pekan Kundasang.
Hasilnya 4 kedai bersetuju menjual Istak sebagai alternatif arak.


Hasil perbincangan - masalah dan cara penyelesaian

Dengan semangat Maal Hijrah lahirnya KRU Kundasang, yang diberi julukan Kesatria Dakwah 01 (KD 01), untuk bersama-sama dengan ketumbukan remaja yang sedar di tempat-tempat lain, menjunjung Islam dan memimpin hari esok.

Selamat maju jaya, wahai kesatria!

CONCERN IS A CARRIER WAR SHIP


Ketika ini Gabungan NGO Islam, CONCERN sedang bersidang di Beringis Resort bagi menyelaraskan program CONCERN 2010. CONCERN sedang menuju kearah satu kesatuan yang lebih padu dan jitu dalam memartabatkan Islam di Sabah. Namun dalam gabungan, memang wujud masalah-masalah ahli yang tidak memberi komitmen yang terbaik sehinggakan ada yang menyatakan CONCERN agak lambat dalam bertindak. Asyik mesyuarat dan mesyuarat dan tidak ada apa-apa tindakan.


15 NGO Islam di atas CONCERN Bersiap Sedia Membuat Gerak Kerja

Saya tidak menafikan CONCERN memang ada kelemahannya. Namun kita boleh menggambarkan yang CONCERN ini diibaratkan Cerrier War Ship atau Kapal Pengangkut Perang. Secara fizikalnya ia agak besar dan perlahan pergerakannya. Kebiasaannya Carrier War Ship adalah medan untuk bermesyuarat, mengaturkan srategi perang, dan membuat segala persiapan perang. Namun yang membuat serangan adalah jet-jet pejuang bagi menghancurkan sesuatu sasaran.

Jet Pejuang sentiasa begerak samada membuat latihan, risikan ataupun serangan. Carrier War Ship memang Nampak agak perlahan dan tidak berbuat apa-apa. Tapi sekali ia begerak, sudah pasti akan menggemparkan dan menakutkan sesiapa sahaja.

Begitu jugalah dengan CONCERN, CONCERN hanya ibarat Carrier War Ship, tempat bermenyuarat, mengatur strategi dan pelbagai persiapan. Namun NGO yang bernaung dibawah CONCERN sentiasa membuat latihan, risikan dan juga gerak kerja. CONCERN memang nampak perlahan dan tidak membuat apa-apa. Tapi sekali ada isu besar, CONCERN pasti akan bergerak dan menggerunkan musuh-musuh Islam.

Ini adalah perumpamaan yang boleh saya berikan. Nampak seolah-olah CONCERN tidak berbuat apa-apa, tapi sebenarnya CONCERN tidaklah seperti yang digambarkan. Saya mengharapkan masyarakat setempat untuk bersama-sama CONCERN dalam mengembangkan syiar Islam di Negeri Sabah. Semoga dengan kesatuan ini akan membuatkan Islam akan disegani di negeri Sabah, fikir-fikirkanlah…….

Peranan Orang Muda Dalam Hijrah dan PAS

Sumber: http://abutaqiyuddin.blogspot.com/

Dalam kita menyambut Tahun Baru Hijrah, pastinya kita akan mengimbau kembali tentang perit jerihnya baginda Nabi S.A.W bersama sahabat terbaiknya Saidina Abu Bakar. Perjalanan yang penuh onak dan duri ini ditempuhi oleh mereka berdua dengan keyakinan dan penyerahan diri kepada Allah.

Allah S.W.T walau bagaimanapun tetap tidak membiarkan kekasihnya Muhammad bersendirian dengan sahabatnya menghadapi segala kesulitan sepanjang penghijrahan. Lalu dihantarkan bantuan dengan dicampakkan dalam diri 3 remaja muslim keberanian dan semangat perjuangan membantu manusia agung kekasih Allah. Mereka ialah sepupu baginda sendiri iaitu saidina Ali Bin Abi Tholib, Abdullah Bin Abu Bakar dan seorang remaja perempuan Saidatina Asma' Bin Abu Bakar.

Saidina Ali, yang telah menggantikan tempat tidur Baginda Nabi telah mengambil risiko yang cukup besar kerana beliau sendiri sedia maklum bahawa musuh Nabi sedang mengelilingi rumah baginda kerana ingin membunuh baginda nabi S.A.W. Pastinya, apabila mereka ingin membunuh nabi semasa tidur mereka akan menerkam lalu membunuhnya. Tetapi inilah pemuda muslim yang sebenar yang telah berjaya dilahirlah oleh Nabi S.A.W yang sanggup menggadaikan nyawa sendiri demi kemenangan Islam.

Abdullah Bin Abu Bakar pula telah mengambil peranan sendiri dengan mengembala kambing disepanjang perjalanan Baginda Nabi dan Abu Bakar yang tujuannya untuk menghilangkan bekas tapak kaki baginda Nabi dan Abu Bakar dari dikesan oleh Musuh mereka iaitu kuffar Quraish. Tanpa rasa takut dan bimbang kerja yang diamanahkan ini dilaksanakan dengan sebaiknya.

Asma' Binti Abu Bakar seorang remaja perempuan yang telah memainkan peranan sebagai penghantar makanan kepada Baginda Nabi dan Bapanya yang sedang bersembunyi di Gua Thur. Bukan itu sahaja, dia juga bertugas menrisik rahsia dan mengorek berita daripada pembesar quraish lalu disampaikan kepada Bapanya dan Nabi sendiri. Tanpa rasa takut dan bimbang kerja ini juga dapat dilaksanakan dengan cemerlang. Walau hanya seorang remaja wanita, tetapi sejarah telah membuktikan tentang keberanian yang telah ditunjukkan oleh Asma' sebagai seorang pembantu dalam menjayakan hijrah nabi S.A.W.

3 remaja muslim ini sepatutnya menjadi satu pemangkin dan pembakar semangat kepada remaja Islam zaman ini dalam perjuangan menegakkan Islam. Kita sepatutnya sentiasa berperanan dalam perjuangan menegakkan Islam walau di sudut mana kita berada dan walau sebesar mana tugas kita. perlu diingat, sesuatu usaha yang dirancangkan oleh Jemaah Islam terutamanya PAS tidak akan berhasil dengan jayanya andai tanpa bantuan dan komitmen dari golongan pemuda dan pemudi. Pemuda dan pemudi ini pula mestilah mempunyai semangat dan roh perjuangan islam yang tinggi dan juga mesti dilahirkan pada diri mereka semangat untuk memenangkan Islam.

Perlu juga diingat, andai Ali, Abdullah dan Asma' adalah pertolongan Allah kepada Nabinya. Maka begitu juga andainya lahir dalam satu-satu jemaah ramai pemuda yang ikhlas dan berani, juga merupakan pertolongan Allah kepada jemaah tersebut. Dan jemaah akan hancur andai terdapat golongan pemudanya yang rosak dan rasuah, dan inilah yang sedang dialami oleh UMNO sekarang.

Untuk itu PAS melalui sayap pemudanya perlu meramaikan ahli dikalangan pemuda dan mentarbiah mereka supaya mereka nanti akan bersanggupan bermati-matian untuk Islam. Bagitu juga dengan Nisa', mereka juga perlu berusaha dengan lebih giat lagi bagi melahirkan lebih ramai Asma' Binti Abu Bakar dalam jemaah PAS yang akhirnya mereka akan berjuang untuk Islam dengan penuh keberanian.

Jadi, ayuhlah wahai pemuda muslim. Bangkitlah dalam satu Jemaah Islamiah dengan satu tekad dan semangat "MENANGKAN ISLAM DAN HANCURKAN TOGHUT'.

Sekian. Wassalam.....

17 December, 2009

1431H : Hijrahlah..

Sumber: http://suaragunung.blogspot.com/

AlhamduliLLAH, ALLAH masih berikan lagi peluang kepada kita untuk teruskan kehidupan dalam tahun yang baru ini. Happy New Year!!!. Sekarang sepatutnya jeritan itu dilafazkan bagi umat Islam seluruh dunia. Malangnya bukan New Year ini yang dipandang sangat oleh kebanyakan umat.

Nabi S.A.W. menggalakkan kita berdoa pada akhir tahun hijriah dan awalnya. Dan isi doa itu tidak lain mengandungi azam untuk kita tempuhi tahun baru. Azam ada 2 jenis, azam yang kecil nilainya dan azam yang besar nilainya. Yang kecil nilainya itu hanya setakat dunia kita dapat. Tapi kalau yang kita azamkan itu merangkumi kehidupan dunia dan melangkaui kehidupan akhirat, itu yang terbaik dan tinggi nilainya di sisi ALLAH, amin.

Hijrah ada dua jenis. Hijrah fizikal dan hijrah batin. Hijrah fizikal dan hijrah batin. Hijrah fizikal seperti kita bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain. Berlainan dengan hijrah batin. Ia perlukan kekuatan untuk lawan nafsu dan bisikan syaitan. Baru boleh hijrah. Daripada solat Subuh seawal jam 6pagi kepada 4.45pg. Daripada solat sendirian kepada jemaah. Daripada buat wajib saja kepada tambah yang sunnah. Daripada sedikit ilmu kepada bertambah ilmunya dan yang paling berat dari sikap yang buruk jadi tabiat kepada sikap yang baik untuk ditabiatkan.

Apa yang paling penting......hijrahlah......

PASTI Malaysia: 25 Tahun Memimpin Perubahan

Sumber: http://legehiyyah.blogspot.com/

Matlamat yang jelas, Pengurusan yang kemas dan pendokong yang ikhlas menjadi ramuan yang mujarab dalam merencana PASTI memimpin perubahan setelah 25 tahun PASTI berakar umbi di Malaysia. Pelajar PASTI sudah melebar diserata tanahair dan berupaya memimpin perubahan paradigma masyarakat dalam menjadi Islam sebagai satu cara hidup.

“PASTI Malaysia yang telah mempunyai bangunan sendiri sejak dua tahun lalu telah melakukan beberapa anjakan dalam mengangkat martabat Pendidikan Islam. Selain berfungsi sebagai pusat pentadbiran PASTI, bangunan empat tingkat yang mempunyai asrama ini turut mengadakan kelas pengajian AlQuran sebagai model kepada PASTI-PASTI lain selain matlamat utamanya mengharapkan keberkatan Allah pada bangunan yang dibeli dengan sumbangan dan usaha gigih pejuang-pejuang Islam”. Jelas Abdul Kader Dewa, Timbalan Pengarah PASTI Malaysia yang ditemui di Bangunan PASTI Malaysia.

Abdul Kadir yang membentangkan kertas kerja “25 Tahun PASTI memimpin Perubahan” kepada 30 wakil-wakil PASTI seluruh Malaysia turut menyakini sekiranya pengurusan yang sistematik diperingkat cawangan hingga ke pusat dapat dilaksanakan sepertimana yang dirancang, PASTI pasti akan menjadi pusat pendidikan Ulung di Malaysia.
Kurikulum PASTI yang selalu bergerak mengikut keperluan semasa bakal melonjakkan PASTI dan memimpin perubahan pendidikan. PASTI juga tetap berkeyakinan bersaing dengan Pra Sekolah yang dilaksanakan oleh Pihak Kementerian Pelajaran sekalipun pihak Kementerian mempunyai banyak kelebihan terutama latihan guru, facilities, dana dan sebaran. Keimanan, keikhlasan,kekayaan budi dan acuan Al-Quran adalah senjata ampuh PASTI untuk tersu bersaing dengan tadika-tadika lain.

Selain itu, pihak pengurusan PASTI telah menganjurkan program-program diperingkat kebangsaan seperti Ijtimak dan Hari Guru Peringkat Kebangsaan( Terengganu),Sukan Kebangsaan PASTI (Pulau Pinang), Intifal Kebangsaan dan beberapa program lain yang bersifat kebangsaan.

Tahun depan juga, pelajar PASTI akan bertukar wajah bila PASTI akan menggunakan pakaian baru PASTI. Kuatkuasa pakaian seluruh Malaysia akan bermula 2011. Pakaian baru ini menandakan anjakan baru kepada kemajuan PASTI menuju perubahan yang dicitakan.

15 December, 2009

ANAK NEGERI SABAH Vs ANAK NEGERI JEPUN

Sumber: http://www.sabahdaily.com/

Oleh: JAMIL NASRAH

WALAUPUN sudah 64 tahun tentera Jepun meninggalkan Sabah setelah Hiroshima dan Nagasaki hancur luluh oleh bom atom, namun Yosyiyiki Kawagoe, 71, masih enggan mengaku kalah dan cuba menjajah Sabah dengan merampas sebidang tanah milik Anak Negeri Sabah.

Namun usaha beliau gagal kerana balu dan anak-anak Allahyarham Nazry Yahya terus berjuang mempertahankan tanah pusaka berkenaan dengan merampas kembali tanah tersebut setelah aduan dan laporan polis yang mereka buat hanya dijadikan ‘Warga Tong Sampah’ oleh Polis Daerah Kinabatangan, Sabah.

Dengan penuh tekad dan semangat waja Anak Negeri, anak-anak Nazry telah mempertahankan tanah pusaka mereka yang telah ditukar milik secara tidak sah kepada isteri Kawagoe bernama Rose Lee Lie Mie yang disahkan menggunakan Sijil Anak Negeri Palsu.

“Kami terpaksa mengupah pengawal keselamatan untuk memastikan tanah pusaka kami tidak diceroboh oleh orang Jepun ini sementara kami menunggu keputusan Mahkamah,” ujar Rosinah, pemegang amanah Nazry.

Bagaimanapun, dengan wang dan pengaruh yang beliau ada, Kawagoe dan peguamnya telah memperdaya Hakim Mahkamah Rendah Sandakan, Puan Monica Linsua untuk mengeluarkan perintah Ex-Parte yang digunakan untuk menghalau keluar balu dan anak-anak Nazry daripada tanah berkenaan; walhal perintah berkenaan adalah tidak sah kerana nilai tanah tersebut melebihi RM100,000 yang sewajarnya difailkan di Mahkamah Tinggi Sandakan.

“Saya kesal kerana penyalahgunaan prosiding mahkamah untuk kepentingan diri menyebabkan nama baik Hakim Monica Linsua telah tercemar, seolah-olah tidak mempunyai kelayakan untuk menjadi hakim dan kredibilitinya tercalar kerana secara tidak sengaja bersubahat dengan ‘penjenayah’ untuk merampas ‘tanah bergeran NT ’ milik Anak Negeri Sabah,” ujar Rosinah yang mendesak agar para Hakim di Sandakan berhati-hati meneliti sesuatu kes sebelum membuat sebarang keputusan.

Siasatan Sabahkini.net mendapati Kawagoe cuba ‘membeli’ bailif Mahkamah Rendah, Abdul Haji yang meminta bantuan Polis daripada Balai Polis Kinabatangan untuk mengiringi mereka menghantar Perintah Mahkamah Rendah dengan tujuan untuk menakut-nakutkan pekerja yang digaji anak-anak Nazry sehingga pemilik asal tanah memberi amaran untuk menyaman Kopral Matthew dan rakannya yang mencampuri urusan tanah berkenaan sekiranya enggan beredar daripada tanah tersebut.

Dalam hal ini, Jabatan Tanah dan Ukur wajar dipersalahkan kerana telah menukar hak milik tanah pusaka berkenaan secara tidak sah, walaupun mengetahui Rose Lee Lie Mei menggunakan Sijil Anak Negeri Palsu.

Kes rampasan tanah milik Nazry ini telah disiarkan Sabahkini.net sebelum ini, namun Kawagoe masih cuba mencari jalan untuk merampas kembali tanah berkenaan, walaupun beliau tidak berhak untuk memiliki walau seinci tanah Sabah kerana Sabah telah merdeka sejak 16 September 1963.

Persoalan yang timbul sekarang, kenapa Polis Kinabatangan enggan mengambil tindakan terhadap Rose Lee Lie Mei dan Kawagoe sedangkan anak-anak Nazry atau agen mereka telah membuat beberapa laporan polis terhadap ‘penjenayah’ berkenaan yang dilesenkan sebagai ‘Lanun Tanah’ oleh Polis dan Jabatan Tanah dan Ukur?

14 December, 2009

Krisis Air : Mahasiswa selar sikap membisu MP Labuan

Sumber: http://masdarwahid.blogspot.com/


KUALA LUMPUR : Krisis air di Wilayah Persekutuan Labuan yang tiada penyelesaian sejak Jun lalu memaksa sekumpulan Pro-Mahasiswa dari Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) menghantar memorandum kepada pejabat Perdana Menteri (PM), Najib Razak agar satu penyelesaian segera dilakukan terhadap permasalahan itu.

Exco Kebajikan, Kesihatan dan Kemasyarakatan MPP-UMSKAL, Qatrun Nada Mohd Latfi berkata, permasalahan air di Pulau bebas cukai itu bukan sahaja melibatkan universiti itu tetapi melibatkan keseluruhan penduduk Kira-kira 85,000 orang.

Menurutnya, bagi mahasiswa di UMSKAL, pihak universiti ada menyediakan lori untuk menghantar air sebanyak tiga kali sehari ke kediaman mereka tetapi sejak September lalu penghantarannya tidak konsisten selain jumlah air yang dihantar kian berkurangan dan air tersebut tidak sesuai untuk diminum.

“Wujud kes seorang mahasiswi yang menjalani pembedahan akibat masalah didalam perut pada September lalu antaranya berpunca daripada air yang diminum daripada lori tangki terbabit.

MPP juga membuat pemerhatian dan temuramah di Hospital Baru Labuan ketika penghantaran pelajar itu dan mendapati, individu dan keluarga yang dijangkiti selesema babi atau Influenza A (H1N1) mengatakan rumah mereka tiada bekalan air bersih selain kurang mampu untuk membeli air mineral dipasaran setiap hari,” katanya.

Qatrun berkata, akibat krisis air itu juga kos hidup mahasiswa bertambah kerana terpaksa membeli air mineral setiap hari selain seorang perempuan patah kaki akibat terjatuh ketika mengangkat air ke kediamannya.

Sehubungan itu, mereka menuntut agar Najib campur tangan dalam hal itu memandangkan usaha mereka mengadukan permasalahan itu kepada pelbagai pihak berwajib menemui jalan buntu.

Malah, usaha sekretariat MPP dimarahi dan disoal siasat hanya kerana ingin membuat temujanji dengan Jabatan Bekalan Air (JBA) Labuan dan Ahli Parlimen (MP) Labuan, Yussof Mahal.

Delegasi mahasiswa pada 8 Disember lalu turut disokong oleh mahasiswa seluruh negara termasuk Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), Gerakan Mahasiswa Mansuhkan AUKU (GMMA), Pro-Mahasiswa Nasional (Pro-M Nasional), Gabungan Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) seluruh negara, Gerakan Mahasiswa Sedar (GMS), Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Markas Siswa Siswi Islam Sabah (MARSIS) dan Persatuan Siswazah Sabah (PSS) dan tanda tangan sokongan masyarakat Labuan.

Salinan memorandum itu turut diserahkan kepada Ketua Menteri Sabah, Musa Aman dan Yussof Mahal pada 7 Disember lalu. Namun, sehingga kini kedua-dua pimpinan Umno itu kekal dengan sikap membisu.

Sementara itu, bagi Pengerusi SAMM, Badrul Hisham Shahrin berkata, jika komponen terpenting dalam masyarakat iaitu mahasiswa di Labuan langsung tidak diendahkan oleh mereka, apatah lagi dengan rakyat terbanyak?

Beliau melihat tindakan membisu oleh pimpinan rejim Umno/BN itu kerana isu air bagi mereka mungkin tidak memberi kesan kepada pengundi dalam kawasan parlimen itu.

Sehubungan itu, beliau berharap warga Labuan melihat isu ini dengan serius dan hati yang terbuka kerana inilah wajah sebenar wakil rakyat BN yang hanya menyelesaikan masalah rakyat menjelang pilihanraya tetapi buat bodoh selepas itu dengan kesibukan menguruskan perut dan diri sendiri.

Labuan yang asalnya milik kerajaan negeri Sabah diserahkan kepada kerajaan persekutuan pada tahun 1984 melalui “Perjanjian Labuan” yang ditandatangai bersama oleh PM ketika itu Mahathir Mohamad dan Ketua Menteri Sabah, Harris Mohd. Salleh walapun ia dibantah penduduk Sabah.

Presiden Gerakan Mahasiswa Sedar (GMS), Ahmad Syafiq Akmal Ahmad Kamil yang turut menyokong usaha MPP UMSKAL menuntut Yussof memberi perhatian serius berkaitan permasalahan itu dan menggesa beliau segera memberi penjelasan.

Bagi Presiden MARSIS, Hendri Hamsah berkata, jangankan setengah tahun, setengah hari tanpa air pun, manusia akan rimas memandangkan air ialah sumber penting bagi kehidupan manusia.

Beliau yang berkelulusan Kejuruteraan Elektrik Mekatronik berkata, syarikat petronas yang beroperasi di wilayah itu diakui memerlukan air dalam jumlah yang banyak dan 42 juta liter sehari yang dibekalkan kepada penduduk Labuan tidak mencukupi kerana ia turut dikongsi oleh kilang Methanol Petronas.

Terdahulu, Menteri Wilayah Persekutuan, Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, berkata, pulau itu kekurangan 20 peratus daripada 56 juta liter bekalan yang sebenarnya diperlukan setiap hari dan krisis bekalan air yang dihadapi penduduk di situ hanya dapat diatasi apabila projek paip air dasar laut siap sepenuhnya menjelang akhir 2010.

dipetik daripada erapakatan.com

berita ini akan berada di pasaran (edisi cetak)bermula 14 Disember ini.

11 December, 2009

Menziarahi mangsa Bot Karam Kudat-Banggi

Sumber: http://islamreturn.blogspot.com/

Petagas-
7 Dis.2009 (Selasa) : Saya dan beberapa orang teman telah berkesempatan untuk menghadiri 'majlis tahlil' keluarga mangsa Bot Karam di Kudat pada malam hari raya Aidiladha baru-baru ini. Kejadian yang berlaku pada 28.Nov tersebut telah meragut lebih 20 nyawa. Menurut tuan rumah Hj. Yahya Othman, 61 (saya memanggilnya Pakcik Yahya), yang juga antara mangsa yang terselamat, dia bersama ahli keluarga seramai 21 orang telah bercadang untuk menyambut hari raya aidiladha di Pulau Bangi bagi merasai kelainan menyambut hari raya korban tahun ini. Namun tidak menyangka kejadian tersebut boleh belaku secara tiba-tiba.

Majlis tahlil di rumah Hj Yahya Othman

Menurut beliau, bot tersebut tenggelam setelah 1 jam perjalanan dari jeti Kudat. Kejadian yang berlaku pada pukul 5.45 petang itu menyebabkan ramai mangsa tidak sempat berbuat apa-apa kerana bot tersebut tenggelam secara tiba-tiba. Kebanyakkan mangsa yang pada mulanya berpaut pada tong ikan akhirnya lemas seorang demi seorang akibat dari keletihan dan kesejukkan. Menurut cerita Pakcik Yahya, mereka terpaksa bertarung dengan maut hampir 7 jam dilautan dan hampir-hampir juga beliau terlepas dari berpaut.

Hj. Yahya Othman menceritakan apa yang sebenarnya berlaku pada hari kemalangan.

Apa yang begitu menyentuh perasaan beliau ialah, daripada 21 orang ahli keluarga beliau yang terlibat pada kejadian tersebut, hanya 5 orang sahaja yang terselamat. Paling menyedihkan, antara mereka yang terkorban tersebut ialah isteri, anak, ibu mertua dan juga anak saudara beliau. Kejadian tersebut belaku dihadapan matanya tanpa dapat beliau buat apa-apa.

Saya turut bersimpati atas apa yang telah berlaku dan mendoakan semoga ruh mereka yang terkorban dikira sebagai antara kematian ‘syahid kecil’ buat mereka. Pada pertemuan yang singkat itu, saya dan beberapa orang teman menyerahkan sedikit wang sumbangan kepada beliau dan keluarga serta mendoakan semoga beliau tabah dalam mengharungi dugaan yang datangnya dari Allah s.w.t ini.

*Hj. Yahya Othman merupakan bekas ADUN Pulau Banggi semasa bersama BERJAYA dahulu. Pada pilihanraya ke-12 baru-baru ini beliau merupakan calon Pakatan Rakyat (PKR).

10 December, 2009

Sijil Anak Negeri : Mengapa hanya DAP disiasat?

Sumber: http://masdarwahid.blogspot.com/

Pakatan Rakyat (PR) mempersoalkan mengapa hanya Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dari DAP sahaja yang disiasat dalam kes Sijil Anak Negeri (SAN) manakala mereka yang ‘ada hubungan baik dengan kerajaan’ didiamkan.

PAS Sabah melalui Timbalan Pesuruhjayanya, Hamzah Abdullah berkata, Ramai dikalangan taukeh-taukeh besar yang memiliki SAN palsu memiliki tanah adat dan membuka ladang-ladang besar terselamat hanya kerana mereka dikatakan menyokong rejim BN.

Menurutnya, mereka juga membolot projek-projek yang dikhususkan untuk Bumiputera serta anak-anak mereka ‘diluluskan’ mengikuti pengajian di UiTM.

“Berita mengenai pemalsuan SAN ini tersebar luas di laman-laman blog serta akhbar tempatan tetapi pemimpin rejim BN khususnya Umno, tidak menunjukkan keghairahan mereka untuk menyiasat jenayah keji ini yang sinonim dengan perangai parti itu.

"Kalau nak tipu boleh, nak selamat dari disiasat pihak berwajib akibat dari perangai menipu boleh, yang penting mesti sokong UMNO/BN,” ujarnya dalam laman rasmi parti itu, http://pasabah.wordpress.com/

Hamzah berkata, SAN tidak diperlukan kerana mana-mana anak yang dilahirkan oleh suku kaum yang diiktiraf sebagai anak negeri pastinya nama suku kaum tersebut akan dicatit dalam sijil lahir mereka. Jadi apa perlu untuk memohon SAN?

Beliau menambah, pengumuman Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Hajiji Mohd Noor tentang pembekuan pengeluaran SAN sebenarnya hanya mendedahkan individu-individu tertentu yang memiliki kuasa, menyalahgunakan proses pengeluaran SAN tersebut kerana dibimbangi ia dibuat bukan berdasarkan kelayakan pemohon tetapi lebih kepada berapa harga yang perlu dibayar untuk mendapatkan sijil itu.

Hamzah turut membidas Pengarah Majlis Hal Ehwal Anak Negeri yang menjadi dalang mengesahkan Sijil Anak Negeri Palsu kerana beliau tidak mempunyai kuasa untuk mengesahkan sesuatu sijil yang dikeluarkan oleh Mahkamah Anak Negeri.

Beliau juga akan mendedahan perangai buruk orang-orang yang berkuasa di Majlis Hal Ehwal Anak Negeri dalam waktu yang terdekat.

Mengulas isu sama, Ketua Penerangan Angkatan Muda PKR (AMK) Sabah, Zainuddin Hasssan berkata, keengganan anggota PDRM menyiasat dan mengambil tindakan ke atas aduan kaum anak negeri terhadap mereka yang memiliki SAN yang kesahihannya diragui adalah punca penggunaan SAN palsu berleluasa di Sabah.

“Jika BN komited memperjuangkan hak peribumi Sabah, mengapa siasatan hanya tertumpu kepada pimpinan pakatan sahaja. Bagaimana denga tauke - tauke proksi BN dan Umno yang merampas ribuan ekar tanah orang kampung dengan mengunakan SAN yang serupa.

“Apakah mereka diberi kekebalan dan imuniti daripada kerajaan dan tidak boleh diambil tindakan Undang Undang,” tegas Zainudin.

Sehubungan itu, beliau menggesa agar siasatan dilakukan terhadap semua aduan yang pernah dibuat oleh kaum anak negeri Sabah jika memang PDRM jujur hendak menangani perkara ini dan bukan menangguk di air keruh untuk mencari untung peribadi.

Sebuah portal berita sebelum ini pernah menyiarkan tindakan seorang wanita berbangsa Sungai di daerah Kinabatangan, Rosmina Nazry, melaporkan kepada Polis akan perbuataan seorang wanita berbangsa Cina tetapi memiliki serta menggunakan satu Sijil Anak Negeri yang tiada rekod di Mahkamah Anak Negeri Kota Kinabalu.

Malangnya aduan Rosminah Nasry kepada Polis gagal disiasat oleh Polis walaupun aduan rasmi telah dibuat di Balai Polis daerah Sandakan.

Terdahulu, Adun tunggal PR di Sabah, iaitu Jimmy Wong Sze Phin dari DAP didakwa menceroboh tanah rizab kerajaan dan taman permainan bertujuan bagi mengubah suai kawasan rumahnya.

Beliau juga didakwa memperolehi SAN secara meragukan yang membolehkannya membeli tanah berstatus tanah anak negeri.

Dakwaan itu dibuat oleh Adun Samsudin Yahya (BN-Sekong) semasa membahaskan bajet Sabah 2010 pada 17 November lalu.

Adun Sekong itu turut mendakwa bahawa "pagar chain link dan stor konkrit" telah didirikan di kawasan lapang Taman Kafar, Jalan Sin On, Tawau oleh Adun PR itu.

Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah telah pun menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi menyiasat dakwaan itu.

Sijil perakuan Bumiputera atau juga disebut Sijil Anak Negeri telah dibekukan oleh Kerajaan Berjaya pada tahun 1982 ekoran penyalahgunaan kuasa dan pemberian dokumen tersebut kepada golongan yang tidak layak memilikinya.

Kerajaan Berjaya pernah memerintah Sabah dari tahun 1976-1985 dan antara mereka yang berada dalam kabinet negeri pada masa itu ialah Presiden PBS, Pairin Kitingan.

07 December, 2009

Ratusan Dapat Manfaat Kempen Beras PSS

Sumber: http://nurilhakim.blogspot.com/

Sejak sebulan Kempen 1 Keluarga 1 Kampit Beras Persatuan Siswazah Sabah (PSS) dilancarkan, ratusan individu kurang berkemampuan, golongan muallaf dan fakir miskin telah mendapat manfaat daripadanya. Program kemuncak Korban Sayang telah dilaksanakan meliputi daerah daerah Tambunan, Keningau dan Ranau sepanjang Hari Raya Aidil Adha selain sumbangan awal beras di kawasan Kota Kinabalu, Inanam dan Tuaran.

Keluarga Afendi Raihan di Kg. Log Poring, Sepanggar

Keluarga Azmi 13 beradik di Kg. Poring-Poring, Inanam

4 Keluarga Muallaf di Kg. Monsok, Tambunan

Keluarga Rizi di Kg. Binuwou Tengah, Sook

Keluarga Biah di Kg. Kemburongoh, Ranau

Sempat bertemu adik-adik di Rumah Putera Harapan, Ranau

Terima kasih kepada semua penyumbang dan penggerak persatuan. Selagi kalian semua ada untuk mereka sentiasa ada pelangi pada esok hari. Semoga kalian dimurahkan rezeki dan hidup kalian diberkati. Amin.

06 December, 2009

TUISYEN RAKYAT: Dari Rakyat untuk Rakyat

Sumber: http://passepanggar.blogspot.com/

Sebagai satu usaha ke arah memberi khidmat kepada rakyat. Dewan Pemuda PAS kawasan Sepanggar akan mengajurkan tuisyen bagi pelajar yang akan mengambil peperiksaan UPSR, PMR dan SPM pada tahun hadapan. DPP Sepanggar bersama-sama Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah dengan ini melancarkan 'TUISYEN RAKYAT'.

Tarikh :
11 hingga 14 Disember 2009

Tempat:
Pejabat Penerangan PAS-PKR, University Apartment.

Masa:
8.30 pg - 10.30 pg (UPSR)
2.00 ptg - 4.00 ptg (PMR)
8.00mlm - 10.00 mlm (SPM)

Bayaran:
RM 10 Sahaja (4 subjek/4 hari)
RM 20 sahaja (satu keluarga)

Hubungi:
Ust Idin (013-8581451)

DAFTAR SEGERA! TEMPAT TERHAD

Sabah Negeri TerMISKIN Di Malaysia...

Sumber: http://perisik-rakyat.com/

Saya Anak Asli Sabah. Bukan Indon, bukan Filipina, bukan Bangla dan bukan Pakistan dan bukan dari Negara Brunei. Saya lahir di Sabah, mungkin juga akan mati di Sabah, tetapi entahlah mahu dikubur di mana kala tanah bukan milik kita lagi nantinya.

Maaf, saya tak sampai hati mengatakan "orang Sabah bodoh". Ada yang mengatakan begitu dan cukup panas telinga saya mendengarnya dan mahu saja saya hantar tumbukan buku lima ke mukanya, tetapi bila memikirkan secara lojik... ada juga kebenarannya. Nah, kebenaran itu makanya saya semula bertanya kepada orang Sabah yang merupakan Negeri TERMISKIN di Malaysia/hampir sama dengan kemiskinan Afrika Selatan atau sama seperti Medan. Tetapi... kenapa kita miskin..?

Barangkali yang tinggal di Sabah bisa menjawab secara waras dan tentu saja merasa malu sangat bila Negeri Sabah telah diakui sebagai Negeri termiskin dan yang anehnya, Sabah ditadbir oleh Kerajaan Persekutuan yang konon cukup baik dan prihatin serta bijaksana, tetapi merupakan negeri termiskin sekali dibanding Kelantan pimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Kenapa yang tinggal di Sabah tidak peka akan hal ini atau menelan bulat-bulat dunia miskin itu?

Sabah Negeri yang terkaya sekali. Tanahnya luas, hasilnya cukup hebat. Dengan balak, tembaga, kelapa sawit dan sekarang minyak yang merupakan telaga terbesar di Tenggara Asia dan hasilnya berbillion, tetapi apa yang orang Sabah dapat selain anugerah termiskin yang cukup memalukan? Saya harap anak-anak Sabah bisa menjawab pertanyaan saya ini.

Memang kita lihat diperkatakan berbillion peruntukan Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri Sabah... tetapi, apakah bandingan dengan peruntukan yang diberikan kepada Sabah dengan bezanya Negeri Perlis yang sama keluasannya dengan daerah Sampoerna..?

Kalau dikira keluasan Sabah dan Sarawak hampir sama dengan keluasan Semenanjung Malaysia, lalu cuba saja kita kira semula peruntukan yang diberikan kepada Sabah dan apakah NGAM dari segi pembahagiannya? sedang Sabah merupakan negeri yang banyak menyumbang kepada Kerajaan Persekutuan... lalu apakah kita harus mengucapkan terima kasih dengan peruntukan yang nampaknya besar, tetapi semacam satu penghinaan pula kepada Negeri Sabah.

Memang kelihatan peruntukan yang diberikan kepada Sabah semacam besar sangat, tetapi pada hakikatnya kala merujuk pendapatan dan sumbangan Sabah kepada kerajaan persekutuan memang jelas tidak adil dan rupanya rakyat Sabah ini cukup baik kerana bersedekah kepada orang lain, sedang anak-anak bangsa mereka hampir kelaparan mencari makan di Selangor, Johor dan Singapura yang kerjanya hanya di kilang-kilang yang kemudian akibat hidup terdesak, ada yang menjadi pelacur dan dibunuh di Singapura. Kesian...

Apa pula tindakan para pemimpin Sabah kala ini? apakah mereka itu ikhlas membantu dan memperjuangkan hak Sabah yang terdiri dari suku kaum Dusun, Bajau, Brunei dan segala macam? atau barangkali mereka itu terdiri dari pak angguk, raja pengampu, bodek dan tunduk-tunduk mengalahkan tunduknya Jepun kala ketemu jepun. Cukup memalukan kerana punya pemimpin yang kaki bodek/memeluk mencium tangan meski tangan yang dicium tangan penuh dosa dan kaki rasuah, malah ada tangan kotor membunuh Altantuya dan memfitnah Anwar begitu jijik sekali.

Apakah orang Sabah masih terus leka dengan pemberian RM50 kala pilihanraya lalu untuk menunggu lima tahun lagi bakal menerima RM50 atau siap sedia terus menerima negeri termiskin di Malaysia? di mana mahu meletakkan muka kita setelah diperkatakan "orang Sabah bodoh" akibat mengundi BN. Masih terngiang di telinga saya penghinaan yang begitu rupa.

Apakah kita tidak pernah berfikir betapa ribuan pelajar anak-anak Sabah menuntut di Universiti dan kolej-kolej di seluruh malaysia dan luar Negeri. Mahu jadi apa mereka itu nantinya? terpaksa bekerja di negeri-negeri Semananjung yang lebih baik ekonominya dari Sabah atau terpaksa kembali ke kampung halaman untuk membantu sang ayah berkerja di ladang atau menoreh getah meski harga getah sudah menjunam turun atau barangkali pergi ke laut menangkap ikan, tetapi laut sudah tidak punya ikan akibat rakusnya manusia dengan kapal pukat tunda yang tamak menghapuskan anak-anak ikan yang mula membesar. Setan..!

Saya meneliti kehidupan orang-orang kampung di Paitan, Pitas, Sook, Kinabatangan dan segala macam. Kemiskinan mereka saya lihat begitu ketara, sedang wakil rakyat mereka kaya raya punya rumah berjuta dan simpanan ada di mana-mana.

Makanan mereka adalah emas berkilauan di hotel lima bintang di kota atau di Kuala Lumpur atau London, Paris dan segala macam. Sedang rakyat makan sampah dan untuk menghantar anak-anak mereka belajar di Universiti janganlah mengharap sangat sebab untuk makanpun tidak mampu. Kesian!

Lalu apa saja yang rakyat tunggu? mengharapkan pemimpin yang ada, sampai kapanpun Sabah tetap terus miskin kerana sikap pemimpin kita tidak lebih dan kurang seperti kita ini dalam KERAjaan Beruk yang masing-masing mahu kaya cepat sebelum KERAjaan Beruk nantinya hancur dan yang menjadi mangsa ialah rakyat Sabah yang terus berkelana.

Saya minta KERAjaan Beruk ini menjelaskan kenapa saja Sabah merupakan negeri termiskin (23%) di Malaysia? apakah orang Sabah akan terus dipersalahkan? Kalau memang rakyat Sabah salah, kenapa saja dalam pemerintahan USNO, BERJAYA, PBS negeri Sabah tidak pula merupakan negeri termiskin sekali dan kenapa pula terjadi dalam KERAjaan Barisan Nasional yang dikata cukup prihatin kepada rakyat. Apakah kita ini buta atau tuli melihat/mendengar hakikat nyata?

Mari kita bincang secara terbuka atau kita bisa naik pentas dan debat perkara ini... saya memangnya siap untuk berhadapan dengan siapapun.

ISMAILY BUNGSU
UMS-SABAH
ismailybungsu@yahoo.com
kimanis2020@yahoo.com
bangmaily@yahoo.com
+6019-840 0005/+6016-822 2262/+6014-555 5175

02 December, 2009

Dewan Pemuda PAS kawasan Sepanggar berdiri teguh dibelakang TGNA

Sumber: http://passepanggar.blogspot.com/

Dewan Pemuda PAS kawasan Sepanggar hari ini menyatakan pendirian berdiri teguh dibelakang Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat. DPP kawasan Sepanggar menyedari bahawa UMNO/BN yang semakin terdesak, dan akan melakukan apa sahaja untuk menyelamatkan kedudukan mereka.

Berita berunsur fitnah dan hasutan terhadap PAS akan sentiasa didendangkan di media-media utama. Sehubungan dengan itu DPP kawasan Sepanggar menggesa semua jentera penerangan PAS, blogger dan media alternatif dapat digerakkan bagi menepis segala fitnah dan hasutan dari UMNO/BN.

UMNO/BN sedia maklum bahawa kepimpinan TGNA merupakan penghalang utama kepada niat mereka untuk membendung kebangkitan rakyat. Oleh yang demikian serangan demi serangan terhadap TGNA dilakukan bagi menjatuhkan kepimpinan dan kreadibiliti TGNA. Isu 'tuhan samseng', isu 'air Kelantan diserbu oleh SPRM', isu 'Islam plastik' dan yang terbaru isu 'doa' merupakan perancangan licik UMNO/BN bagi memperbodohkan rakyat. Namun, sehingga kini kepimpinan TGNA semakin mendapat sokongan dari segenap lapisan masyarakat.

Maka, sekali lagi DPP kawasan Sepanggar berpendirian bahawa isu yang diperkatakan sekarang hanyalah perancangan jahat UMNO/BN dan DPP kawasan Sepanggar juga menyokong penuh kepimpinan TGNA sebagai Menteri Besar Kelantan dan sebagai Mursyidul Am PAS.


Ketua Pemuda PAS kawasan Sepanggar

Amir Saifuddin Samsuddin

Hak Cipta & Penafian

SBS MEDIA (Sahabat Blog Sabah) - 2011 Digalakkan untuk sebarang sebaran. Sebarang bentuk salinan kandungan daripada laman ini mestilah disertakan link Sahabat Blog Sabah bagi memudahkan proses rujukan. Kami tidak bertanggungjawab ke atas sebarang komen yang disertakan daripada pengunjung dan menjadi tanggungjawab pengunjung sepenuhnya. Sekian.